Sunday, February 13, 2011

Hanya Kerana DIA (Episod 5 - published)


Fakulti Perhutanan, Kolej Islam Ninthi
Pertama dalam hidupku, kini terus menjadi nostalgia, aku mendengar orang menyebut Allah. “Allah?” soalku sambil menikamkan pandanganku tepat ke anak mata Z.Zikry.
Allah itu Tuhan yang menciptakan seluruh alam ini. Allah Maha Berkuasa, Maha Bijaksana, Maha Tahu, dan Maha segala-galanya. Dengar firman Allah dalam Surah Az-Zukhruf ayat 10; “(Allah) yang menjadikan bumi untuk kamu sebagai tempat menetap dan Dia membuat jalan-jalan di atas bumi untuk kamu supaya kamu mendapat petunjuk.”
Mengapa Allah menurunkan bala kalau Allah itu Maha kepada segala Maha? Tanyaku tetapi tidak kuluahkan.
“Kelihatannya hujan yang menyalahi ramalan ahli kaji cuaca ini bagaikan bala, tetapi sebenarnya tidak,” jelas Z.Zikry, seolah-olah dapat membaca kata hatiku.
“Mengapa pula tidak? Lihat, jelas aktiviti manusia tersekat kerana cuaca menyalahi kebiasaannya.”
“Jangan lihat aktiviti manusia sahaja.”
“Aktiviti apalagi ?”
“Kau lupa di dalam tanah tempat kau berpijak ada beribu-ribu spesies yang tidak engkau ketahui bentuk dan jenisnya. Dan kau juga lupa di atas bumi ini pelbagai tumbuhan sedang hidup yang mana akarnya sentiasa memerlukan air, sedang kau tidak tahu berapa sukatan air yang diperlukan oleh setiap tumbuhan itu. Kau tidak akan tahu keperluan air bagi setiap hidupan lain untuk terus aktif membina sahsiah demi kepentingan manusia jua. Itu sekadar tiga contoh terdekat, belum lagi menyentuh tentang kaitannya dengan peredaran awan, lapisan ozon, ruang lingkup atmosfera, perubahan suhu laut, di kerak bumi, di angkasa bahkan di seluruh cakerawala.”

Z.Zikry pun membacakan satu lagi ayat dari kitab sucinya dalam Surah Az-Zukhruf : “Dan Allah yang menurunkan air dari langit menurut kadar (yang diperlukan) lalu Kami hidupkan dengan air itu negeri yang mati, seperti itulah kamu akan dikeluarkan (dari dalam kubur).”
Aku cuba menyentuh kitab sucinya, tetapi diasegera melarikannya.
“Kau belum lagi menelaah kitab suci orang Islam ini.” Z.Zikry menyelak-nyelak helaian Al-Quran ditangannya. “Kalau kau berpeluang berbuat demikian kau akan dapati setiap yang berlaku di muka bumi ini telah termaktub di sini. Kau tahu Chilugra, kalimah-kalimah suci ini telah diturunkan kepada Nabi Muhammad kira-kira 1400 tahun dahulu. Namun, ia sentiasa baru kerana ilmu yang tersirat di sini sentiasa ada benarnya untuk setiap zaman.”
Sekali lagi aku cuba hendak mengambil kitab suci itu dari tangannya.
“Maaf, tidak semua orang boleh menyentuhnya kerana kesucian kalimah ini terlalu agung lantaran datangnya dari Allah.”
“Aku tidak suci?” tanyaku, hairan dan sedikit marah.
“Bukan begitu maksudnya. Ah, kau akan mengerti kalau kau berusaha dan ada hidayah daripada Allah.”
Aku membisu. Berserabut fikiranku dengan pelbagai teka-teki. Jika demikian hebat lagi suci ilmu yang tekandung di dalam kitab yang bernama Al-Quran itu, layaklah ia hanya disentuh oleh mereka yang suci. Tetapi apakah aku tidak suci?
“Maafkan aku Chil. Aku tahu kau tentu tidak seratus peratus bersetuju dengan apa yang telah aku katakan. Tapi kau harus ingat, biar sekuat mana pun hati membantah, yang benar tetap benar. Dan ini adalah kebenaran.”
Hujan yang menitis semakin lebat turunnya. Tidak ada tanda-tanda fenomena itu akan berhenti atau reda dalam masa beberapa waktu ini. Seluruh perkarangan kolej kelihatan becak dan ada air yang telah melimpah ke jalan-jalan utama. Keanehan ini benar-benar telah mengubah corak kehidupan di Kolej Islam
Ninthi ini. Selalunya, dalam keadaaan cuaca baik para siswa dan siswi akan memenuhi taman-taman di perkarangan dalam kelompok-kelompok kecil. Pelajaran yang ditimba siang tadi diperkatakan, diperbahaskan malah ada kalanya diperdebatkan. Tidak kurang juga ada para siswa dan siswi yang yang melilau-lilau di Bandar Kuala Terengganu mencari hiburan hingga larut malam.
Kemudian Z.Zikry membacakan lagi sepotong dari Surah An-Nahl ayat 65, “Dan Allah menurunkan dari langit air (hujan) dan dengan itu dihidupkanNya bumi sesudah matinya. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi orang yang mendengarkan (pelajaran).”


