Tidak sabar-sabar Z.Zikry hendak menjejak Bandar Kuala Terengganu. Dari Jeti Kuala Terengganu, dia akan terus ke pusat bandar. Dan di Bandar kecil itu, dia akan mencari Jalan Tok Lam menuju ke Simpang Tok Ku. Di Stesen Bas MPKT, dia akan mengambil bas Mini bernombor 16, untuk ke Bukit Kecil. Di sana, dia akan mendaki tangga Pejabat Pendidikan Negeri, Kementerian Pendidikan Malaysia. Sikap melampau Profesor Hamami, dekan Fakulti Perhutanan akan didedahkan. Biar semuanya lingkup! Z.Zikry mengurut-urut dadanya yang berombak cepat.
Di Bukit Kecil, turun saja dari bas mini yang bewarna pink itu, Z.Zikry terdengar namanya dipanggil. Nampak seorang gadis bertudung labuh biru cair mempercepatkan langkah ke arahnya. Z.Zikry kembali mengangkat beg-begnya untuk segera membuat pengaduan rasmi di Jabatan Pendidikan Tinggi, Pejabat Kementerian Pendidikan Malaysia yang tinggal beberapa langkah saja dari situ.
“Zakuan!”
Sekali lagi Z.Zikry mencari-cari orang yang memanggil namanya. Dan dia semakin pasti suara itu datangnya dari seorang gadis yang sedang berjalan pantas ke arahnya sambil tersenyum itu. Z.Zikry menoleh ke belakang, kalau-kalau ada sesiapa yang sama nama denganya di situ. Tiada.
“Zakuan!”
Z.Zikry benar-benar terkejut apabila gadis itu terus mendapatkannya. Z.Zikry belum sempat mengenali sesiapa pun kecuali Chilugra walaupun sudah dua hari berada di Terengganu. Bagaimana dia mengetahui namaku? Degup jantung Z.Zikry kencang, seolah-olah dia sedang berhadapan dengan seekor singa lapar.
Gadis itu menghadiahkan senyuman. Nampak giginya yang tersusun cantik dari rekahan bibirnya yang nipis. Z.Zikry mencari-cari penjelasan dari anak mata yang cantik dilapisi kacamata itu.
“Mohd. Zakuan Zikry dari Kuala Selangor bukan? Tanyanya, membuatkan jantung Z.Zikry berdegup lebih kencang.
Siapa gadis ini? Bagaimana dia mengetahui namaku?
“Jangan panik. Saya Hala. Nur Halawati. Mari.” Nur Halawati terus mengambil dua buah beg di tangan Z.Zikry lalu berjalan memasuki sebuah warung kopi.
Z.Zikry terpatung terus. Bergetar bibirnya tanpa sebarang perkataan pun yang terkeluar dari mulutnya.
“Mari!” ajak gadis itu, lincah.
Setelah membuat pesanan, Nur Halawati membuka tirai pertemuan itu dengan menghadiahkan senyuman mesra. “Saya tahu awak berasa sangat hairan. Dalam kepala awak saya lihat beserabut dengan tanda tanya. Dari air muka awak yang gaman itu saya tahu awak sangat takut melihat apa yang sedang awak tempuhi sekarang.” Nur Halawati terus tersenyum.
Z.Zikry mengiyakan semua dugaan gadis berbaju kurung biru laut itu. Dia mahu segera mendapatkan semua jawapan-jawapannya.
“Okey, saya serius sekarang.” Nur Halawati membetulkan duduknya, tetapi belum sempat dia berkata sesuatu yang amat dinantikan oleh Z.Zikry, pelayan sampai membawakan pesanan.
“Awak dah bersedia?”
Z.Zikry tidak mengangguk dan tidak pula menggeleng. Kesangsiannya dengan cara gadis itu sudah cukup membuatkannya bersedia untuk bertindak apa saja.
