Saturday, December 20, 2008

Hanya Kerana DIA (Episode :2 - Published)










Tidak sabar-sabar Z.Zikry hendak menjejak Bandar Kuala Terengganu. Dari Jeti Kuala Terengganu, dia akan terus ke pusat bandar. Dan di Bandar kecil itu, dia akan mencari Jalan Tok Lam menuju ke Simpang Tok Ku. Di Stesen Bas MPKT, dia akan mengambil bas Mini bernombor 16, untuk ke Bukit Kecil. Di sana, dia akan mendaki tangga Pejabat Pendidikan Negeri, Kementerian Pendidikan Malaysia. Sikap melampau Profesor Hamami, dekan Fakulti Perhutanan akan didedahkan. Biar semuanya lingkup! Z.Zikry mengurut-urut dadanya yang berombak cepat.
Di Bukit Kecil, turun saja dari bas mini yang bewarna pink itu, Z.Zikry terdengar namanya dipanggil. Nampak seorang gadis bertudung labuh biru cair mempercepatkan langkah ke arahnya. Z.Zikry kembali mengangkat beg-begnya untuk segera membuat pengaduan rasmi di Jabatan Pendidikan Tinggi, Pejabat Kementerian Pendidikan Malaysia yang tinggal beberapa langkah saja dari situ.
“Zakuan!”
Sekali lagi Z.Zikry mencari-cari orang yang memanggil namanya. Dan dia semakin pasti suara itu datangnya dari seorang gadis yang sedang berjalan pantas ke arahnya sambil tersenyum itu. Z.Zikry menoleh ke belakang, kalau-kalau ada sesiapa yang sama nama denganya di situ. Tiada.
“Zakuan!”
Z.Zikry benar-benar terkejut apabila gadis itu terus mendapatkannya. Z.Zikry belum sempat mengenali sesiapa pun kecuali Chilugra walaupun sudah dua hari berada di Terengganu. Bagaimana dia mengetahui namaku? Degup jantung Z.Zikry kencang, seolah-olah dia sedang berhadapan dengan seekor singa lapar.
Gadis itu menghadiahkan senyuman. Nampak giginya yang tersusun cantik dari rekahan bibirnya yang nipis. Z.Zikry mencari-cari penjelasan dari anak mata yang cantik dilapisi kacamata itu.
“Mohd. Zakuan Zikry dari Kuala Selangor bukan? Tanyanya, membuatkan jantung Z.Zikry berdegup lebih kencang.
Siapa gadis ini? Bagaimana dia mengetahui namaku?
“Jangan panik. Saya Hala. Nur Halawati. Mari.” Nur Halawati terus mengambil dua buah beg di tangan Z.Zikry lalu berjalan memasuki sebuah warung kopi.
Z.Zikry terpatung terus. Bergetar bibirnya tanpa sebarang perkataan pun yang terkeluar dari mulutnya.
“Mari!” ajak gadis itu, lincah.
Setelah membuat pesanan, Nur Halawati membuka tirai pertemuan itu dengan menghadiahkan senyuman mesra. “Saya tahu awak berasa sangat hairan. Dalam kepala awak saya lihat beserabut dengan tanda tanya. Dari air muka awak yang gaman itu saya tahu awak sangat takut melihat apa yang sedang awak tempuhi sekarang.” Nur Halawati terus tersenyum.
Z.Zikry mengiyakan semua dugaan gadis berbaju kurung biru laut itu. Dia mahu segera mendapatkan semua jawapan-jawapannya.
“Okey, saya serius sekarang.” Nur Halawati membetulkan duduknya, tetapi belum sempat dia berkata sesuatu yang amat dinantikan oleh Z.Zikry, pelayan sampai membawakan pesanan.
“Awak dah bersedia?”
Z.Zikry tidak mengangguk dan tidak pula menggeleng. Kesangsiannya dengan cara gadis itu sudah cukup membuatkannya bersedia untuk bertindak apa saja.
“Awak tak perlu mengadu kepada Jabatan Pendidikan Tinggi, Pejabat Kementerian Pendidikan Malaysia, sebab Kolej Islam Ninthi tidak pernah memadamkan nama awak dari senarai pelajar yang diberi tempat.”
“Awak siapa?” pantas Z.Zikry menyahut penerangan Nur Halawati dengan suatu pertanyaan yang sejak tadi menghantui perasaannya.
“Saya siswi Kolej Islam Ninthi. Awak tak sempat mengenali saya kerana awak tidak turun menghadiri sesi suai kenal di kolej kediaman semalam, dan hari ini awak terlalu sibuk melayan emosi awak.”
“Buktikan.”
Nur Halawati mengeluarkan kad pelajar sementaranya yang hanya diperbuat daripada kertas keras yang dilaminate. “Terperanjat?” Nur Halawati segera menahan Z.Zikry daripada terus berkata. “Saya tahu apa yang mahu awak tanya. Bagaimana saya tahu segalanya tentang awak. Betul?”
Mulut Z.Zikry sedikit ternganga.
