Sunday, November 14, 2010

Hanya Kerana DIA (Episode :3 - Published)



5 Februari 2007, bersamaan 17 Muharram 1428, jam 12.11 pagi, dunia nyata, kamar Mohd. Zakaria Hj. Hamzah.


Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
…Ya Allah, lapangkanlah dadaku, permudahkanlah urusanku, leraikanlah simpulan pada lidahku, agar mereka faham perkataanku.


Assalamualaikum wbt.
Saya pernah melayangkan warkah ini kepada seseorang pada tahun 2001 yang lepas. Dan saya pernah menukilkan ia menjadi sebahagian daripada khutub khannah buat tatapan warga Kolej Tun Dr. Ismail pada tahun 2003 yang lalu (rujuk Warkah Buat Mereka yang Berdarah Ungu, majalah Sumbangsih KTDI keluaran tahun 2003). Juga ia pernah terangkum dalam cerpen ‘Mencari CAHAYA’, terbitan Sekretariat Penerbitan KTDI pada tahun yang sama. Dan hari ini, sekali lagi saya mengulang sejarah dengan meninta kembali warkah yang ‘meracau’ ini.


Sebelum itu. Maafkan saya kerana membebankan minda awak dengan manuskrip-manuskrip yang ‘meraban’ ini. Juga maafkan saya kerana melibatkan awak dengan beban pemikiran yang saya tanggung sekarang ini. Maafkan ‘kewujudan’ saya yang telah menyebabkan awak membuang masa dengan membaca, berfikir dan mencari buah tafsiran serta penyelesaian, dengan apa yang tergalas pada pundak saya tika ini. Maafkan saya yang telah membuat awak berasa serba salah dan tidak selesa. Maafkan saya. Maaf…


Sebenarnya saya bukan penulis ulung yang kapan dinobatkan sebaris dengan Usman Awang, Shahnon Ahmad, Abu Hassan Morad, Dharmawijaya, A.Samad Said, Hasanuddin M. Isa mahupun penulis-penulis unggul yang lain. Apatah lagi untuk saya banggakan tulisan ilmiah yang kecil ini menjadi sebuah terbitan. Sesungguhnya saya tak layak untuk itu. Saya sekadar menulis apa yang disuruh oleh hati saya. Dan tulisan manuskrip ini saya hasilkan hanyalah semata-mata untuk memperingati seseorang yang wujud dalam hati saya kala ini. Saya menulis hanya kerana ‘dia’.

..................................................................................................................

Warkah Buat Cahaya


Buat sahabatku yang bernama Nur Halawati,


Terima kasih diatas kesudianmu melapangkan masa emasmu untuk menyertaiku, mencari ruang untuk menempatkan diri, untuk berada dibawah naungan 70 000 malaikat Allah SWT, di dalam taman Syurga, untuk seketika. Semoga, seperti yang dijanjikan Allah, masa yang telah engkau dagangkan untuk menatapi warkah ini pasti membawa pulangan berganda, yang menguntungkan.


Sahabatku Cahaya Kebaikanku,
Tidaklah kau dan aku diciptakan oleh Allah SWT untuk berada di alam kampus ini, hari ini, melainkan untuk mengabdikan diri kepada Allah sepertimana yang telah difirmankanNya dalam Kalam SuciNya. Maka, untuk itulah sebenarnya denyut nadimu, hembusan nafasmu dan gerak langkahmu. Dan untuk setiap tanggungjawab ini, kita pasti akan di’tanya’ di hadapanNya kelak.


Seperti yang kau dan aku akui, mati itu pasti. Tiada siapa yang dapat menjamin, esok masih milik kita. Tidak tahu, bilakah kita akan dijemput kembali, ke alam yang tidak berpenghujung itu. Dan kehidupan yang kau dan aku kecapi saat ini, di muka bumi ini, adalah persinggahan singkat, untuk mengumpul bekalan, bagi menampung perjalanan yang abadi itu. 10 tahun, 20 tahun, telah pun berlalu. Tidak tahu, masihkah ada 10 tahun baki usia untuk aku terus menambah bekalanku? Kuhitung-hitung 20 tahun usia yang telah berlalu, AstaghfiruLlah, apakah bekal yang telah kusiapkan? Ya Allah, terlalu banyak kurangnya. Pastinya, menderitalah aku, andai esok aku dijemput kembali.