“Awak tak perlu mengadu kepada Jabatan Pendidikan Tinggi, Pejabat Kementerian Pendidikan Malaysia, sebab Kolej Islam Ninthi tidak pernah memadamkan nama awak dari senarai pelajar yang diberi tempat.”
“Awak siapa?” pantas Z.Zikry menyahut penerangan Nur Halawati dengan suatu pertanyaan yang sejak tadi menghantui perasaannya.
“Saya siswi Kolej Islam Ninthi. Awak tak sempat mengenali saya kerana awak tidak turun menghadiri sesi suai kenal di kolej kediaman semalam, dan hari ini awak terlalu sibuk melayan emosi awak.”
“Buktikan.”
Nur Halawati mengeluarkan kad pelajar sementaranya yang hanya diperbuat daripada kertas keras yang dilaminate. “Terperanjat?” Nur Halawati segera menahan Z.Zikry daripada terus berkata. “Saya tahu apa yang mahu awak tanya. Bagaimana saya tahu segalanya tentang awak. Betul?”
Mulut Z.Zikry sedikit ternganga.
“Baiklah, biar saya ceritakan satu persatu. Saya khuatirkan jantung awak semakin lemah kerana terlalu dibebani persoalan.” Nur Halawati tersenyum. “Selepas mendaftar di Fakulti Perubatan, saya menerima panggilan telefon dari papa saya, seorang ahli keluarga saya yang merantau ke Mesir baru saja pulang. Dan untuk meraikannya saya segera kembali sebaik saja selepas majlis suaikenal malam tadi. Kemudian saya menerima panggilan telefon dari Profesor Hamami dari Fakulti Perhutanan sewaktu saya hampir kembali ke kolej pagi tadi.”
Z.Zikry mencari-cari kebenaran daripada kata-kata yang terkeluar dari bibir merah tanpa lipstik itu.
“Awak tahu bukan, setiap pelajar yang telah didaftarkan mesti memberikan butir-butir lengkap kalau mahu keluar dari kawasan kolej. Kerana itu Profesor Hamami mudah sahaja menghubungi saya.” Bohong Nur Halawati mengenai cerita sebenar untuk mengelakkan identiti dirinya yang sebenar diketahui Z.Zikry. Dan sememangnya dia tidak mahu sesiapa pun, mengetahui bahawa dia adalah anak Pengarah kolej eksklusif itu. Memang dia ada pulang ke rumah semalam, bukan ke rumahnya yang terletak di Telaga Daing itu, tetapi rumahnya yang terletak di Persiaran Kediaman Penggawa dalam Kolej Islam Ninthi. Rumah-rumah di situ dikhaskan untuk staf dan ahli lembaga pengarah kolej. Dan dia tahu segalanya mengenai latar Z.Zikry setelah menelaah maklumat pelajar baru yang sampai ke meja papanya setiap kali sesi baru bermula. Perhatiannya tertarik pada satu nama yang dipanggil secara berulang tetapi tidak bersahut dalam majlis suai kenal semalam. Dan pagi tadi dia dapat tahu yang pelajar tersebut telah ‘dibrain wash’ teruk di fakultinya.
“Bagaimana dia tahu saya ke Bukit Kecil?”
Nur Halawati ketawa. “Ke mana lagi yang boleh awak pergi?”
Z.Zikry berkira-kira tentang logik tidaknya cerita yang dibawa oleh Nur Halawati itu. Sekali fikir memang sukar dipercayai, tetapi logiknya ada, rumus hati Z.Zikry.
“Justeru, awak mesti melaporkan diri semula hari ini juga. Kalau tidak rekod disiplin awak akan bertanda hitam.” Nur Halawati menghirup Milo kosong ais digelasnya. “Bagaimana? Masih hendak merajuk?”
“Hala,” panggil Z.Zikry. “Cerita yang awak bawa ini sepatutnya menggembirakan saya. Tetapi sayang, saya sudah tidak gembira. Batas gembira remaja bernama Zakuan Zikry ini sudah tiada.”
“Maksud awak?”
“Saya tak percaya sepatah pun kata-kata Profesor Hamami.”
“Jadi awak tak percayakan saya?”
“Dengan awak topik lain.”
Nur Halawati terus menikmati milo kosongnya sambil tajam matanya memanah Z.Zikry. Hampa dan sia-sia rasanya dia berkejar ke situ pagi ini.
“Ini semua tidak menghalang saya dari mengadu ke Jabatan Pendidikan Tinggi.”
“Tetapi awak tidak akan mendapat apa-apa. Hati awak akan sakit terus.”
“Di Malaysia ada berpuluh-puluh universiti bahkan beratus-ratus kolej swasta. Entah apa malangnya saya tercampak ke Kolej Islam Ninthi.”
“Batalkan keputusan bodoh awak. Emosi perkara kedua. Yang penting awak mendapat apa yang awak mahu di sini. Saya percaya Profesor Hamami tidak gila seperti yang awak sangkakan. Pasti ada rahsia dia mendera awak sebegini teruk.” Putus Nur Halawati membela kenalan papanya itu.
Diam.
“Pulang ke Kuala Selangor? Pulanglah kalau awak sanggup mendengar orang memperbodohkan awak nanti. Pulanglah kalau awak tidak menghargai jasa-jasa orang telah sanggup menjadi penaja awak. Pulanglah kalau awak telah memadamkan cita-cita awak untuk memiliki segulung ijazah. Pulanglah, pulanglah kalau setakat itu keazaman awak hendak menimba ilmu. Pulanglah, pulanglah. Kolej Islam Ninthi tidak rugi…”
“Kenapa tenung saya macam tu?” Nur Halawati meraba-raba pipi gebunya takut-takut comot selepas menikmati sepinggan nasi goreng kampung tadi. “Z.Zikry, kenapa pandang saya macam tu?”
Z.Zikry masih merenung tanpa kerdip. Nur Halawati menghembus straw ke muka Z.Zikry. Titis air terembes keluar.
“Apa awak buat ni?” Z.Zikry menyapu-nyapu mukanya yang basah.
“Padan muka. Mata nakal.” Nur Halawati menunjukkan ibu jarinya sambil membuat mimik muka yang nakal.
***********************************************************************
Pantai Seberang Takir, Kuala Terengganu
Dunia ini panggung kehidupan, fikir Z.Zikry membuat perbandingan. Manusia adalah pelakon, pengarah dan pak dalang yang menghidupkan kemeriahan panggung penghidupan itu. Kehidupan itu bergerak dari satu episod ke satu episod. Terkandung di dalam kehidupan itu peristiwa demi peristiwa, tragedi demi tragedi yang memecahkan suara hati. Ada manusia yang berjaya, ada manusia yang gagal. Ada manusia yang miskin, ada manusia yang kaya-raya, mewah membeli sekelian benda. Dan manusia yang berbagai-bagai ragam itu melakonkan episod-episod mereka sesempurnanya tanpa arahan seorang pengarah atau berpandu pada sebuah skrip lakonan yang kaku.
Z.Zikry memikir-mikirkan persoalan itu berulang-ulang. Setiap kali diulangi jurusan pemikirannya ke arah itu, semakin tampak pokok persoalan itu menjadi suatu agenda yang amat penting difikirkan di dalam kehidupannya. Dan dia kini semakin tenggelam dalam arus pemikiran yang sebegitu sejak akhir-akhir ini.