Entah mengapa, pagi itu aku tidak dapat melelapkan mata biarpun kebiasaannya pagi-pagi sebegini aku masih seronok melayan lena. Bagiku pagi ini lebih damai dari biasa, tetapi aneh, mengapa kelopak mataku terus bugar. Setiap kali aku cuba pejam, setiap kali itu juga kelopak mataku bagai diangkat-angkat supaya berjaga.
Tetapi aku tidak bangkit dari baringku. Kian detik, suasana diluar bertambah cerah meskipun kabus memutih di merata-rata. Barangkali hari ini seperti hari terdekat sebelum hari ini juga; matahari tidak muncul, angin kerap menghembus, kabus semakin tebal, suasana dingin dan lembab atau boleh jadi sahaja hujan lebat turun bukan dalam musim Tengkujuh yang tidak pernah berlaku dalam sejarah sebelum ini berlaku lagi.

Aku terus merenung keatas. Cuaca yang menyalahi tabie itu begitu meracau fikiranku. Cuaca buruk dalam waktu yang diramalkan baik cukup aneh. Bukankah setiap ramalan tidak bersandarkan teka-teki, bukankah seluruh pengetahuan berdasarkan setiap ramalan dan bukankah ramalan itu rangkuman dan himpunan dari seluruh ilmu juga kepakaran ? Justeru mengapa tiba-tiba ramalan menyalahi kebiasaannya? Perubahan pada sistem solarkah atau perubahan pada gerak bintang-bintangkah atau perubahan pada seluruh cakerawalanya?
Tidak, bantah suara hati kecilku sendiri. Tidak begitu, kata Z.Zikry. Katanya tiada yang mustahil kalau Allah mengkehendaki dan setiap yang telah, sedang dan bakal terjadi telah termaktub dalam Loh Mahfuz. Loh Mahfuz?

Z.Zikry pernah membacakan sebuah firman dari kitab sucinya dalam Surah Al-An’am ayat 59; “Dan pada sisi Allah-lah kunci kepada semua yang ghaib; tiada yang mengetahuinya kecuali Dia sendiri dan Dia mengetahui apa yang ada di daratan dan di lautan dan tiada sehelai daun pun yang gugur melainkan Dia mengetahuinya (pula), dan tidak jatuh sebutir biji pun dalam kegelapan bumi, dan tidak (pula) sesuatu yang basah atau kering melainkan terlulis dalam kitab yang nyata (Loh Mahfuz).”
Aku memicit-micit dahiku kerana terasa berdenyut. Al-Quran, Nabi Muhammad, Loh Mahfuz, Islam, Iman, Aurat, Melayu, Syurga, Neraka, Dosa, Pahala, Sembahyang, Syahadat, Suci, Nabi dan Tuhan. Ah, banyak sekali.

Waktu terus berengsot-engsot perginya. Masa yang berlalu itu tidak mungkin akan kembali. Kurenung tapak tanganku dan membanding-bandingkannya dengan usia yang telah kujangkau. Dahulu telapak tanganku kecil sahaja, seperti telapak tangan Ursula, adik bongsuku yang baru enam tahun menikmati udara bumi itu. Dahulu, tubuhku tidak setinggi dan sebesar ini. Dahulu, aku tidak mengerti banyak perkara apalagi dunia kanak-kanakku yang dipenuhi oleh hal-hal yang cukup melalai dan mengasyikkan.

Kini aku bernama Chilugra, tetapi diriku tidak jauh bezanya berbanding dahulu. Siapakah yang telah menumbuhsuburkan tubuhku? Membesarkan tapak tangan ini sehingga mampu menggenggam apa sahaja semahuku? Siapa yang telah memberi nyawa kepadaku untuk aku terus hidup hingga ke saat ini? Siapakah yang telah memberikan aku pancaindera-pancaindera ini hingga sempurnalah kehidupanku sebagai insan normal? Dan siapa? Siapakah memberi akal kepadaku sehingga aku dapat meraih begitu banyak ilmu sebagai bekalan menghadapi hari muka?