“Baiklah, biar saya ceritakan satu persatu. Saya khuatirkan jantung awak semakin lemah kerana terlalu dibebani persoalan.” Nur Halawati tersenyum. “Selepas mendaftar di Fakulti Perubatan, saya menerima panggilan telefon dari papa saya, seorang ahli keluarga saya yang merantau ke Mesir baru saja pulang. Dan untuk meraikannya saya segera kembali sebaik saja selepas majlis suaikenal malam tadi. Kemudian saya menerima panggilan telefon dari Profesor Hamami dari Fakulti Perhutanan sewaktu saya hampir kembali ke kolej pagi tadi.”
Z.Zikry mencari-cari kebenaran daripada kata-kata yang terkeluar dari bibir merah tanpa lipstik itu.
“Awak tahu bukan, setiap pelajar yang telah didaftarkan mesti memberikan butir-butir lengkap kalau mahu keluar dari kawasan kolej. Kerana itu Profesor Hamami mudah sahaja menghubungi saya.” Bohong Nur Halawati mengenai cerita sebenar untuk mengelakkan identiti dirinya yang sebenar diketahui Z.Zikry. Dan sememangnya dia tidak mahu sesiapa pun, mengetahui bahawa dia adalah anak Pengarah kolej eksklusif itu. Memang dia ada pulang ke rumah semalam, bukan ke rumahnya yang terletak di Telaga Daing itu, tetapi rumahnya yang terletak di Persiaran Kediaman Penggawa dalam Kolej Islam Ninthi. Rumah-rumah di situ dikhaskan untuk staf dan ahli lembaga pengarah kolej. Dan dia tahu segalanya mengenai latar Z.Zikry setelah menelaah maklumat pelajar baru yang sampai ke meja papanya setiap kali sesi baru bermula. Perhatiannya tertarik pada satu nama yang dipanggil secara berulang tetapi tidak bersahut dalam majlis suai kenal semalam. Dan pagi tadi dia dapat tahu yang pelajar tersebut telah ‘dibrain wash’ teruk di fakultinya.
“Bagaimana dia tahu saya ke Bukit Kecil?”
Nur Halawati ketawa. “Ke mana lagi yang boleh awak pergi?”
Z.Zikry berkira-kira tentang logik tidaknya cerita yang dibawa oleh Nur Halawati itu. Sekali fikir memang sukar dipercayai, tetapi logiknya ada, rumus hati Z.Zikry.
“Justeru, awak mesti melaporkan diri semula hari ini juga. Kalau tidak rekod disiplin awak akan bertanda hitam.” Nur Halawati menghirup Milo kosong ais digelasnya. “Bagaimana? Masih hendak merajuk?”
“Hala,” panggil Z.Zikry. “Cerita yang awak bawa ini sepatutnya menggembirakan saya. Tetapi sayang, saya sudah tidak gembira. Batas gembira remaja bernama Zakuan Zikry ini sudah tiada.”
“Maksud awak?”
“Saya tak percaya sepatah pun kata-kata Profesor Hamami.”
“Jadi awak tak percayakan saya?”
“Dengan awak topik lain.”
Nur Halawati terus menikmati milo kosongnya sambil tajam matanya memanah Z.Zikry. Hampa dan sia-sia rasanya dia berkejar ke situ pagi ini.
“Ini semua tidak menghalang saya dari mengadu ke Jabatan Pendidikan Tinggi.”
“Tetapi awak tidak akan mendapat apa-apa. Hati awak akan sakit terus.”
“Di Malaysia ada berpuluh-puluh universiti bahkan beratus-ratus kolej swasta. Entah apa malangnya saya tercampak ke Kolej Islam Ninthi.”
“Batalkan keputusan bodoh awak. Emosi perkara kedua. Yang penting awak mendapat apa yang awak mahu di sini. Saya percaya Profesor Hamami tidak gila seperti yang awak sangkakan. Pasti ada rahsia dia mendera awak sebegini teruk.” Putus Nur Halawati membela kenalan papanya itu.
Diam.
“Pulang ke Kuala Selangor? Pulanglah kalau awak sanggup mendengar orang memperbodohkan awak nanti. Pulanglah kalau awak tidak menghargai jasa-jasa orang telah sanggup menjadi penaja awak. Pulanglah kalau awak telah memadamkan cita-cita awak untuk memiliki segulung ijazah. Pulanglah, pulanglah kalau setakat itu keazaman awak hendak menimba ilmu. Pulanglah, pulanglah. Kolej Islam Ninthi tidak rugi…”
“Kenapa tenung saya macam tu?” Nur Halawati meraba-raba pipi gebunya takut-takut comot selepas menikmati sepinggan nasi goreng kampung tadi. “Z.Zikry, kenapa pandang saya macam tu?”
Z.Zikry masih merenung tanpa kerdip. Nur Halawati menghembus straw ke muka Z.Zikry. Titis air terembes keluar.
“Apa awak buat ni?” Z.Zikry menyapu-nyapu mukanya yang basah.
“Padan muka. Mata nakal.” Nur Halawati menunjukkan ibu jarinya sambil membuat mimik muka yang nakal.

