Wednesday, November 30, 2011

Hanya Kerana DIA (Episod 8 : Pulished)


Kampung Tanjung Batu Satu

Hujan turun dengan lebatnya membanjiri sekitaran rumah berderet itu. Namun Z.Zikry tidak berganjak daripada memandang ke arah laut lepas. Tempiasan hujan kadangkala sampai juga merembes ke mukanya. Tetapi Z.Zikry tetap menampan rembesan air hujan itu tanpa bergerak dari kerusi yang didudukinya.

Mengapa harus dia terlontar ke jajaran Pantai Tanjung Batu Satu ini. Mengapa tidak ke wilayah lain? semacam itu persoalan yang berlegar di dalam laut fikirnya. Z.Zikry memandang ke horizon laut. Kabut-kabut putih memenuhi pandangannya.

Apakah kehadirannya ini suatu kebetulan? kebetulan kerana keluarganya pernah menjelajahi…bukan! Bukan menjelajahi. Menetap. Ya…kebetulan kerana keluarganya pernah menetap di wilayah ini suatu waktu dahulu? dan, keluarganya juga pernah menjadi sebahagian daripada kelompok nelayan yang sama-sama mencuba nasib menyelongkar khazanah laut pesisiran pantai Kuala Terengganu ini suatu ketika dahulu. Bahkan, datuknya, Tok ki Cer Tanjung, pendekar yang diakui kependekarannya pernah bersama-sama barisan pejuang dibawah pimpinan Tok Ku Paloh dalam menggempur menghalau tentera British laknatuLlah dari jajahan berdaulat Kuala Terengganu. Pernah menyelamatkan beratus-ratus nyawa penduduk pesisir pantai Kuala Terengganu dengan menggali kubu pasir dibawah rumah semasa pendudukan tentera Matahari Terbit itu. Dan keluarganya yang sama juga pernah difitnah oleh manusia-manusia yang iri lagi khianat sehingga membawa mereka jauh ke Kuala Selangor. Membawa hati mereka jauh dari rasa luka. Membawa pengorbanan yang besar untuk membina hidup baru jauh dirantau orang. Membawa luka yang masih bersisa. Lantaran kenapa dia harus ke sini lagi? kenapa dia harus menginjakkan lagi kakinya diatas bumi yang pernah menghalau keluarganya ini? Bumi yang pernah mencarit baritkan maruah keluarganya yang dahulu dihormati ramai? Bumi yang pernah mengoyak rabakkan hati Poknya dengan derita di rantau orang sehingga membawanya kepada ajal. Kenapa?!

Angin timur menderu kencang menampan rumah itu. Tempiasan hujan sekali lagi menampar muka Z.Zikry. Z.Zikry meraba mukanya. Mukanya sudah digenangi air. Tetapi tidak pasti pula adakah air yang bertapak di mukanya itu air hujan atau sebaliknya.

            “Hidup ini penuh sofistikated…yang tidak boleh terlencong dari masalah yang setiap masa memerlukan minda dan hati berfikir untuk mengatasinya. Hidup kita juga kadangkala dipenuhi dangkalan fikiran yang adakalanya logik untuk diterima oleh akal. Zakuan…jadilah seorang yang tabah menghadapi segala apa ujianNya. Biarkan kisah silammu menjadi mimpi semalam,” itu kata Nur Halawati pada sela beberapa hari sebelum dia dibuang dari Kolej Islam Ninthi.

Hala …
            Apakah perpisahan ini mencampakkan aku ke Tanjung Batu Satu ini? Dan kau yang jauh di seberang sana itu juga merasai seperti apa yang aku rasai kini?
            Hala …
            Tahukah engkau betapa hati ini cukup merana dikejauhan ini? Laut, pantai, bayu dan camar tak mampu meredakan pilu pedih hati ini akibat luka-luka lalu.
            Hala …
            Deru angin menujah ke beranda rumah rehat lagi. Cukup kuat sehingga tempias hujan menampan badan Z.Zikry. Z.Zikry kebasahan. Tetapi dia tetap tidak berganjak dari tempat duduknya. Biar hujan membasahi seluruh tubuhnya. Biar kesejukan mencucuk seluruh urat nadinya. Biarlah… hati dan perasaan ini sudah tak punyai apa-apa lagi… oh Tuhan…!

“Encik,” panggil satu suara halus dari belakang.
            Z.Zikry tersentak. Dia menoleh ke belakang. Seorang perempuan dalam lingkungan usia 30an tercegat berdiri dibelakangnya.
            “saye dimintok oleh majikang saye memindohkang kerusi-kerusi yang ade diberande ini ke ruang dalang. Hujang nampoknya kohor lebat.” Kata perempuan itu dalam loghat Terengganu yang cukup pekat.
            Z.Zikry bangun. Dia berjalan-jalan ke tepi beranda. Dibiarkannya pekerja rumah rehat itu memunggah kerusi ke ruang dalam.

