Sunday, November 16, 2008

Hanya Kerana DIA (Episode :1 - published)


SAAT INI, AWAL TAHUN HIJRAH, JAM 2.01 PAGI,

KOLEJ SULTAN ALEIDIN SULEIMAN SHAH,UPM

Aku susah tidur. Malam ini terlalu sungkam, tidak seperti malam-malam yang lain. Diatas meja ini masih berselerak buku ‘Land use Planning’, ‘Forest Economic’, dan ‘Dendrology’, yang belum dihabis khatam semuanya. Term paper ‘Herbs Toxicity’, yang diberikan Dr. Halawati siang tadi masih lagi tidak terusik. Projek tahun akhir aku pun belum kusentuh. Detik dan waktu kubiarkan bergerak begitu saja. Aku jadi pinar.



Aku memandang sepilar biru kesayangku di dalam balang kaca diatas meja tulis ini. Merak ekor dan siripnya mengembang bekeng beberapa kali apabila kucucuk jariku ke arah balang itu. Ganas; memikat. Sepasang kura-kura hijau di dalam akuarium kecil bersama sepat biru bersahabat riang; bermain dicelahan akar keladi. Riang menghiasi meja komputerku. Terusik aku dengan telatah mereka itu.



Aku sandarkan belikatku ke kerusi. Lilitan lengan jaket yang kuikat pada bahu kerusi sedikit terurai dek berat sandaran badanku. Pandangan diluar kulihat kelam diselimuti pekat malam. Angin bayu malam menembusi celah bidai buluh, berdengung dipelapisku. Dj radio Ikim Fm bersiar di udara. Lagu-lagu yang berkumandang dari corong radio menjadi ricih dek dibawa angin berlegar disegenap ruang kuboid kamar. Telingaku tertangkap satu rangkap selawat yang telah dialihbahasakan ke bahasa melayu nyanyian sebuah kumpulan nasyid kontemporari tanahair.



“…ada satu bintang,
sinarnya berseri;
cahaya atas cahaya,
empat yang utama.”

Cahaya… fikiranku cuba mengingati sesuatu. Deejavu; ia seperti pernah berlaku. Angin menghembus lagi ; Renda dari skirt day curtain bergayut ; pipiku sejuk. Aku membuka kacamataku. Pandangan aku kabur. Cahaya… sekali lagi perkataan itu terlintas di kotak fikirku. Ya, ia pernah berlaku suatu ketika dahulu. Hatiku berbisik.
Cuaca sejuk diluar telah menukarkan embun kepada rintik hujan. Merintik di daunan, melorot ke batang, sampai ke tanah. Dingin menguasai segenap ceruk.



“…awak suka hujan ?”
“ Suka.”
“Apa yang akan awak buat kalau hujan turun ?”
“Kalau hujan, saya akan berteduh bawah pokok. Dan kalau hujan lebat sangat saya akan redah hujan itu. Seronok juga bermain hujan. Dekat kampung dulu saya selalu bermain hujan.”
“Awak pula, apa yang awak buat kalau hujan turun?”
“Hmm…kalau hujan turun. Hmm.. saya akan duduk bawah pokok. Tunggu awak. Main hujan sama-sama.”
“Awak ni… macam cerita Korea pulak.”
Ketawa.

Dua suara bertelingkah dalam diriku. Perbualan itu seperti pernah berlaku, tapi entahkan bila waktunya – aku lupa. Amnesia. Aku memicit dahiku, berusaha mengingatinya, tetapi gagal. Memoriku kabur, sekabur penglihatanku kala ini.
Diluar, gerimis masih mengundang. Kepalaku yang sarat dengan kekosongan ini ku tundukkan ke bawah. Berat. Mataku tertancap pada sebuah fail yang berjudul ‘peribadi’ yang disusun rapi bersama fail-fail yang lain dibawah laci. Dengan pantas tanganku menyambar dan mengeluarkan fail tersebut. Fail itu kubuka, dan terpampang didepanku sebeban manuskrip lama yang telah lama aku abaikan. Jemariku perlahan membelek manuskrip itu. Mata ; hati ; dan mindaku teruja membacanya satu persatu…


