Kampung Tanjung Batu Satu
Hujan turun
dengan lebatnya membanjiri sekitaran rumah berderet itu. Namun Z.Zikry tidak
berganjak daripada memandang ke arah laut lepas. Tempiasan hujan kadangkala
sampai juga merembes ke mukanya. Tetapi Z.Zikry tetap menampan rembesan air
hujan itu tanpa bergerak dari kerusi yang didudukinya.
Mengapa harus dia terlontar ke jajaran
Pantai Tanjung Batu Satu ini. Mengapa tidak ke wilayah lain? semacam itu
persoalan yang berlegar di dalam laut fikirnya. Z.Zikry memandang ke horizon
laut. Kabut-kabut putih memenuhi pandangannya.
Apakah kehadirannya ini suatu kebetulan?
kebetulan kerana keluarganya pernah menjelajahi…bukan! Bukan menjelajahi.
Menetap. Ya…kebetulan kerana keluarganya pernah menetap di wilayah ini suatu
waktu dahulu? dan, keluarganya juga pernah menjadi sebahagian daripada kelompok
nelayan yang sama-sama mencuba nasib menyelongkar khazanah laut pesisiran
pantai Kuala Terengganu ini suatu ketika dahulu. Bahkan, datuknya, Tok ki Cer
Tanjung, pendekar yang diakui kependekarannya pernah bersama-sama barisan
pejuang dibawah pimpinan Tok Ku Paloh dalam menggempur menghalau tentera
British laknatuLlah dari jajahan berdaulat Kuala Terengganu. Pernah
menyelamatkan beratus-ratus nyawa penduduk pesisir pantai Kuala Terengganu
dengan menggali kubu pasir dibawah rumah semasa pendudukan tentera Matahari
Terbit itu. Dan keluarganya yang sama juga pernah difitnah oleh manusia-manusia
yang iri lagi khianat sehingga membawa mereka jauh ke Kuala Selangor. Membawa
hati mereka jauh dari rasa luka. Membawa pengorbanan yang besar untuk membina
hidup baru jauh dirantau orang. Membawa luka yang masih bersisa. Lantaran
kenapa dia harus ke sini lagi? kenapa dia harus menginjakkan lagi kakinya
diatas bumi yang pernah menghalau keluarganya ini? Bumi yang pernah mencarit
baritkan maruah keluarganya yang dahulu dihormati ramai? Bumi yang pernah
mengoyak rabakkan hati Poknya dengan derita di rantau orang sehingga membawanya
kepada ajal. Kenapa?!
Angin timur menderu kencang menampan rumah
itu. Tempiasan hujan sekali lagi menampar muka Z.Zikry. Z.Zikry meraba mukanya.
Mukanya sudah digenangi air. Tetapi tidak pasti pula adakah air yang bertapak
di mukanya itu air hujan atau sebaliknya.
“Hidup
ini penuh sofistikated…yang tidak boleh terlencong dari masalah yang setiap
masa memerlukan minda dan hati berfikir untuk mengatasinya. Hidup kita juga
kadangkala dipenuhi dangkalan fikiran yang adakalanya logik untuk diterima oleh
akal. Zakuan…jadilah seorang yang tabah menghadapi segala apa ujianNya. Biarkan
kisah silammu menjadi mimpi semalam,” itu kata Nur Halawati pada sela beberapa
hari sebelum dia dibuang dari Kolej Islam Ninthi.
Hala …
Apakah
perpisahan ini mencampakkan aku ke Tanjung Batu Satu ini? Dan kau yang jauh di
seberang sana itu juga merasai seperti apa yang aku rasai kini?
Hala
…
Tahukah
engkau betapa hati ini cukup merana dikejauhan ini? Laut, pantai, bayu dan
camar tak mampu meredakan pilu pedih hati ini akibat luka-luka lalu.
Hala
…
Deru angin menujah ke beranda rumah
rehat lagi. Cukup kuat sehingga tempias hujan menampan badan Z.Zikry. Z.Zikry
kebasahan. Tetapi dia tetap tidak berganjak dari tempat duduknya. Biar hujan
membasahi seluruh tubuhnya. Biar kesejukan mencucuk seluruh urat nadinya.
Biarlah… hati dan perasaan ini sudah tak punyai apa-apa lagi… oh Tuhan…!
“Encik,” panggil satu suara halus dari
belakang.
Z.Zikry
tersentak. Dia menoleh ke belakang. Seorang perempuan dalam lingkungan usia
30an tercegat berdiri dibelakangnya.
“saye
dimintok oleh majikang saye memindohkang kerusi-kerusi yang ade diberande ini
ke ruang dalang. Hujang nampoknya kohor lebat.” Kata perempuan itu dalam
loghat Terengganu yang cukup pekat.
Z.Zikry bangun. Dia berjalan-jalan
ke tepi beranda. Dibiarkannya pekerja rumah rehat itu memunggah kerusi ke ruang
dalam.
Pulau Kapas dikejauhan Laut China
Selatan itu kelihatan berbalam-balam. Titisan hujan yang semakin melebat
menampan pemandangan ke arah lambaian pepohon nyiur di Tanjung Batu satu dan
Tanjung Mengabang itu. Hujan semakin
lebat.
Di
pantai, alunan ombak terus gagah menerjah ke pantai. Buih-buih putih
terus datang mengejar pantai dan kemudian meluncur masuk ke dada pantai.
Angin kencang menujah lagi. Z.Zikry
kesejukkan. Dia menyusupkan tangannya ke dalam poket baju tebal yang membaluti
badannya. Jemarinya terasa menjamah sesuatu di dalam poket itu. Dia mengeluarkannya,
ah…secebis nota yang pernah dinukilkan oleh Hala . “Zakuan, thanks for all…hidup ini kadangkala umpama bayangan di dalam
air, kadangkala kita tidak dapat menerima hakikat itulah bayangan kita. Tapi,
bila kita campakkan batu ke dalam air tersebut…hilanglah bayangan yang mengejek
kita. Renungkanlah…” argh, dia terasa kedua lututnya longlai. Serentak dia
terjelepuk di tepi beranda itu.
“Hala …sampai bila kita nak lempar
batu ke dalam air, berapa banyak batu yang harus disediakan untuk terus
kocakkan air itu. Entahkan bila air itu akan terus berkocak. Entah…” keluh
Z.Zikry perlahan dengan hatinya yang sebak.
Hala
…
Apakah aku disisimu seperti
buih-buih itu yang datang ke bibir pantai dan kemudian meresap jauh ke dasar
pepasiran?
Atau akan berterusankah aku hidup
terasing sebegini…?
Hala …
Hujan
terus turun.
Pantai terus basah.
Di horizon laut, awan kelabu terus
berkumpul, mengelam suasana petang.
Z.Zikry
terus memandang ke hujung benua.
No comments:
Post a Comment