***********************************************************************

Pantai Seberang Takir, Kuala Terengganu

Dunia ini panggung kehidupan, fikir Z.Zikry membuat perbandingan. Manusia adalah pelakon, pengarah dan pak dalang yang menghidupkan kemeriahan panggung penghidupan itu. Kehidupan itu bergerak dari satu episod ke satu episod. Terkandung di dalam kehidupan itu peristiwa demi peristiwa, tragedi demi tragedi yang memecahkan suara hati. Ada manusia yang berjaya, ada manusia yang gagal. Ada manusia yang miskin, ada manusia yang kaya-raya, mewah membeli sekelian benda. Dan manusia yang berbagai-bagai ragam itu melakonkan episod-episod mereka sesempurnanya tanpa arahan seorang pengarah atau berpandu pada sebuah skrip lakonan yang kaku.
Z.Zikry memikir-mikirkan persoalan itu berulang-ulang. Setiap kali diulangi jurusan pemikirannya ke arah itu, semakin tampak pokok persoalan itu menjadi suatu agenda yang amat penting difikirkan di dalam kehidupannya. Dan dia kini semakin tenggelam dalam arus pemikiran yang sebegitu sejak akhir-akhir ini.

Bangsaku Melayu Islam ini menyuruhku memikirkan persoalan hidup mati, gagal jaya, jatuh bangun bangsa ini dalam arena kehidupan di dunia ini, desus suara hati Z.Zikry. Bangsa Melayu ini perlu diperhatikan kerana kekurangan perhatianlah, maka bangsa Melayu Islam ini tenggelam dalam sejarah peradaban manusia di dunia ini, fikir Z.Zikry lagi. Dan bangsa Melayu Islam ini seharusnya mampu melahirkan manusia yang lebih hebat sejarah dan rekaciptanya melebihi keagungan bangsa Yahudi yang melahirkan Baruch Spinova, ahli falsafah; Albert Einstein dalam bidang sains; Karl Marx dalam bidang politik dan sosio ekonomi dan Sigmund Freud dalam bidang psikologi. Bukankah bangsa Yahudi yang berjumlah lebih kurang 3.4 juta itu adalah jumlah yang terlalu kecil jika dibandingkan dengan ratusan juta bangsa Melayu Islam yang mendiami nusantara Melayu ini?
Z.Zikry menarik nafas panjang. Memikirkan persoalan jatuh bangunnya bangsa adalah juga memikirkan untung nasib diri. Adalah semua itu terangkum dalam pengertian jihad yang perlu diperjuanglan oleh umat Islam di mana saja mereka berada dan di dalam bangsa apa sahaja mereka dilahirkan. Dan jatuh bangun sesuatu bangsa itu perlu direnung dari sejarah bangsa itu pada masa lalu.

Mungkin benar kata Voltaire, akui Z.Zikry. fakta-fakta sejarah yang bersifat runcitan dan tiada membawa kepada suatu matlamat merupakan beban rintangan belaka. Dan kita harus memandang sejarah dengan pandangan semesta; justeru sebab akal insan itu sedemikian sehingga jikalau dibebani fakta-fakta yang beruncitan, nescaya akan tertindihlah ia.