*****************************************************************



PROLOG

24 JANUARI
HARI INI…

Kolej Islam Ninthi
Jam 8.30 pagi

Kolej Islam Ninhti dalam kedewasaannya terus megah, gagah melahirkan, membesarkan seorang manusia yang punyai hati dan cita-cita yang besar…seorang jundullah… seorang du’at Allah, yang seratus peratus hatinya hanyalah untuk Allah. Demikianlah juga jagatraya setiap ketika bertasbih. Malaikat bertasbih dan segala makhluk yang mengenal Penciptanya bertasbih, membenam harapan dan pergantungan kepada yang tiada dua, tiga, atau berbilang-bilang; Cuma satu: Allah! Allah yang kekal. Tiada yang lain makhluk yang baru yang bersamaan denganNya.



Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar!



Bilah-bilah hari menyaksikan riwayat seorang pemuda terhiris hatinya, terkalar luka, bukan buat kali pertama dan bukan jua untuk kali kedua, tapi dia sendiri tidak tahu buat kali yang keberapa. Alangkah kasihannya dia.



“Kamu terpaksa tinggalkan tempat ini. Saya kesal keadaan ini terjadi tatkala saya sudah mula menyukai kamu. Saya fikir walaupun ideologi kamu berbeza, dan cara kamu yang langsung tidak mengikut tradisi itu boleh menjadi sebahagian elemen penting kolej ini…Tetapi saya silap”. Prof. Dr. Shalaby membetulkan duduknya yang sedikit canggung. “Kamu adalah seorang yang angkuh dan tidak berdisiplin. Dan kolej Islam ini tidak memerlukan orang seperti kamu disini. Lantaran itu saya mahu surat perletakan jawatan kamu di meja saya esok pagi.” Z.Zikry menyambut lontaran kata-kata itu dengan senyuman nipis.



“Kenapa kamu tersenyum sinis En. Z.Zikry? Dia meluahkan rasa tidak senangnya dengan reaksi Z.Zikry sebentar tadi.
“Maafkan saya tuan. Sehingga hari ini saya begitu menghormati tuan profesor. Saya ingat tuan seorang yang sangat bijak dan peka, yang tidak ketinggalan apa-apa saja…Tapi saya kecewa.”





Z.Zikry merenung tajam ke dalam bola mata orang yang paling berkuasa di Kolej Islam Ninthi itu.
“Apa yang kamu cuba katakan ini En. Z.Zikry?”
“Ingat tak tuan, pertama kali saya datang ke sini meminta kerja, saya sekadar memperkenalkan diri sebagai Z.Zikry. Tiada nama penuh.” Z.Zikry menelan liur yang berketak di kerongkong. “Sebenarnya, nama penuh saya adalah Mohd. Zakuan Zikry Bin Hj. Hamzah”. Kelihatan Prof. Dr. Shalaby Sidqi sedikit tersadung ke belakang setelah nama itu disebut.
“Ya, saya Mohd. Zakuan Zikry yang sama. Yang telah berani bersahabat dengan anak tuan. Zakuan Zikry yang sama, yang amat dikasihi oleh anak tuan.” Z.Zikry menarik nafasnya dalam-dalam, meraih kekuatan untuk dia meluahkan segala-gala yang terbuku di hatinya saat itu.
“Mohd. Zakuan Zikry yang telah tuan buang dari kolej yang berprestij ini sebab tuan benci kepadanya, tanpa melihat wajahnya atau memberinya peluang untuk berjumpa dengan tuan. Dia yang telah hilang ingatan dan mati dalam kemalangan jalan untuk bertemu dengan anak perempuan tuan. Dia yang terpaksa membawa diri jauh ke Selatan England untuk memyambung pelajarannya kerana namanya telah tercemar dalam senarai institusi pengajian tinggi di sini. Dan 3 bulan yang lalu, hingga ke saat ini pusat pengajian tinggi yang begitu eksklusif ini telah menawarkannya pekerjaan. Wajah Prof. Dr. Shalaby yang tidak berperasaan itu berubah seratus peratus...Berkerut. Dia tidak menyangka sama sekali orang yang paling dibencinya pada sepuluh tahun yang lepas sedang berdiri gagah didepannya. Dia masih ingat Zakuan Zikry, manusia pertama yang berjaya menamatkan pengajian diplomanya dalam masa enam bulan sahaja. Siapa tak kenal Zakuan Zikry, siswa genius yang begitu cemerlang? Zakuan Zikry pengasas Persatuan Siswa Melayu Islam Semenanjung. Dia yang terkenal kerana tesis final yearnya dalam bidang Forest Silviculture and Rehabilitation yang berjudul ‘Bisikan dari Gunung’, sehingga menyingkap lembaran baru dalam bidang perhutanan itu. Dia yang petah berhujah dan dia yang telah menambat hati seorang siswi Fakulti Perubatan yang bernama Nur Halawati Shalaby sehingga menyebabkan dia terbuang dari kolej itu sebelum sempat menamatkan pengajiannya di peringkat ijazah. Dan hari ini, Mohd. Zakuan Zikry yang sama sedang berbicara dengannya. Lebih diluar sangkanya, apabila dia sendiri yang menjemputnya kembali.



