Sunday, October 16, 2011

Bisikan Sirr 2 (Episod 8)

Muhammad sallaLlahu'alaihi wassalam Sumber Kerahmatan

Kita dikelilingi cinta Allah yang memancarkan dua namaNya bagi segala kejadian, iaitu Ar-Rahman dan Ar-Rahim. Maka dua nama tersebut memancarkan kenikmatan dan kerahmatan. Namun hendaklah kita fahami bahawa punca bagi segala pancaran kerahmatan bagi sekelian alam adalah kewujudan Rasulullah sallaLlahu'alaihi wassalam.

 
 "Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian"
(Al-Anbiya': 107) 

Ramai Mufassirin (ahli tafsir) mentafsirkan kalimah "ka" pada ayat tersebut bukannya dinisbah kepada risalah yang dibawa semata-mata. tetapi "ka' itu adalah diri Nabi   sallaLlahu'alaihi wassalam sendiri. Kewujudannya di alam roh lagi sudah memberi kerahmatan sebagai HabibuLlah. Manakala kewujudan kita adalah datang dari kerahmatan Allah yang dipancarkan mealui kewujudan Rasulullah sallaLlahu'alaihi wassalam.

Sesungguhnya Allah dan para malaikatNya sentiasa berselawat keatas baginda sallaLlahu'alaihi wassalam dari alam roh, zahir ke dunia sehingga ke alam akhirat. Justeru itu diperintahkan bagi sekelian mukmin berselawat ke atas Baginda sebagai tanda cinta dan syukur. Maka Allah amat menyintai kekasihNya Muhammad sallaLlahu'alaihi wassalam, Dia menyatukan namaNya dan nama nabiNya di langit dan di bumi. Bahkan, Nabi Adam (a.s) memohon keampunan pada Allah dengan bertawassul pada kekasihNya Muhammad  sallaLlahu'alaihi wassalam.

Muhammad sallaLlahu'alaihi wassalam adalah makhlukNya tetapi martabatnya bukan seperti makhlukNya yang lain. CintaNya bagaikan menyatukan Ia dengan Nabi sallaLlahu'alaihi wassalam, padahal Maha Suci Ia daripada bersatu. Namun ar-Rahman menyatakan ;
"Barangsiapa menyintai kekasihNya Muhammad sallaLlahu'alaihi wassalam, adalah menyintaiNya, dan barangsiapa yang menentang Baginda  sallaLlahu'alaihi wassalam, maka dia menentangNya. Sesiapa yang menyintaiNya tanpa menyintai Rasulullah  sallaLlahu'alaihi wassalam, cintanya tiada akan diterima walaupun air mata rindu mengalir menjadi lautan sekalipun."

 


No comments: