Sunday, October 16, 2011

Bisikan Sirr 2 (Episod 9)



Hanya Pencinta Memahami Bahasa Cinta 

Bagaimana seorang itu hanya mahu menyintai cahaya tanpa mahu menyintai sang matahari? yang dengannya Allha jadikan sebagai sumber cahaya. Tanpa sang matahari mana mungkin akan wujudnya cahaya. Alangkah ganjilnya sikap mereka, atau kerana mereka tiada mengetahui bahawa ada matahari yang memancarkan cahaya lantaran kebutaan mata mereka.

Begitulah dikiaskan bagi manusia yang hanya mahu menyintai nikmat yang ada di sekeliling mereka tanpa menyintai sumber segala nikmat yang mereka perolehi. Tanpa Baginda sallaLlahu'alaihi wassalam, bagiaman kita boleh menikmati segala nikmat yang kita miliki. Setiap rezeki dicipta olehNya dan dilimpahkan kepada hambaNya melalui pintu kekasihNya Muhammad  sallaLlahu'alaihi wassalam.

Baginda adalah cahaya kerahmatan yang meliputi sekelian alam. Kewujudan Rasulullah  sallaLlahu'alaihi wassalam adalah sebesar-besar nikmat yang dikurniakan, maka menyintai dan mensyukuri kewujudan Baginda wajid diutamakan melebihi yang lain. Maka para pencinta Rasulullah  sallaLlahu'alaihi wassalam sentiasa berselawat ke atas Baginda  sallaLlahu'alaihi wassalam tanpa mengira waktu, menghidupkan sunnahnya dan meninggalkan segala kebenciannya.

Mereka merakam syair-syair, dialunkan dengan irama-irama yang membangkitkan kecintaan, kerinduan dan kesyukuran. Mereka menganjurkan majlis secara besar-besaran dengan maksud memberi kesedaran kepada manusia agar bersyukur dengan kewujudan Rasulullah sallaLlahu'alaihi wassalam. Sesetengah mereka menganjurkan majlir Maulidur Rasul sallaLlahu'alaihi wassalam setiap bulan, setiap minggu, malah setiap hari agar suburnya cinta pada Baginda sallaLlahu'alaihi wassalam.

Mereka tiada memperdulikan apa jua tohmahan dan celaan dengan gelaran ahlu bidaah atau para penganjur kesesatan. Mereka mabuk dalam kecintaan terhadap Rasulullah sallaLlahu'alaihi wassalam kerana makrifat pada Baginda  sallaLlahu'alaihi wassalam.

Baginda adalah permata diantara batu-batu yang ada. Berkata Imam Al-Bushiri, penyair terkenal dalam merakam cinta pada Baginda  sallaLlahu'alaihi wassalam ; "Katakan apa sahaja pada Baginda  sallaLlahu'alaihi wassalam, hanya jangan mengatakan Baginda Tuhan atau anak Tuhan sebagaimana kaum Nasrani."

Sabda Rasulullah sallaLlahu'alaihi wassalam; "Cintailah Allah SWT kerana banyaknya nikmat yang Ia kurniakan kepadamu, dan cintailah aku keran aku dicintai Allah!"

Semakin dalam seseorang itu mengenal, maka akan lebih dalam akan kecintaan pada yang yang dikenalinya. Hanya mereka yang bercinta sahaja memahami bahasa dan jiwa orang yang bercinta!  

 

Lagu Jiwa Lagu Cinta


Menyanyi kerana gembira
Menyanyi kerana sedih
Menyanyi kerana rindu
Aduh siapa dapat membaca...
Hatiku saat ini (sedang Allah jua Yang Maha Tahu)

Menari kerana melayan
Menari kerana sunyi
Menari kerana kasih
Ada di depan masih juga tak mengerti

Gerangan apa buat ku kemari
Dalam temasya ku memencil diri
Darilah jauh asyik memandangnya
Sekalipun dia masih tak perasan...ku disini (sedang Allah jua Yang Maha Sedar)
Oh.....
Lagu jiwa
Bukan lagu mengadu nasibku
Lagu cinta
Bukan lagu meratap hidupku

Hanya nak menyatakan
Tuah dan untung badan
Diuji hebat cinta sehebat begini... hebat begini...