“Mengenai perletakan jawatan saya pula…maaf, saya tak boleh lakukannya. Kontrak di tangan saya jelas menyatakan bahawa saya tidak boleh meletak jawatan atau dibuang kerja hingga ke akhir semester.” Kata Z.Zikry sambil mengeluarkan sehelai kertas yang pernah ditandatanganinya bersama orang tua didepannya itu, tiga bulan yang lalu. “…Dan Prof. Dr. Shalaby, bila semester ini berakhir, saya berjanji pada tuan …kolej ini tidak lagi seperti dahulu.”
“Saya hanya mempunyai seorang sahabat karib sepanjang hayat saya. Nyawanya terkorban kerana ingin membuat tuan sedar, dan mengubah suasana tempat ini dengan menyemarakkannya dengan dakwah dan kasih sayang...lantas, sebelum saya tinggalkan tempat ini, saya akan sempurnakan inspirasinya yang tertangguh itu. Ini janji saya.” Kata-kata Z.Zikry itu berhenti setakat itu, bersama helaan nafas puas.





10 TAHUN
SEBELUM HARI INI…

Central Market, Kuala Lumpur

Awan teja telah lama berengsot bersama-sama warna merah kekuningan yang melukis ruang-ruang atmosfera. Lapisan troposfera juga begitu.



Keriuhan suara yang menjadi pembaur suasana menjelang dinihari, sekejap reda sekejap menggila. Kebisingan bunyi kenderaan itu berbaur pula dengan asap berjelaga hitam yang mengandungi gas karbon dioksida, karbon monoksida dan gas-gas adi yang lain. Semuanya dimuntahkan setiap masa. Muncung ekzos kenderaan dan corong asap kilang-kilang terus beroperasi. Sekali-sekala kedengaran bunyi hon kenderaan yang menengking manusia yang tidak selari naluri dengan matlamatnya.

Tingkap yang tercelangak sejak tadi, mengizinkan angin semilir menerjah masuk mendinginkan ruang warung mamak itu. Terasa sekali-sekala kedinginan menggigit susuk tubuh yang separuh rengsa. Kelesuan dan keletihan digagahi. Sekali-sekala keluhan pendek diluahkan. Sisa minuman di cangkir dihirup sekali. Z.Zikry tersedak. Cangkir diletakkan semula di atas ceper. Beberapa ekor semut hitam halus menyusur pada bibir cangkir. Z.Zikry tersenyum sendirian. Dia terasa berkongsi rezeki saat itu.


Z.Zikry berada ditengah-tengah hiruk-pikuk kotaraya Kuala Lumpur yang amat terkenal dengan kesibukannya itu. Buat beberapa ketika Z.Zikry terpatung begitu saja. Di sini segala-galanya begitu mewah, dan meFoziah. Bas-bas Intrakota, Metrobus, PutraLine, PlusLiner, CityLiner, dan bas-bas yang lain dengan tampalan-tampalan iklan di dadanya persis sampah besi bergerak bertali arus menyesakkan jalan raya. Kereta-kereta yang pelbagai dari yang mewah sehingga yang tidak dapat dikenali jenisnya bergerak pantas. Bagunan-bangunan perniagaan kelihatan cukup eksklusif. Nun dikejauhan kelihatan pencakar langit, Menara Petronas yang pernah mencatat sebagai bangunan tertinggi di dunia suatu ketika dahulu, dan sekarang mungkin kedua atau ketiga selepas bangunan Taipei 101 dan Skycity di Jepun. Menara kebanggaan rakyat yang menelan kos perbelanjaan yang tinggi, sehingga memaksa rakyat Malaysia berhutang beratus-ratus atau mungkin mencecah beribu-ribu billion ringgit daripada negara asing itu tampak tidak seiring dengan kutu-kutu yang merempat di kaki-kaki lima Kuala Lumpur.



Sekarang pukul 1.30 petang. Masih terlalu awal kalau dibandingkan dengan jadual perjalanan basnya ke Terengganu yang dijadualkan bergerak pada pukul 10.00 malam nanti. Sekurang-kurangnya dia masih ada masa selama 8 jam sebelum jadual perjalanan.



Kemana kau hendak pergi Zakuan ?, tanya hati Z.Zikry kepada dirinya sendiri. Dia membuka kancing atas baju kemejanya kerana terasa benar panasnya. Lilitan kain dilehernya dilonggarkan.



Ya, kemana aku hendak pergi, balasnya.
Ke Stesen Putra?
Argh, masih terlalu awal untuk pergi ke sana.
Merayau di shopping-shopping kompleks sekitar Jalan Bukit Bintang?
Huh, itu membuang masa namanya.
Habis kemana? Bukankah semua orang yang berkunjung ke Bandar besar ini adalah semata-mata untuk hiburan dan membuang masa seperti itu?
Argh, itu mereka. Jangan samakan dirimu dengan mereka itu.



Z.Zikry tersenyum sendirian. Teringat dia akan serangkap lirik lagu nyanyian M.Nasir yang berbunyi, “…sesat di Kuala Lumpur. Dosa pahala bercampur. Namun kita mesti hidup. Kita terus hidup…”
Hmm, mungkin M.Nasir juga merasakan yang sama ketika mula-mula menginjakkan kaki di kota ini.

Jam 9.30 malam di Stesen Putra penuh sesak dengan orang ramai yang sedang menunggu transit ke Pantai Timur. Bas-bas yang dijadualkan bergerak pada jam 9.00 malam baru sahaja berlepas membawa sebahagian besar penumpang. Pun begitu masih ramai lagi manusia memenuhi kerusi dan berdiri diluar pintu stesen untuk menunggu transit yang dijadualkan seterusnya.



Z.Zikry mengambil tempat jauh daripada orang ramai. Sengaja dia berbuat demikian untuk mengurangkan suasana hingar pada gegendang telinganya. Skrin besar yang menunjukkan jadual perjalanan bas dan syarikat-syarikat bas yang terlibat tidak menarik perhatiannya.


KOLEJ ISLAM NINTHI, KUALA TERENGGANU

Nur Halawati berdiri iq’tidal, kemudian rukuk, kemudian sujud. Dia bangkit duduk antara dua sujud, kemudian sujud kembali. Dalam sujud kali ini dia memanjangkan wiridnya sambil berdoa di dalam hati. Dia merintih di dalam sujudnya itu. Memohon ampun diatas segala dosa yang telah dilakukan. Merayu minta diberi petunjuk dan keredhaan. Kemudian dia bertahiyat akhir. Sesudah memberi salam dia memanjangkan wiridnya lagi dengan beristigfar dan berselawat ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad dan keluarga Baginda serta sahabat-sahabat radialLahuanha. Dia menyambung terus dengan mengalunkan surah Al-Fatihah dan ayatul Qursi. Setelah mengaminkan kedua-dua ayat agung yang dikatakan hati Al-Quran itu, dia terus menyambung dengan zikir Fatimah ;
Subhanallah…Subhanallah…Subhanallah…AlhamduliLlah…AlhamduliLlah…AlhamduliLlah…Allahuakbar…Allahuakbar…Allahuakbar…, tidak jemu diulangnya sehingga mencapai angka 99 kali. Dia menyambung lagi dengan mewiridkan kalimah Thoibah ; La’illaha’ilAllah… La’illaha’ilAllah… La’illaha’ilAllah…, sebanyak 100 kali dan menyudahkannya dengan menyebut nama Allah sebanyak 200 kali. Itulah rutin hariannya selepas menunaikan fardhu wajib. Sementara itu, Muhafizah asyik memerhatikan setiap tindak tanduk teman sebiliknya yang baru dikenal itu. Nur Halawati yang masih berada ditikar sejadah itu terus manadah tangan, berdoa kehadrat Tuhannya. Selesai saja berdoa dia terus menekup tangannya ke muka, ada air jernih yang mengalir di pipinya, namun dibiarkan saja ia mengalir.