Bangsaku Melayu Islam ini menyuruhku memikirkan persoalan hidup mati, gagal jaya, jatuh bangun bangsa ini dalam arena kehidupan di dunia ini, desus suara hati Z.Zikry. Bangsa Melayu ini perlu diperhatikan kerana kekurangan perhatianlah, maka bangsa Melayu Islam ini tenggelam dalam sejarah peradaban manusia di dunia ini, fikir Z.Zikry lagi. Dan bangsa Melayu Islam ini seharusnya mampu melahirkan manusia yang lebih hebat sejarah dan rekaciptanya melebihi keagungan bangsa Yahudi yang melahirkan Baruch Spinova, ahli falsafah; Albert Einstein dalam bidang sains; Karl Marx dalam bidang politik dan sosio ekonomi dan Sigmund Freud dalam bidang psikologi. Bukankah bangsa Yahudi yang berjumlah lebih kurang 3.4 juta itu adalah jumlah yang terlalu kecil jika dibandingkan dengan ratusan juta bangsa Melayu Islam yang mendiami nusantara Melayu ini?
Z.Zikry menarik nafas panjang. Memikirkan persoalan jatuh bangunnya bangsa adalah juga memikirkan untung nasib diri. Adalah semua itu terangkum dalam pengertian jihad yang perlu diperjuanglan oleh umat Islam di mana saja mereka berada dan di dalam bangsa apa sahaja mereka dilahirkan. Dan jatuh bangun sesuatu bangsa itu perlu direnung dari sejarah bangsa itu pada masa lalu.
Mungkin benar kata Voltaire, akui Z.Zikry. fakta-fakta sejarah yang bersifat runcitan dan tiada membawa kepada suatu matlamat merupakan beban rintangan belaka. Dan kita harus memandang sejarah dengan pandangan semesta; justeru sebab akal insan itu sedemikian sehingga jikalau dibebani fakta-fakta yang beruncitan, nescaya akan tertindihlah ia.
Dan sejarah bangsa adalah milik sesuatu bangsa yang perlu diingat dan dicari pengertiannya serta dijadikan penyisih kesilapan. Tetapi apakah seluruh anak bangsa Melayu Islam ini telah benar-benar mengenali sejarah jatuh bangunnya bangsa mereka yang bergelimpangan hidup mati di nusantara Melayu ini sejak dahulu hingga mendatang kini?
Z.Zikry menutup kelopak matanya. Alangkah sulitnya mencari suatu jawapan dari suatu bangsa yang tidur tetapi menafikan mereka tidur. Alangkah malunya menghadapi maruah bangsa yang sudah terkoyak dan diconteng seribu cercaan atas hamparan sejarahnya. Z.Zikry cuba mencari kesimpulan lalu, cuba mengingati kronologi sejarah bangsa Melayu Islam ini.
Tetapi semuanya ibarat dongengan pengalaman pengembara Gulliver di negeri Brobdignag yang didiami manusia tinggi besar seperti raksasa, Z.Zikry berkongsi nasib memandang dari jauh gadis Brobdignag yang dilihat sungguh jelita.
Namun bilamana ditatap wajah gadis itu dari dekat, nyata jelaslah urat-urat darah pada mata dan pipi si gadis itu serta lubang roma yang bertaburan meliputi parasnya. Alangkah palsu penglihatan ini.
Z.Zikry mengeluh panjang. Dia ternyata masih belum dapat mengenali isi hati bangsa Melayu Islam ini setulennya. Dan yang dilihat dan dikenalinya selama ini adalah tampalan-tampalan tamadun asing yang tidak mencerminkan langsung hati budi bangsa Melayu Islam ini.
“Apa yang Zakuan keluhkan?” teguran Nur Halawati mengganggu tumpuan pemikiran Z.Zikry.
Z.Zikry menarik nafas panjang. Nur Halawati, dipandang seimbas lalu.
“Zakuan ini bermasalah saja nampaknya?”
“Bukan masalah tapi sesuatu persoalan yang perlu disegerakan penyelesaiannya.”
“Persoalan itu samalah dengan masalah.”
“Tidak,” tegas Z.Zikry. “Masalah adalah sesuatu yang sengaja diwujudkan sedangkan persoalan adalah kejadian yang wujud bersama perjalanan kehidupan manusia. Persoalan adalah sesuatu yang perlu dihuraikan agar manusia hidup atas garis-garis kehidupan yang sebenar.”