Bisikan Sirr 2 (Episod 8)

Muhammad sallaLlahu'alaihi wassalam Sumber Kerahmatan

Kita dikelilingi cinta Allah yang memancarkan dua namaNya bagi segala kejadian, iaitu Ar-Rahman dan Ar-Rahim. Maka dua nama tersebut memancarkan kenikmatan dan kerahmatan. Namun hendaklah kita fahami bahawa punca bagi segala pancaran kerahmatan bagi sekelian alam adalah kewujudan Rasulullah sallaLlahu'alaihi wassalam.

 
 "Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian"
(Al-Anbiya': 107) 

Ramai Mufassirin (ahli tafsir) mentafsirkan kalimah "ka" pada ayat tersebut bukannya dinisbah kepada risalah yang dibawa semata-mata. tetapi "ka' itu adalah diri Nabi   sallaLlahu'alaihi wassalam sendiri. Kewujudannya di alam roh lagi sudah memberi kerahmatan sebagai HabibuLlah. Manakala kewujudan kita adalah datang dari kerahmatan Allah yang dipancarkan mealui kewujudan Rasulullah sallaLlahu'alaihi wassalam.

Sesungguhnya Allah dan para malaikatNya sentiasa berselawat keatas baginda sallaLlahu'alaihi wassalam dari alam roh, zahir ke dunia sehingga ke alam akhirat. Justeru itu diperintahkan bagi sekelian mukmin berselawat ke atas Baginda sebagai tanda cinta dan syukur. Maka Allah amat menyintai kekasihNya Muhammad sallaLlahu'alaihi wassalam, Dia menyatukan namaNya dan nama nabiNya di langit dan di bumi. Bahkan, Nabi Adam (a.s) memohon keampunan pada Allah dengan bertawassul pada kekasihNya Muhammad  sallaLlahu'alaihi wassalam.

Muhammad sallaLlahu'alaihi wassalam adalah makhlukNya tetapi martabatnya bukan seperti makhlukNya yang lain. CintaNya bagaikan menyatukan Ia dengan Nabi sallaLlahu'alaihi wassalam, padahal Maha Suci Ia daripada bersatu. Namun ar-Rahman menyatakan ;
"Barangsiapa menyintai kekasihNya Muhammad sallaLlahu'alaihi wassalam, adalah menyintaiNya, dan barangsiapa yang menentang Baginda  sallaLlahu'alaihi wassalam, maka dia menentangNya. Sesiapa yang menyintaiNya tanpa menyintai Rasulullah  sallaLlahu'alaihi wassalam, cintanya tiada akan diterima walaupun air mata rindu mengalir menjadi lautan sekalipun."

 


Tuesday, October 11, 2011

Bisikan Sirr 2 : Cinta Faqir Syukur (Episod 7)

Dua Wajah Satu Hakikat

Berbahagialah umat ini yang menyatukan cinta ar-Rahman dan ar-Rahim. Cinta ar-Rahman membawa kejayaan akhirat.

Sesungguhnya tiada pemisahan antara dua wajah ini; dunia dan akhirat. Ia hanya satu dalam pandangan para pemilik Cahaya hati. Keduanya adalah tajalli (manifestasi) dari namaNya yang Maha Agung.

Maka mencintai dunia dan akhirat adalah wajib, namun yang dilarang menyintai dunia dan akhirat dengan tiada melihat ar-Rahman dan ar-Rahim disebaliknya.

"... dan sesiapa yang menghendaki balasan dunia, Kami berikan bahagiannya dari balasan dunia itu, dan sesiapa yang menghendaki balasan akhirat, Kami berikan bahagiannya dari balasan akhirat itu; dan Kami pula akan beri balasan pahala kepada orang-orang yang bersyukur." (Ali-'Imran: 145)