“Apa yang engkau minta dalam doa kau itu tadi ? bukan main panjang lagi aku tengok.”
“Aku minta semoga Allah memudahkan perjalanan hidup aku di sini, bahagiakan hati papaku dan sejahterakan roh mamaku.”
“roh mamamu ?...maksudmu…?”
“ya mamaku telah lama meninggal dunia. Sejak aku berusia tiga tahun lagi.”
“oh…maafkan aku”
“its ok”
“Hmm, duduk di sini tak sampai sehari dah rindukan papa kat rumah ke?”
“Sebagai anak aku tak pernah alpa untuk mendoakan kesejahteraan papaku dan arwah mamaku. Kau tu tak pernah berdoa untuk orang tua kau ke? Atau doa kau tu hanya untuk lelaki idaman je.”
“Siapa kata aku tak ingat orang tua? Tahu tak, sampai saja kaki aku kat bumi Kolej Islam Ninthi ini terus kepala aku fikirkan mak ayahku kat Merbau Patah tu tau. Macam mana dengan ayam itik kesayanganku, laut yang membiru, air kali yang sejuk…”
“Cukup! Engkau ni buat aku homesick kau tau tak?”
“Homesick? Kan ke rumah kau tu dekat bandar Kuala Terengganu ni jugak. Bila-bila masa saja kau boleh balik.”
“Err…macam mana kau boleh tahu yang aku pun orang Terengganu?, dan tinggal di sekitar ini jugak?”
“Aku ada periksa senarai nama pelajar yang mendiami kolej kediaman ini kat bawah tu tadi, dan aku pun teringin nak tahu siapakah pelajar bertuah yang akan berlaga buntut dengan aku di dalam bilik ini nanti. Lagi pun daripada loghat kau tu pun aku dah boleh agak yang kita adalah sekapal.” Ketawa mereka berderai dengan telatah lucu Muhafizah itu.
“Ha, tunggu apa lagi? cepatlah salin pakaian kau tu. Kan kita ada majlis suai kenal dengan Pengarah dan Ahli Lembaga Pengarah Kolej malam ni.”
“Lupalah pulak.” Nur Halawati yang masih bertelekung sembahyang terus menyalin pakaiannya. Dia mengenakan baju kurung berwarna biru, warna kegemarannya yang disesuaikan dengan tudung labuh bewarna merah jambu peninggalan arwah emaknya dahulu. Dan matanya yang kuyu itu pula ditutupi dengan cermin mata tanpa bingkai. Ketenangan tergambar diparas bersihnya yang lembut itu.
Selesai bersiap apa yang patut, mereka bersama-sama menuruni anak tangga kediaman siswi menuju ke Dewan Sri Siantan.


************************************************************************

Malam itu semua pelajar Kolej Islam Ninthi dikehendaki berkumpul di foyer kolej kerana ada majlis suai kenal antara pelajar baru dan para fasilitator bertugas yang mengendalikan program oreantasi pada minggu pertama itu. Setiap daripada mereka dipanggil dan mereka dikehendaki tampil ke depan untuk memperkenalkan diri masing-masing. Sampai di suatu ketika nama seorang pelajar disebut dengan berulang-ulang, tapi tiada sahutan. Nama Mohd. Zakuan Zikry Hj. Hamzah diulang sekali lagi tetapi masih tiada orang yang menyahutnya.