Nur Halawati menggeleng-gelengkan kepala lalu berkata, “Emm… fikirkanlah apa yang Zakuan fikirkan betul.”
“Kita perlu memikirkannya bersama.”
“Tentang apa?”
“Nasib bangsa dan kemantapan agama Islam pada masa akan datang.”
“Bukankah bangsa kita telah sama-sama berdiri dengan bangsa lain dalam arus pembangunan di negara ini dan agama Islam telah didaulatkan sebagai agama persekutuan? Untuk apa perkara itu perlu difikirkan lagi?”
“Memang benar bangsa kita telah mampu berdiri bersama-sama dengan bangsa lain dalam menghadapi arus pembangunan, tapi mereka berdiri dengan kaki yang tempang, fikiran yang bercelaru, keinginan yang bercabang dan matlamat yang tak lain untuk memuaskan naluri nafsu yang tak berkesudahan.”
“Tak semuanya begitu,” balas Nur Halawati.
“Tapi sebahagian besarnya begitu,” tegas Z.Zikry. dia berkata lagi, “Hala tengok saja di kolej tempat kita belajar ini, jalan fikiran manusia yang bergelar intelektual pun bercabang-cabang. Corak pemikiran mereka bercelaru antara mencari hakikat ilmu dengan sanjungan manusia. Lihat saja, dalam pemikiran dan akhlak, kejahilan atau kebebalan dan kemalasan intelektual dikaitkan dengan pengkhususan; kedayusan moral disebut sebagai tolenrasi serta kesederhanaan; pembaziran dimaknakan dengan rekreasi atau mempertahankan kedudukan; korupsi akhlak dan ekonomi dimaafkan atas alasan lumrah kehidupan moden dan penjahanaman alam sekitar disebut sebagai harga sebuah kemajuan.”
Mereka terus menyusuri pantai Seberang Takir itu. Pasir-pasir halus dipijak setapak demi setapak. Petang itu sungguh mendamaikan. Awan-gemawan keputihan, menidakkan kehadiran hujan.
“Mungkin sudah ditakdirkan sebahagian kehidupan ini dikorbankan untuk kebahagian masyarakat,” Z.Zikry meneruskan bicaranya yang sudah berlarutan itu.
“Tapi ada juga manusia yang memandang sepi penderitaan masyarakatnya, ya?” , Nur Halawati memberi pendapatnya juga.
“Mungkin orang-orang seperti itu telah lupa akan hakikat sejarah hidupnya sendiri,” komen Z.Zikry. “Orang yang senang tak mungkin menjadi senang jika orang lain tidak membantunya menjadi senang.”
“Sejarah kadang-kadangnya mengajar kita betapa hidup ini perlu tunduk kepada hakikat takdir. Dan takdir itu mempunyai seribu satu hikmah yang tak terfikir oleh kita,” sambung Z.Zikry terus.
“Zakuan berpegang pada pandangan itu?” Soal Nur Halawati pula.
“Ya,” tegas Z.Zikry.
“Syukurlah, “ ujar Nur Halawati.
Z.Zikry tersentak. Dipandangnya Nur Halawati yang berjalan di sisinya. Riak-riak kegembiraan jelas terpancar pada wajah anak gadis itu.
“Kenapa Zakuan memandang Hala begitu?” Tegur Nur Halawati.
Z.Zikry segera melarikan pandangannya ke arah bot-bot nelayan tidak jauh di hadapan mereka. Dia mengambil sebatang ranting kering dan menulis sesuatu diatas pasir yang memutih itu.
“…Sepi yang bertamu itu adalah aku,” Nur Halawati mengikuti ejaan yang dibuat oleh Z.Zikry itu.
Z.Zikry berpaling dan memandang Nur Halawati dengan pandangan yang kosong.