Dan sejarah bangsa adalah milik sesuatu bangsa yang perlu diingat dan dicari pengertiannya serta dijadikan penyisih kesilapan. Tetapi apakah seluruh anak bangsa Melayu Islam ini telah benar-benar mengenali sejarah jatuh bangunnya bangsa mereka yang bergelimpangan hidup mati di nusantara Melayu ini sejak dahulu hingga mendatang kini?

Z.Zikry menutup kelopak matanya. Alangkah sulitnya mencari suatu jawapan dari suatu bangsa yang tidur tetapi menafikan mereka tidur. Alangkah malunya menghadapi maruah bangsa yang sudah terkoyak dan diconteng seribu cercaan atas hamparan sejarahnya. Z.Zikry cuba mencari kesimpulan lalu, cuba mengingati kronologi sejarah bangsa Melayu Islam ini.

Tetapi semuanya ibarat dongengan pengalaman pengembara Gulliver di negeri Brobdignag yang didiami manusia tinggi besar seperti raksasa, Z.Zikry berkongsi nasib memandang dari jauh gadis Brobdignag yang dilihat sungguh jelita.
Namun bilamana ditatap wajah gadis itu dari dekat, nyata jelaslah urat-urat darah pada mata dan pipi si gadis itu serta lubang roma yang bertaburan meliputi parasnya. Alangkah palsu penglihatan ini.
Z.Zikry mengeluh panjang. Dia ternyata masih belum dapat mengenali isi hati bangsa Melayu Islam ini setulennya. Dan yang dilihat dan dikenalinya selama ini adalah tampalan-tampalan tamadun asing yang tidak mencerminkan langsung hati budi bangsa Melayu Islam ini.

“Apa yang Zakuan keluhkan?” teguran Nur Halawati mengganggu tumpuan pemikiran Z.Zikry.
Z.Zikry menarik nafas panjang. Nur Halawati, dipandang seimbas lalu.
“Zakuan ini bermasalah saja nampaknya?”
“Bukan masalah tapi sesuatu persoalan yang perlu disegerakan penyelesaiannya.”
“Persoalan itu samalah dengan masalah.”
“Tidak,” tegas Z.Zikry. “Masalah adalah sesuatu yang sengaja diwujudkan sedangkan persoalan adalah kejadian yang wujud bersama perjalanan kehidupan manusia. Persoalan adalah sesuatu yang perlu dihuraikan agar manusia hidup atas garis-garis kehidupan yang sebenar.”

Nur Halawati menggeleng-gelengkan kepala lalu berkata, “Emm… fikirkanlah apa yang Zakuan fikirkan betul.”
“Kita perlu memikirkannya bersama.”
“Tentang apa?”
“Nasib bangsa dan kemantapan agama Islam pada masa akan datang.”
“Bukankah bangsa kita telah sama-sama berdiri dengan bangsa lain dalam arus pembangunan di negara ini dan agama Islam telah didaulatkan sebagai agama persekutuan? Untuk apa perkara itu perlu difikirkan lagi?”
“Memang benar bangsa kita telah mampu berdiri bersama-sama dengan bangsa lain dalam menghadapi arus pembangunan, tapi mereka berdiri dengan kaki yang tempang, fikiran yang bercelaru, keinginan yang bercabang dan matlamat yang tak lain untuk memuaskan naluri nafsu yang tak berkesudahan.”
“Tak semuanya begitu,” balas Nur Halawati.
“Tapi sebahagian besarnya begitu,” tegas Z.Zikry. dia berkata lagi, “Hala tengok saja di kolej tempat kita belajar ini, jalan fikiran manusia yang bergelar intelektual pun bercabang-cabang. Corak pemikiran mereka bercelaru antara mencari hakikat ilmu dengan sanjungan manusia. Lihat saja, dalam pemikiran dan akhlak, kejahilan atau kebebalan dan kemalasan intelektual dikaitkan dengan pengkhususan; kedayusan moral disebut sebagai tolenrasi serta kesederhanaan; pembaziran dimaknakan dengan rekreasi atau mempertahankan kedudukan; korupsi akhlak dan ekonomi dimaafkan atas alasan lumrah kehidupan moden dan penjahanaman alam sekitar disebut sebagai harga sebuah kemajuan.”