Sementara itu di bilik, Z.Zikry terlantar diatas katil. Selesai saja dia menunaikan solat Maghrib tadi, terus dia menghenyakkan badannya ke atas katil itu. Keletihan sehari perjalanannya dari Kuala Lumpur ke sini masih terasa. Dia masih ingat bagaimana semalam tubuhnya dilambung oleh tayar bas yang melalui jalan yang tidak rata, dan bagaimana dia menghabiskan waktunya semalam suntuk di dalam bas dengan mengelamun kerana tidak dapat melelapkan mata walaupun sepicing. Dia juga masih ingat bagaimana dia bersama penumpang-penumpang yang lain terpaksa menunggu bas bantuan selama berjam-jam di persimpangan jalan Gambang kerana bas yang mereka naiki rosak. Perjalanan yang sepatutnya hanya mengambil masa 8 jam, bertukar kepada 17 jam. Dia turun di Stesen Tanjung pada jam 3 petang dalam keadaan letih dan lesu.



Mengikut kata abangnya, dia hanya perlu berjalan kaki beberapa meter dari stesen bas itu untuk sampai ke jeti bot penambang yang akan membawanya ke Seberang Takir. Setelah membayar tambang bot sebanyak RM 0.70, dia terus memasuki perut bot penambang itu. Dan untuk sekian kalinya lagi, tubuhnya dilambung gelombang. Asap hitam berkepul-kepul keluar dari muncung ekzos bot yang ditujahkan ke langit. Bunyi enjin dan ekzos cukup membingitkan telinga.


Apabila sampai di jeti Seberang Takir, dia terus berjalan lesu dengan dua beg galas dibahunya menuju ke jalan utama. Kerana dari situ, menurut kata abangnya lagi dia akan mendapatkan sejenis kenderaan yang dipanggil ‘Prebet Sapu’ oleh penduduk tempatan untuk ke Kolej Islam Ninthi.


“Saya hendak ke Kolej Islam Ninthi.”
“Baik adik,” kata pemandu kenderaan yang seumpama teksi tetapi tidak mempunyai sebarang tanda teksi atau cab itu. Daripada gayanya Z.Zikry dapat menduga dia seorang yang cukup mahir dengan jalan-jalan di kawasan itu.


Sepanjang perjalanan dari Hujung Tanjung ke Kolej Islam Ninthi itu Z.Zikry senyap sahaja. Dia lebih terpegun dengan keindahan pantai di Terengganu dan tidak mahu melepaskan peluang menikmatinya. Walaupun keluarganya berasal dari negeri itu, tetapi seingat dia, dia belum pernah sampai ke negeri itu sebelum ini. Menurut kata emak dan abang-abangnya, semasa kecil dia pernah menetap di suatu kampung di negeri ini. Ya, dia masih ingat nama Kampung Tanjung Batu Satu yang sering disebut-sebut itu. Namun setakat yang dia tahu, dari kecil hingga ke hari ini dia dibesarkan di Kuala Selangor. Ah, hidup ini penuh dengan teka-teki. Kalau betul pun dia pernah sampai ke sini dahulu, dia masih teramat kecil dan tidak tahu apa-apa. Namun begitu dia bertekad, kalaulah benar segala penceritaan itu, dia akan berusaha untuk mencari saudara maranya yang masih ada di negeri ini.

Kolej Islam Ninthi dilihatnya sibuk dengan ribuan manusia yang memenuhi kanopi-kanopi meja pendaftaran. Para siswa baru sibuk ke sana ke mari dengan menggelek fail-fail yang tentu sekali mengandungi segala maklumat peribadi yang diperlukan pihak kolej. Mereka bergerak dari meja ke meja, terlalu banyak borang yang perlu diisi. Kakak-kakak dan abang-abang fasilitator pula segak dengan berkemeja, dan bertali leher serta berkurung dan berkebaya. Masing-masing sibuk dengan tugas masing-masing. Yang tiada kerja, mencari kerja. Untung-untung dapat memikat adik-adik junior yang masih setahun jagung itu. Abang-abang senior pula mengangkat dada, menunjuk belang, pinta untuk dihormati dan ditakuti. Untung-untung ada pencuci pakaian baru. Ibu bapa dan sanak saudara pula sibuk mengangkat barang masuk ke dalam bilik. Tidak kurang juga ada yang tak habis-habis memberi nasihat itu dan nasihat ini kepada anak-anak kesayangan mereka.