Benar Cahaya Kemanisanku, mana mungkin, amal kita yang sedikit ini menjamin kehidupan yang panjang itu. Tapi, kita memiliki sesuatu yang jauh bernilai, kasih daripada Pencipta kita, kasih Allah SWT yang melebihi segalanya. Dari itu sahabatku, gunalah sisa usia ini sebaiknya, untuk mencari, apa jua jurang yang ada, mencelah diri, merebut kasih sayangNya. Justeru itulah, warkah ini kulayangkan, sabagai peringatan, andai kau terlupa…sebagai pedoman, andai kau terkapai-kapai mencarinya.


Cahaya,
Andai kau persoalkan, memang, siapalah aku untuk menuturkan bicara ini. Diriku ini dicemari 1001 kelemahan. Tapi Tuhanku telah berfirman: “Dan tetaplah memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu memberi manfaat kepada orang-orang beriman.” Adz-Zariyaat,55.


Maafkan aku, sahabat, andai baris-baris bicara ini mengguris hatimu.Buat akhirnya, doakanlah agar diri ini akan menjadi semulia namanya, Yang Terpuji Lelaki Sejati Anak Singa Allah, di sisi Kekasihnya, Allah SWT. syukran jaza’kumuLlahukhairul jaza’…wailalliqa’

.............................................................................

(…sambungan Hanya Kerana DIA)


Kampung Paya Larut, pesisir Kuala Selangor



Mok De Indun! Mok De Indun! Mok De Indun!
De Indun ke luar dari dalam rumah apabila mendengar ada orang memanggil namanya berkali-kali. Ini mesti anak muridnya yang lewat datang mengaji, pinta untuk diajar mengaji, fikirnya.

“Mok De Indun…” Zahirah tercungap kerana terasa kurangnya gas Oksigen di dalam peparunya setelah berkejar ke situ tadi. “Mok De Indun, ini ada surat dari abang Zikry untuk Mok De Indun. Posmen tersalah hantar surat itu ke rumah Irah tadi.” Memang selalu saja surat untuk rumahnya dan rumah tok guru mengajinya itu bertukar kerana mereka berkongsi alamat yang sama.

“Apa yang dia kata dalam surat tu?” soal De Indun tak sabar-sabar ingin mengetahui berita dari anak bongsunya itu.

“Dia kata nak habiskan pelajarannya di kolej tu cepat-cepat, sebab nak masuk meminang Irah!”

De Indun melopong.

“He… he…,” Zahirah ketawa nakal. “Takdelah macam tu. Irah tak buka pun lagi surat ni ha.” Zahirah mengunjukkan surat yang masih elok bersampul itu.

“Hish, kamu ni, selalu sangat menyakat Mok De. Hah, tunggu apa lagi, buka dan bacalah surat tu untuk Mok De. Mok De bukan pandai sangat membaca, kalau setakat huruf jawi tu bolehlah sikit-sikit.”

“Ok, Mok De dengar baik-baik tau,”

Assalamualaikum warahmatulLahil wabarakatuh.
Kehadapan Mok yang Zikry hormati dan kasihi. Semoga sihat sejahtera sahaja hendaknya. Zikry di sini sihat, AlhamduliLlah. Cuaca di sini cukup nyaman untuk memberi mudharat kepada Zikry.

Mok,
Sekarang musim laut tenang di Kampung Seberang Takir. Ramai orang kampung yang turun bercandat sotong pada waktu malam, sehingga permukaan pantai cerah dipenuhi lampu kalimantang dari bot-bot dan perahu nelayan.
Bulan mengambang penuh di kaki langit menarik perhatian sotong untuk bermain di permukaan air. Sekali-sekala, bila Zikry tengok rembulan penuh yang menghiasi kaki langit dan menerangi si pecandat sotong itu, teringat pulak Zikry pada Kampung Paya Larut yang jauh nun di barat sana. Zikry masih ingat firman Allah yang mok terjemahkan secara hafazan itu dalam Surah Yaasin, ayat 39 yang bermaksud ;

“Juga bulan, kami aturkan perjalanan beredar melalui beberapa peringkat perkembangan ; dari peringkat bulan sabit kepada peringkat bulan purnama dan diakhir peredarannya ia kembali ke peringkat awalnya dengan bentuk melengkung seperti tandan tua yang kering”.