            Pulau Kapas dikejauhan Laut China Selatan itu kelihatan berbalam-balam. Titisan hujan yang semakin melebat menampan pemandangan ke arah lambaian pepohon nyiur di Tanjung Batu satu dan Tanjung Mengabang itu. Hujan semakin lebat.

            Di pantai, alunan ombak terus gagah menerjah ke pantai. Buih-buih putih terus datang mengejar pantai dan kemudian meluncur masuk ke dada pantai.

            Angin kencang menujah lagi. Z.Zikry kesejukkan. Dia menyusupkan tangannya ke dalam poket baju tebal yang membaluti badannya. Jemarinya terasa menjamah sesuatu di dalam poket itu. Dia mengeluarkannya, ah…secebis nota yang pernah dinukilkan oleh Hala . “Zakuan, thanks for all…hidup ini kadangkala umpama bayangan di dalam air, kadangkala kita tidak dapat menerima hakikat itulah bayangan kita. Tapi, bila kita campakkan batu ke dalam air tersebut…hilanglah bayangan yang mengejek kita. Renungkanlah…” argh, dia terasa kedua lututnya longlai. Serentak dia terjelepuk di tepi beranda itu.

            “Hala …sampai bila kita nak lempar batu ke dalam air, berapa banyak batu yang harus disediakan untuk terus kocakkan air itu. Entahkan bila air itu akan terus berkocak. Entah…” keluh Z.Zikry perlahan dengan hatinya yang sebak.

Hala …
            Apakah aku disisimu seperti buih-buih itu yang datang ke bibir pantai dan kemudian meresap jauh ke dasar pepasiran?
            Atau akan berterusankah aku hidup terasing sebegini…?
            Hala  …
Hujan terus turun.
            Pantai terus basah.
            Di horizon laut, awan kelabu terus berkumpul, mengelam suasana petang.
Z.Zikry terus memandang ke hujung benua.

Wednesday, November 9, 2011

Ihsan

Tiada gugur satu daun di dalam kepekatan malam
...Melainkan Dia Mengetahui
Tiada bergerak sesuatu zarah dalam kepayahan pejal
...Melainkan Dia Mengizini

Hidup, gerak-diam mu dalam taklukanNya
Mati, kaku-tangis mu dalam janjiNya
...Cantik, indah wajahmu lambang kurniaNya
...Buruk, jelik tingkahmu dalam penyaksianNya

"Beramal-lah kamu kepada Aku
Sebagaimana kamu melihat Aku
Kiranya itu sukar bagimu,
Maka yakinlah amal-mu itu Aku melihatnya"
(Sungguh Aku Maha Melihat)

Tiada gagah apa yang kamu yakini gagah
...Melainkan Dia Yang Maha Gagah
Tiada tembang apa yang kamu gelarkan tembang
...Melainkan qalam suciNya lagi mengasyikkan

Nikmat, asyik-seronok duniamu sementara
Azab, siksa-pedih akhiratmu selama-lamanya
...Sayang, Berilmulah kamu kerana ilmu membuang jahilmu
...Jangan, Rosakkan dirimu dengan bisikan syaitan

"Ya Tuhanku, oleh sebab Engkau telah memutuskan bahawa aku sesat,
Pasti aku akan menyesatkan mereka, memandang baik (perbuatan maksiat)
Dan pasti aku akan menyesatkan mereka semuanya
Kecuali hamba-hamba Engkau yang mukhlis (ikhlas dan ihsan) di antara mereka."





Apakah takdir mimpi ini?
Mendatang berulang kali
Berdarah penuh di tanah
Sedang tangan menongkat langit

Apakah yang ku perjuangkan?
Apakah yang dipertahan?
Apakah mesti aku jadi pahlawan?
Oh... Tuhan

Tidaklah aku layak
...untuk SyurgaMu
Namun aku tak berdaya
...menahan panas NerakaMu

Curiga di mata orang
Bagai mentari rembang
Bagaikan aku berdosa
Pada siapa saja

Sedang Tuhan dimana-mana
Melihat semua dosa
Dalam serata usia
Walau ditelan segitiga bermuda

Selalu ku mengulangi
Dosa yang telah ku buang
Diikuti kembali "mengapa begini?"
"Mengapa begini?"

Sedang Tuhan tahu sesiapa
Untuk Neraka untuk Syurga
Aku tak terpaksa memilih Syurga
Demi pengertian pada hukum alam
Dan sesungguhnya aku cinta padaMu Tuhan
Walaupun sesat jalan.

Dijalan Sesat - M.Nasir