Aku tidak dapat menjawab soalan-soalan yang dikemukakan oleh naluriku sendiri itu. Namun aku yakin pasti ada suatu kuasa yang terlalu hebat yang telah menciptakan tidak sekadar tubuhku ini bahkan seluruh alam maya yang tidak terjangkau oleh pengetahuan manusia.
Allah-kah kuasa itu?
Allah-kah yang telah mengadakan segala ini? Allah-kah yang telah menciptakan diriku dan seluruh kehidupan yang melata di muka bumi ini?
“Ya Allah-lah.” Itu kata Z.Zikry lagi, suatu hari sewaktu berjalan seiring selepas habis kuliah di Fakulti Perhutanan. Dia remaja Melayu yang sering-sering memikir-mikirkan kejadian alam, kejadian manusia, kejadian seluruh planet, kejadian seluruh cuaca dan kejadian apa saja. “Ya Allah-lah yang telah menjadikan semuanya ini.” Itu katanya lagi yang kemudiannya diperjelaskan dengan dalil yang dibacanya dari Surah Nuh, kitab yang bernama Al-Quran, seperti selalu.
Green Winged Pegion
Kulemparkan pandanganku ke luar. Suasana masih seperti tadi; suram dan lembap. Purple-naped Sunbird, Red-eyed Bulbul, Hooded Pitta, dan Green-Winged Pegion tidak begitu banyak menghiasi pandanganku. Sebungkam nafas terhambur dari kerongkongku. Lalu aku mendongak ke atas. Awan kelabu tertutup oleh kabus tebal, menyekat pandanganku untuk memanah angkasa raya yang menyimpan berjuta rahsia.
“Jika Islam itu benar datangnya dari Tuhan yang bernama Allah, kau buktikanlah,” pintaku sambil mengurut dagu, menanti penjelasan dari Z.Zikry.

Z.Zikry tidak terburu-buru menjawab. Barangkali dia tahu setiap butir katanya sama ada mengukuh kekal atau menghapus-mati keyakinanku terhadap agamanya.

“Jika Tuhan itu ada, kau buktikanlah adanya itu.”
Aku lihat Z.Zikry menarik nafas panjang. Entah apa yang difikirkannya.

Di luar titis-titis hujan telah menimpa daun-daun pokok dari jenis Secondary Species atau Light Demandging Spesies yang tumbuh meliar di kawasan terbiar berhampiran Institut Bioteknologi. Gerimis senja di Seberang Takir telah memandikan hampir semua tumbuhan renek serta rumput rumpai yang menghampar di seluruh halaman kolej. Fenomena ini amat pelik sekali; pelik bukan kerana musim kemarau tidak semestinya hujan, tetapi pelik kerana musim kemarau ditimpa hujan yang berterusan, musim Tengkujuh bukan dalam musimnya. Ah, luar biasa dan juga menakutkan. Sekali-sekala terasa angin menghembus kuat menampar-nampar pipiku dan meliuk-lintukkan ranting serta meluruhkan daun-daunnya yang telah tua.

“Dalil adanya Tuhan tidak lain kerana adanya alam ini. Alam ini pasti dicipta. Wujud setiap sesuatu itu pasti ada kerana ada penciptanya. Demikian alam ini dan demikian juga diri kau Chilugra, pasti ada penciptanya. Siapakah pencipta itu? Tentulah kehebatannya melebihi apa yang diciptakannya dan tentulah bahan ciptaan-Nya tidak menyerupai diri-Nya. Pencipta kereta apakah sama dengan bentuk kereta? Jika kau mengatakan ya, kau menyamakan Sir Henry Ford sama seperti benda beroda empat yang diciptanya itu.” Z.Zikry berhenti sebentar, tetapi matanya terus menikam anak mataku dengan tajam. “Kalau kau bersetuju bahawa setiap ciptaan pasti ada hubungannya dengan Pencipta, kau patut bersetuju bahawa Tuhan itu ada. Kerana jika Tuhan tiada, bagaimana boleh wujud ciptaan-ciptaan agung yang dapat kau lihat, sentuh, rasa dan nikmati ini.”
Aku termanggu.

“Dalam ilmu Sains disebut, setiap sebab pasti berakibat. Dalam ilmu Fizik dan Matematik pula sebab dan akibat ini diukur menggunakan angka-angka sifar hingga lahirlah formula-formula mengukur gerak, bentuk, bunyi atau apa juga yang abstrak. Dalam ilmu Islam, sebab dan akibat itu dapat dibuktikan dengan adanya Pencipta, maka akibatnya adalah bahan-bahan yang dicipta. Adanya Tuhan sebagai sebab, adalah alam, cakrawala, makhluk, dan lain-lain sebagai akibat dari wujudnya sebab itu.”
“Bagaimana dapat kau buktikan Tuhan itu wujud secara nyata. Bukankah setiap yang wujud pasti ada. Jika ada di mana, apa dan bagaimana bentuknya?”
Z.Zikry terdiam mendengar persoalanku. Apakah yang akan diperkatakannya?

“Chilugra,” ujar Z.Zikry merendahkan nada suaranya. Kau tidak harus menyamakan Islam dengan anutan yang lain. Islam agama unik, suci lagi benar. Aku atau sesiapa pun tidak dapat membawa Tuhan atau Allah dihadapan mata untuk dilihat, apalagi diajak berbicara. Seperti yang aku katakan tadi, bukankah Tuhan itu Pencipta, dan Pencipta itu pastilah tidak sama dengan apa yang diciptaNya. Maka Tuhan itu tidak dapat dilihat kerana Dia bukan makhluk, Dia bukan benda, Dia tidak sama dengan apa jua di muka bumi ini. Tetapi yakinilah Tuhan itu wujud dan pada saat ini sedang memperhatikan dan mendengar segala persoalan kau.”
(…bersambung)