Z.Zikry hanya keseorangan menghadapi segalanya itu. Tersentuh juga hatinya melihat situasi sebegitu, namun digagahkan juga hatinya untuk menghadapi semuanya dengan seorang diri. Apa gunanya nasihat yang berjela-jela jika tidak mengikutinya. Dan apa gunanya barang-barang yang banyak jika tong sampah juga menjadi tempat yang selayaknya.



Dari Jalan Maklumat, dia akan terus ke Kolej Tun Dr. Ismail, tempat yang bakal menyumbat dirinya dan beberapa ratus lagi pelajar baru yang lain. Dan di kolej yang begitu eksklusif itu, dia akan mencari sebuah lorong dari tempat parkir merentasi Blok Melati dan Blok Melur untuk ke Dewan Sri Siantan. Dia perlu segera mendaftarkan diri di kolej itu kerana meja pendaftaran akan ditutup pada pukul 5.00 petang nanti. Sekarang dah pukul 4.50, dia ada masa hampir 10 minit lagi sebelum sesi pendaftaran ditutup. Z.Zikry mengurut-urut dadanya yang berombak cepat.
Suasana petang itu muram. Kabus tebal menutup pandangan. Arus sejuk, hawa dingin terasa menusuk-nusuk hingga ke tulang. Bukan cuaca yang membuatkan dirinya sedemikian, tetapi hanya perasaan dan mindanya yang mentafsirkan yang sebegitu. Mungkin keghairahan perasaannya membuatkan dia alpa dengan suasana sekitarnya. Sekali-sekala dia terserempak pandang dengan putera-puteri yang satu batch dengannya. Mereka adalah pelajar-pelajar baru yang mendaftarkan diri di Kolej Tun Dr. Ismail sepertinya juga. Kesemua mereka berwajah ceria kegirangan. Senyuman yang terpancar dari raut muka mereka menzahirkan semangat yang berkobar-kobar dalam diri mereka. Maklumlah, sudah bergelar mahasiswa. Sehari sebelum sampai ke sini tentu sekali sanak saudara dan kawan-kawan sekampung tak habis-habis memuji dan mengucapkan tahniah. Belum lagi di kira berapa ekor lembu telah di tumbangkan untuk diadakan kenduri doa selamat.

Di bilik, Z.Zikry hanya bertemankan sebuah tilam dengan cadar yang kusam dan sebiji bantal busuk tidak bersarung yang dipenuhi peta-peta nukilan kreatif orang yang terdahulu mendiami katil itu sebelumnya. Chilugra, teman sebiliknya yang baru saja tadi dikenal telah menghilang selepas dia melelapkan mata Maghrib tadi. Entah kemana perginya teman sebiliknya yang berasal dari Bulgaria itu. Ah, dia teringat sekarang, mengikut jadual Minggu Orientasi yang dilampirkan di dalam fail pendaftarannya, malam ini dia sepatutnya menghadiri Majlis Suai Kenal. Sekarang sudah jam 11.00 malam, mungkin majlis itu sudah habis, kerana mengikut peraturan kolej, sebarang majlis di kolej itu, tidak kira anjuran pentadbir mahupun pelajar tidak boleh melebihi angka 12.00 malam. Entah apa hukuman yang akan dikenakan ke atasnya esok hari kerana kesilapannya tidak menghadiri majlis tersebut.


“Ya Allah, sesungguhnya aku minta petunjuk yang baik dariMu dengan ilmuMu, aku minta kekuatan dariMu dengan kekuatanMu. Aku minta dariMu dari kelebihanMu yang banyak. Maka sesungguhnya Engkau yang Berkuasa, aku tidak berkuasa. Engkau Mengetahui, bahkan Engkau sangat mengetahui bahawa perkara ini baik untukku pada agamaku, pada duniaku dan baik pada kesudahan urusanku, maka tentukanlah untukku dan mudahkanlah berkati aku padanya. Jika Engkau mengetahui bahawa perkara ini tidak baik untukku pada agamaku dan duniaku serta kesudahan urusanku, maka jauhkanlah ia dariku dan jauhkanlah aku darinya. Tentukanlah kebaikan untukku di mana sahaja aku berada kemudian redhakan aku padanya.”



( bersambung…)