Nur Halawati mencapai ranting kering dari tangan Z.Zikry itu dan menyambung coretan yang dibuat oleh Z.Zikry tersebut.
“Sepi yang bertamu itu adalah aku…Tapi jika kita corakkan ia menjadi lukisan yang indah, hilanglah kesepian, muncul pula ketenangan.” Demikian bunyinya setelah dibaca oleh Z.Zikry. Lama ditenungnya gadis itu.
“Kenapa?”
“Maafkan Zakuan. Kadang-kadang Zakuan menganggap kekecewaan itu sebagai penyudah segala perjuangan kehidupan. Dan kadang-kadang pula Zakuan merasakan kehadiran Hala memberi kekuatan kepada kehidupan Zakuan.”
“Jadi selama ini, kehidupan Zakuan sudah kehilangan kekuatan itu?”
“Mungkin.”
“Katakan saja ya..”
Z.Zikry menarik nafas panjang. Nafas itu dilepaskannya perlahan-lahan. Apakah harus dia mengakui bahawa kehadirannya ke pantai pada petang itu atas sebab ingin membangunkan dirinya setelah jatuh roboh ditangan kehidupan? Sesungguhnya pengakuan seperti itu terlalu kejam.
“Kalau Zakuan katakan ya, apakah itu bermakna Zakuan telah kalah menghadapi kehidupan?” soal Z.Zikry kembali.
“Tak juga. Malah orang yang selalu mengaku serba kekurangan dan bersedia untuk menerima kekalahan itulah yang kemudiannya muncul dengan membawa kejayaan demi kejayaan. Kekecewaan bukan alasan untuk tidak terus berjuang dalam hidup, malah menjadi perangsang untuk menikmati kepuasan hidup yang Allah kurniakan selagi Dia memberi peluang,” ujar Nur Halawati dengan lancar dan penuh yakin.
Mereka melencongkan perjalanan menuju ke wakaf berhampiran pantai itu lalu duduk bertenggek di situ.
“Pada penilaian Hala, apakah Zakuan sekarang sedang menghadapi saat-saat kekalahan itu?”
Nur Halawati memandang wajah Z.Zikry. Anak mata mereka bertembung. Tetapi seketika kemudian, Nur Halawati melarikan anak matanya. Dia memandang ke dataran pantai. Beberapa orang anak nelayan berlari-lari di pantai memutih.
“Apakah Zakuan masih meyakini kekuatan Tuhan? Bahawa Dia Tuhan Yang Maha Esa dan kekuasaanNya melindungi semua makhluk di alam ini?”
“Pastilah begitu. Bukankah itu pegangan hidup setiap Muslim.”
“Syukurlah” ujar Nur Halawati penuh keharuan. Dia berdiam diri agak lama selepas itu.
Sesungguhnya kata-kata Nur Halawati itu mengharukan perasaan Z.Zikry. Z.Zikry melarikan pandangannya jauh ke horizon laut. Pulau Bidung sayup-sayup kelihatan. Asap bot kelaut berkelas B2 tampak menujah awan di horizon laut.
************************************************************************
Apabila macarangga gugur dari tangkainya, kawasan di sekitar menguning umpama sudah berlaku musim gugur di tanah beriklim tropika ini. Helaian-helaian macarangga cepat keringnya walaupun mempunyai saiz yang cukup besar sehingga melayakkannya digelar Tapak Kaki Gajah sempena nama sainfifiknya Macarangga gigiante dalam bahasa Latin.
Bougainvillea, Ixora coccinea, Catharanthus roseus dan Spathiphyllum sapa menyapa, salam menyalam apabila ada angin yang membelai. Bougainvillea begitu megah mempamerkan bunga-bunganya sebesar ibu jari yang bercambah apabila dijamah mentari, menguntum bewarna meriah, Ixora coccinea terlintuk-lintuk bagaikan orang kampung berzikir semasa kenduri, Catharanthus roseus dan Spathiphyllum toleh menoleh bagaikan sedang berbicara.