Tidak kurang jugak dengan kaki pancing, yang terus menerus melayan batang kail dan melayan kerenah ikan-ikan yang degil sehingga ke larut malam. Mereka tak jemu mok, mereka senang terlentang di pesisir pantai dengan beralaskan pasir dan beratapkan langit itu. Mereka tenang menghirup udara segar badai malam, mereka aman menikmati Bayu Laut dari Laut China Selatan, yang tak kunjung habis melempias muka mereka, dan cahaya bulan purnama yang tidak pernah jemu menjamah tubuh mereka. Semuanya cukup indah mok…Benarlah kata Allah dalam Kalam suciNya;

“Dan pada sisi Allah-lah kunci semua yang ghaib; tiada yang mengetahuinya kecuali Dia sendiri, dan Dia mengetahui apa yang di daratan dan di lautan dan tiada sehelai daun pun yang gugur melainkan Dia mengetahui (pula), dan tidak jatuh sebutir biji pun dalam kegelapan bumi dan tidak ( pula ) sesuatu yang basah atau kering melainkan tertulis dalam kitab yang nyata ( Loh Mahfuz )
(Al-An’am : 59)

Rutin hidup mereka terus bermula…macam roda, terus berputar… dan terus berputar. Pantai yang tenang begitu menghambat untuk mereka turun untuk membongkar segala khazanahnya. Untung-untung dapat Udang Baring. Boleh buat Jemput-jemput, atau kalau banyak boleh buat belacan. Mok pun ada sebut dulukan? yang keluarga kita antara pembuat belacan yang terlaris di Kuala Terengganu dulu. Kini baru Zikry tahu macam mana rupanya udang baring, dan macam mana bentuknya pula belacan itu. Ah, tak rugi rasanya menuntut di kampung halaman sendiri. Betul tak Mok, udang baring dapat dikesan kehadirannya apabila laut yang biru kehijauan itu akan berubah menjadi merah? Betul tak, Biasanya ia hadir di pesisir pantai dan bermain di permukaan laut, memberi kemudahan kepada manusia untuk menangguknya tanpa berperahu?
Sumber www.digitalmukmin.com
Betul tak, dulu arwah Pok mengheret pukat merentangi pantai dari kiri ke kanan, supaya udang yang hidup berkelompok itu akan tersangkut apabila masuk ke dalam pukat yang menggelembung ke belakang itu? Betulkan? Kini Zikry tahu semuanya.

Mok,
Musim begini, orang di sini akan memenuhi pantai, bagaikan satu festival. Mereka sanggup memesrai pantai dari pagi ke tengahari, bahkan sampai ke petang, tak kira dari budak hingga ke bapak budak, dari anak dara hingga mak dara, dan sudah semestinya Zikry juga diantara orang yang berada disana bersama Pak Ngah mengokot udang, sampai legam habis kulit muka dibakar terik matahari…panas.

“Dan apakah mereka tidak melihat nikmat-nikmat Kami, diantaranya Kami telah jadikan untuk mereka binatang-binatang ternakan yang kami ciptakan dengan kekuasaan Kami, lalu binatang-binatang itu menjadi milik mereka”.
( Yaasin : 71 )