Mereka terus menyusuri pantai Seberang Takir itu. Pasir-pasir halus dipijak setapak demi setapak. Petang itu sungguh mendamaikan. Awan-gemawan keputihan, menidakkan kehadiran hujan.
“Mungkin sudah ditakdirkan sebahagian kehidupan ini dikorbankan untuk kebahagian masyarakat,” Z.Zikry meneruskan bicaranya yang sudah berlarutan itu.
“Tapi ada juga manusia yang memandang sepi penderitaan masyarakatnya, ya?” , Nur Halawati memberi pendapatnya juga.
“Mungkin orang-orang seperti itu telah lupa akan hakikat sejarah hidupnya sendiri,” komen Z.Zikry. “Orang yang senang tak mungkin menjadi senang jika orang lain tidak membantunya menjadi senang.”
“Sejarah kadang-kadangnya mengajar kita betapa hidup ini perlu tunduk kepada hakikat takdir. Dan takdir itu mempunyai seribu satu hikmah yang tak terfikir oleh kita,” sambung Z.Zikry terus.
“Zakuan berpegang pada pandangan itu?” Soal Nur Halawati pula.
“Ya,” tegas Z.Zikry.
“Syukurlah, “ ujar Nur Halawati.
Z.Zikry tersentak. Dipandangnya Nur Halawati yang berjalan di sisinya. Riak-riak kegembiraan jelas terpancar pada wajah anak gadis itu.
“Kenapa Zakuan memandang Hala begitu?” Tegur Nur Halawati.
Z.Zikry segera melarikan pandangannya ke arah bot-bot nelayan tidak jauh di hadapan mereka. Dia mengambil sebatang ranting kering dan menulis sesuatu diatas pasir yang memutih itu.
“…Sepi yang bertamu itu adalah aku,” Nur Halawati mengikuti ejaan yang dibuat oleh Z.Zikry itu.
Z.Zikry berpaling dan memandang Nur Halawati dengan pandangan yang kosong.
Nur Halawati mencapai ranting kering dari tangan Z.Zikry itu dan menyambung coretan yang dibuat oleh Z.Zikry tersebut.
“Sepi yang bertamu itu adalah aku…Tapi jika kita corakkan ia menjadi lukisan yang indah, hilanglah kesepian, muncul pula ketenangan.” Demikian bunyinya setelah dibaca oleh Z.Zikry. Lama ditenungnya gadis itu.
“Kenapa?”
“Maafkan Zakuan. Kadang-kadang Zakuan menganggap kekecewaan itu sebagai penyudah segala perjuangan kehidupan. Dan kadang-kadang pula Zakuan merasakan kehadiran Hala memberi kekuatan kepada kehidupan Zakuan.”
“Jadi selama ini, kehidupan Zakuan sudah kehilangan kekuatan itu?”
“Mungkin.”
“Katakan saja ya..”
Z.Zikry menarik nafas panjang. Nafas itu dilepaskannya perlahan-lahan. Apakah harus dia mengakui bahawa kehadirannya ke pantai pada petang itu atas sebab ingin membangunkan dirinya setelah jatuh roboh ditangan kehidupan? Sesungguhnya pengakuan seperti itu terlalu kejam.
“Kalau Zakuan katakan ya, apakah itu bermakna Zakuan telah kalah menghadapi kehidupan?” soal Z.Zikry kembali.
“Tak juga. Malah orang yang selalu mengaku serba kekurangan dan bersedia untuk menerima kekalahan itulah yang kemudiannya muncul dengan membawa kejayaan demi kejayaan. Kekecewaan bukan alasan untuk tidak terus berjuang dalam hidup, malah menjadi perangsang untuk menikmati kepuasan hidup yang Allah kurniakan selagi Dia memberi peluang,” ujar Nur Halawati dengan lancar dan penuh yakin.
Mereka melencongkan perjalanan menuju ke wakaf berhampiran pantai itu lalu duduk bertenggek di situ.
“Pada penilaian Hala, apakah Zakuan sekarang sedang menghadapi saat-saat kekalahan itu?”
Nur Halawati memandang wajah Z.Zikry. Anak mata mereka bertembung. Tetapi seketika kemudian, Nur Halawati melarikan anak matanya. Dia memandang ke dataran pantai. Beberapa orang anak nelayan berlari-lari di pantai memutih.
“Apakah Zakuan masih meyakini kekuatan Tuhan? Bahawa Dia Tuhan Yang Maha Esa dan kekuasaanNya melindungi semua makhluk di alam ini?”
“Pastilah begitu. Bukankah itu pegangan hidup setiap Muslim.”
“Syukurlah” ujar Nur Halawati penuh keharuan. Dia berdiam diri agak lama selepas itu.
Sesungguhnya kata-kata Nur Halawati itu mengharukan perasaan Z.Zikry. Z.Zikry melarikan pandangannya jauh ke horizon laut. Pulau Bidung sayup-sayup kelihatan. Asap bot kelaut berkelas B2 tampak menujah awan di horizon laut.