Bukan itu saja, malah Pitta sordida, Arachnotera longirostra, Pycnonotus simplex, dan Pycnonotus Eryctroptalmos kelihatan terbang rendah dan bertenggek empat, lima, enam ekor di pohonan ficus. Pitta sordida yang juga dikenali Terestrial Bird itu bertatih-tatih di atas tanah mencari serangga yang boleh dijadikan sarapannya pada pagi itu. Dan tentu sekali serangga-serangga daripada order Coleoptera, Isoptera, Hymenoptera, dan Lepidoptera tidak terlepas dari perhatian burung yang dilihat seolah-olah memakai topi askar di kepalanya ini. Arachnotera longirostra yang mempunyai lidah yang panjang itu pula leka menghisap madu daripada bungaan yang mekar diperkarangan kolej itu. Burung dari family Bulbul yang dikatakan organisma yang paling banyak menggunakan tenaga ini sanggup bertahan panas untuk mencari madu. Kerana seandainya ia gagal berbuat demikian, spesies understorey bird itu akan mati kehausan tenaga pada hari itu. Pycnonotus Eryctroptalmos yang dilihat bagaikan memakai kaca mata pada matanya itu pula asyik melaksanakan feeding guiltnya dengan cara gliding foliage di celah-celah daunan ficus.
Sungguh indah panorama persekitaran kolej yang berhampiran dengan pantai itu dilihat pada pagi ini. Berbeza sekali dengan suasana di kampung halamannya yang jauh di pedalaman Kuala Selangor itu. Di sana hanya terdapat hutan bakau dan paya air masin yang dipenuhi Rhizophora apiculata, Rhizophora mucrorata, Brugueira purviflora, Brugueira cylindrica dan Avisenia. Juga dipenuhi dengan Piai Raya dan Piai Lasa yang menjadi musuh utama terhadap pokok-pokok bakau yang menjadi sumber pasaran kayu arang di Malaysia ini. Sesekali kelihatan Cyex aritacus atau Red-backed Kingfisher yang bersaing dengan camar-camar menjunam laju ke permukaan air untuk menyudu ikan dengan paruhnya yang tajam. Belangkas dan ikan Belacak yang berkaki itu juga adakalanya berlari riang di tepian paya apabila air surut.
Dalam termanggu-manggu sambil melemparkan pandangannya jauh ke luar jendela bilik hostelnya itu, nostalgia Z.Zikry terbang ke desa kelahirannya. Kampung Paya Larut, lima kilometer dari Kota Lama Kuala Selangor itu tiba-tiba sahaja mencuri perhatiannya. Desa pingitan yang dipenuhi pokok-pokok bakau itu mencuit perasaannya. Ingat, sewaktu kau masih kanak-kanak, kau bermain diatas perutku. Seolah-olah kampung itu bercakap kepadanya. Ingat, sewaktu kau kecil, kau antara yang ternakal hingga habis parit dan kolam kau kubangi. Ingat, sewaktu kau belum mengenali erti hidup dengan sebenarnya, kau sering melastik camar dengan cabang lastik yang kau patahkan dari pokok jambu tanaman jiran engkau. Ya, aku ingat. Z.Zikry mengukir senyuman yang tidak ditujukan kepada sesiapa.
Ingat, kau anak yang lancar mengaji mukaddam, sehingga kau mampu menggantikan Mok kau mengajar anak-anak yang lain, Kampung Paya Larut seperti berkata lagi. Ingat, kau sering mengikut arwah pokmu hadir kuliah subuh di Masjid Sungai Nipah. Ingat, kau bukan dari keluarga yang pincang. Datukmu orang alim dan dihormati. Moyangmu kiyai agung, waris Tok Ku Pulau Manis dari Kuala Terengganu. Ya, aku ingat. Hati Z.Zikry mengiyakan dan dia terangguk-angguk.
(…bersambung )
No comments:
Post a Comment