Ah, berkenaan Pak Ngah. Hari itu sebelum Zikry berlepas ke sini, Mok ada berpesan bahawa Zikry mempunyai keluarga di sini. Dan Mok menyuruh Zikry mencari ahli keluarga kita itu, dan sampaikan salam pada mereka seandainya mereka masih ada. Untuk pengetahuan Mok, bermula hari pertama Zikry menginjakkan kaki di tanah Terengganu lagi, Zikry telah memulakan pencarian itu. Dan hasilnya, Zikry telah bersatu kembali dengan abang Mok yang bernama Ibrahim itu.
Sumber www.digitalmukmin.com
Dan Zikry telah menyampaikan salam Mok kepada dia dan isterinya. Pada mulanya mereka pun terkejut melihat kehadiran Zikry. Zikry pun menceritakan tentang asal usul Zikry, bagaimana Zikry boleh sampai ke sini, dan berkenaan arwah Pok. Mendengar cerita Zikry, mereka pun menangis, memeluk dan memohon maaf kepada Zikry. Zikry pun tidak tahu mengapa. Mok tentu ada jawapannya.


Mok,
Bermula dari pertemuan itu Zikry dapat rasakan yang hidup keluarga kita mempunyai sejarah yang tidak Zikry ketahui. Zikry dapat rasakan yang kisah lampau keluarga Zikry hitam seperti lumpur yang timbul apabila Paya Bakau Larut itu kering. Namun Zikry tetap memasang tekad untuk mengcungkilnya. Biar pun ia memberi nanah kepada Zikry.

Mok,
Dah terlalu banyak Zikry bercorek dan membuat nukilan, kesian kat anak jiran kita, rumah sebelah itu kena membacanya untuk Mok. Sampai di sini saja dulu berita Zikry di sini. Seandainya ada perkembangan terkini Zikry tidak akan lupa untuk berkirim surat. Sampaikan salam Zikry pada Kak Zah, Kak na dan abang-abang yang lain sekiranya mereka ada pulang ke kampung.
…Wassalam…

“Wa’alaikumussalam,” jawab Zahirah sambil tersengih kerana dirinya juga ada disebut dalam surat yang panjang berjela itu.

De Indun pula menghembus nafas lesu. Rasa bersalah terbit dihatinya apabila mendengar berita yang baru disampaikan oleh anak kesayangannya itu. Bukan, bukan kerana berita itu yang membuatkan hati tuanya gusar, dia gembira sebenarnya kerana hubungan keluarga yang lama terputus itu telah berjaya disambungkan kembali oleh anaknya. Tetapi tekad anak mudanya diakhir coretan warkah itu yang membuatkan dia rasa tak sedap hati.

Dia tak suka sejarah hidup keluarganya itu disebut dan diungkit kembali. Biarlah ia diabadikan dalam memori dia bersama arwah suaminya, dan mereka anak beranak. Sebolehnya dia tidak mahu anak terakhirnya yang tidak mengerti apa-apa itu terpalit luka dan selut hitam yang sama. Sungguh-sungguh dia tidak mahu anaknya itu tahu siapa dirinya yang sebenar. Sungguh-sungguh dia tak mahu anaknya itu terluka. Sungguh-sungguh dia tidak mahu melihat itu semua di hari tuanya ini. Ah… Mohd. Zakuan Zikry Hj. Hamzah.

..............................................................................................

Kuala Terengganu, Terengganu


Seberang Takir, seperti biasa, indah dan amat mempesonakan deria mata dan telinga. Nyanyian riak airnya yang memesrai pantai, tiupan bayu laut yang perlahan dan sinaran matahari yang lembut menjadikan suasananya indah dan mengasyikkan.
Sumber: www.digitalmukmin.com
Sumber: www.digitalmukmin.com

Pantai Teluk Ketapang, Pantai Airport, Pantai Tanjung, Pantai Mengabang Telipot dan pantai-pantai yang berjajar dengan Seberang Takir tidak sekadar memukau perhatian malah memukau seluruh gerak laku pecinta keindahan alam semula jadi. Keindahan kawasan-kawasan pantai ini seperti berjangkit ke mana-mana. Batu Buruk, Pulau Kambing, Pulau Duyung, Pulau Ketam, Marang, Rhusila, Rhumuda, malah Bandar Kuala Terengganu, meskipun lebih banyak bangunan daripada pokok dan tumbuhan yang terpelihara cantik, ia tetap indah dan menawan.

Segarnya udara di pinggiran Kuala Terengganu rasanya lebih terbukti. Bukan sahaja kerana ia lebih hampir dengan muara Sungai Terengganu yang menghubungkan sungai dengan Laut China Selatan serta memisahkan antara Seberang Takir dengan Bandar Kuala Terengganu, ia juga menjadi kawasan tumpuan pelancong kerana di sinilah letaknya Istana Maziah, Bukit Puteri, Pejabat Besar Pos Malaysia yang tertua di negeri ini, dan Masjid Putih, yang menjadi masjid negeri Terengganu.
Sumber: www.digitalmukmin.com
Tidak jauh dari sini berdirinya Pasar Kedai Payang, gedung membeli belah yang terkenal dengan batik, songket, kain sarung, dan serba mak nenek kraftangan masyarakat tradisional Terengganu.

Dari jeti bot penambang Kuala Terengganu berhampiran Bukit Puteri ini Nur Halawati melemparkan pandangannya ke arah bukit yang cukup bersejarah itu. Antara sejarah, lagenda dan dongeng penduduk tempatan sering bertelingkah tentang asal kewujudan bukit tersebut. Ada yang mengaitkannya dengan Tujuh Puteri yang mendiami atau mungkin menguasai perbukitan Negeri Terengganu yang sering berpindah penempatan mereka, sekejap di Bukit Tok Beng, sekejap di Bukit Tunggal dan bukit-bukit yang lain, sehingga tercipta sebuah ceritera yang mengisahkan kewujudan mereka yang berjudul ‘Ulek Mayang’. Ada yang mengaitkannya dengan kisah Sultan Terengganu ke-III yang meminjam pinggan mangkuk daripada pemilik bukit tersebut yang akhirnya membuatkan mereka marah apabila pinggan-pinggan tersebut pecah dan gagal dipulangkan. Tapi yang pastinya, setakat kajian ringkasnya dalam ‘Kerja Kursus’, matapelajaran Sejarah sewaktu di tingkatan tiga dahulu membuktikan yang bukit tersebut pernah menjadi kubu pertahanan Negeri Terengganu semasa zaman pendudukan British, Jepun dan dari lanun-lanun yang cuba menceroboh negeri itu. Dan sehingga sekarang, bukit itu masih berfungsi sebagai rumah api yang menunjuk arah kepada pelayar-pelayar, pelaut-pelaut dan nelayan-nelayan.

..........................................................................................

Kolej Kediaman Tun Dr. Ismail, Kolej Islam Ninthi

Rumput, pokok, awan, dan matahari, semuanya seolah-olah terpaku. Sesekali apabila angin memesrai dedaun di pohon, seolah-olah membisikkan khabar gembira. Angin menyapa hujung-hujung rumput yang masih lembab diselimuti titisan embun, kemudian melorot tinggi hingga memesrai awan. Angin tertujah mendengar khabar itu. Matahari pun galak meskipun cahayanya tidak pernah sampai menggigit sebagaimana ia kerap menggigit bumi Kuala Lumpur.
Burung berkicau girang, terbang rendah menyusup di sisinya. Burung seperti menoleh seketika melihat siapa pemuda Melayu yang telah menawan bumi Seberang Takir ini.

Ya, di sini aku wahai burung, naluri Z.Zikry seperti membisikkan. Di sini aku berdiri untuk terus berada di tengah gelombang perantauan meskipun aku pernah ke sini dulu. Di sini aku untuk menyahut seruan agamaku demi meletakkan diriku dikalangan orang-orang yang diredhaiNya meskipun aku berasa terlalu jauh untuk itu.

Tetapi, berada di Kolej Islam Ninthi ini semuanya kelihatan sulit dan penuh cabarannya. Pelajaran betul-betul membebankan. Menjadi pelajar eksternal pada suatu masa, kemudian disambung pula dengan kursus jangka pendek untuk setahun ini, terasa terlalu perit. Semuanya perlu dikuasai dengan cepat supaya setanding dengan pelajar-pelajar sepenuh masa. Jika tidak, apa yang hendak dijawab apabila masuk ke dewan peperiksaan nanti.

Masalah menyerabut lagi. Harga kertas peperiksaan yang bakal diduduki belum dibayar, harga buku-buku yang dibeli menggunakan kemudahan kredit mahasiswa juga belum dijelaskan, sewa hostel masih tertunggak, harga makanan tertangguh bayarannya beberapa minggu. Uh, Z.Zikry merasakan ombak dadanya menyalurkan darah-darah panas yang bergetar ke serata badan.

**************************************************

Kata Nur Halawati, cuaca tahun lalu telah menyalahi kebiasaannya. Bahagian timur Semenanjung Malaysia itu dilanda hujan yang turun tidak menentu, bukan pada musimnya, yakni Musim Tengkujuh. Seluruh pesisiran pantai Terengganu seolah-olah memperagakan pesta payung. Jalan-jalan raya yang selalu sibuk dengan kenderaan tali-menali, sesak dengan manusia berpayung, terutama pada waktu selesainya urusan harian.
Sumber : www.digitalmukmin.com
Kata Nur Halawati lagi, tiada sesiapa yang mahu memesrai Pantai Batu Buruk yang bersih lagi berpasir halus ketika itu. Sewaktu Pesta Pantai atau lebih dikenali sebagai Pesta Memuja Pantai suatu ketika dahulu, pantai yang menghadap Laut China Selatan itu sesak dengan ribuan manusia. Jun itu, Batu Buruk sepatutnya berpesta dengan pelbagai pameran, perdagangan, sukaneka, fun fair, dan konsert daripada artis-artis yang didatangkan dari seluruh pelusuk Malaysia. Tetapi tidak demikian jadinya. Pantai Batu Buruk terbiar dan tiada sesiapa yang ghairah hendak memesrainya seperti selalu. Cuaca yang menyalahi kebiasaan benar-benar memenjarakan.

Dan menurut kata Nur Halawati lagi, dari Seberang Takir, Tanah Besar Bandar Terengganu, kira-kira 5 kilometer sahaja tetapi payah hendak dilihat. Rintik-rintik hujan bersama deru yang kadang-kadangnya menggila menyebabkan titis-titis air memenuhi permukaan muara, menampan Tanah Besar Bandar Terengganu dari dinikmati keindahannya dari Seberang Takir sahaja.

Tidak sahaja di Kuala Terengganu, malah di Besut di sebelah Utara, di Kemaman di sebelah Selatan dan di Kuala Berang di sebelah Barat, keadaannya serupa sahaja. Penghuni daerah-daerah besar lagi utama di Terengganu itu seolah-olah menjalani perintah berkurung yang hanya memberi pengecualian sekiranya memiliki sampan, four Wheel drive, atau sekurang-kurangnya payung, atau sanggup membasahkan diri dan dihanyutkan banjir.

“Jadi fenomena itu membingungkan ahli kajicuaca,” kata Hana.

“Bukan ahli kajicuaca sahaja, malah semua orang. Tengkujuh turun tidak pada waktunya. Itu cukup meresahkan,” sambung Nur Halawati terus. “Tapi itu hanya berlaku kepada orang yang dangkal imannya. Mana mungkin orang yang jitu imannya meragui dan mempertikaikan kehendak dan kehebatan Allah dalam mentadbir alam ini. Sedangkan setiap yang berlaku, telah berlaku dan akan berlaku, semuanya telah termaktub dalam Loh Mahfuz.”

“Pernahkah hujan tidak turun pada waktunya kak?” Tanya Hana.
“Tidak. Tetapi pernah berlaku di satu tempat di Terengganu ini, salji turun sebagai hujan.”

“Ha?” Terbeliak mata anak jati Klang itu.

Nur Halawati ketawa. “Ah, kita lupakan hal itu. Bagaimana dengan proposal kamu tu? Nak submit esokkan, dah settle belum?”

Hana seperti baru tersedar dari lamunannya. Dia pura-pura tersengih.

“Nanti mengamuk pula ahli kumpulan kamu tu. Ada apa-apa yang boleh akak bantu?” Tanya Nur Halawati lagi.
Hana tertunduk. Tiba-tiba hatinya menjadi gusar.




(…bersambung)