************************************************************************
Apabila macarangga gugur dari tangkainya, kawasan di sekitar menguning umpama sudah berlaku musim gugur di tanah beriklim tropika ini. Helaian-helaian macarangga cepat keringnya walaupun mempunyai saiz yang cukup besar sehingga melayakkannya digelar Tapak Kaki Gajah sempena nama sainfifiknya Macarangga gigiante dalam bahasa Latin.
Bougainvillea, Ixora coccinea, Catharanthus roseus dan Spathiphyllum sapa menyapa, salam menyalam apabila ada angin yang membelai. Bougainvillea begitu megah mempamerkan bunga-bunganya sebesar ibu jari yang bercambah apabila dijamah mentari, menguntum bewarna meriah, Ixora coccinea terlintuk-lintuk bagaikan orang kampung berzikir semasa kenduri, Catharanthus roseus dan Spathiphyllum toleh menoleh bagaikan sedang berbicara.
Bukan itu saja, malah Pitta sordida, Arachnotera longirostra, Pycnonotus simplex, dan Pycnonotus Eryctroptalmos kelihatan terbang rendah dan bertenggek empat, lima, enam ekor di pohonan ficus. Pitta sordida yang juga dikenali Terestrial Bird itu bertatih-tatih di atas tanah mencari serangga yang boleh dijadikan sarapannya pada pagi itu. Dan tentu sekali serangga-serangga daripada order Coleoptera, Isoptera, Hymenoptera, dan Lepidoptera tidak terlepas dari perhatian burung yang dilihat seolah-olah memakai topi askar di kepalanya ini. Arachnotera longirostra yang mempunyai lidah yang panjang itu pula leka menghisap madu daripada bungaan yang mekar diperkarangan kolej itu. Burung dari family Bulbul yang dikatakan organisma yang paling banyak menggunakan tenaga ini sanggup bertahan panas untuk mencari madu. Kerana seandainya ia gagal berbuat demikian, spesies understorey bird itu akan mati kehausan tenaga pada hari itu. Pycnonotus Eryctroptalmos yang dilihat bagaikan memakai kaca mata pada matanya itu pula asyik melaksanakan feeding guiltnya dengan cara gliding foliage di celah-celah daunan ficus.
Sungguh indah panorama persekitaran kolej yang berhampiran dengan pantai itu dilihat pada pagi ini. Berbeza sekali dengan suasana di kampung halamannya yang jauh di pedalaman Kuala Selangor itu. Di sana hanya terdapat hutan bakau dan paya air masin yang dipenuhi Rhizophora apiculata, Rhizophora mucrorata, Brugueira purviflora, Brugueira cylindrica dan Avisenia. Juga dipenuhi dengan Piai Raya dan Piai Lasa yang menjadi musuh utama terhadap pokok-pokok bakau yang menjadi sumber pasaran kayu arang di Malaysia ini. Sesekali kelihatan Cyex aritacus atau Red-backed Kingfisher yang bersaing dengan camar-camar menjunam laju ke permukaan air untuk menyudu ikan dengan paruhnya yang tajam. Belangkas dan ikan Belacak yang berkaki itu juga adakalanya berlari riang di tepian paya apabila air surut.
Dalam termanggu-manggu sambil melemparkan pandangannya jauh ke luar jendela bilik hostelnya itu, nostalgia Z.Zikry terbang ke desa kelahirannya. Kampung Paya Larut, lima kilometer dari Kota Lama Kuala Selangor itu tiba-tiba sahaja mencuri perhatiannya. Desa pingitan yang dipenuhi pokok-pokok bakau itu mencuit perasaannya. Ingat, sewaktu kau masih kanak-kanak, kau bermain diatas perutku. Seolah-olah kampung itu bercakap kepadanya. Ingat, sewaktu kau kecil, kau antara yang ternakal hingga habis parit dan kolam kau kubangi. Ingat, sewaktu kau belum mengenali erti hidup dengan sebenarnya, kau sering melastik camar dengan cabang lastik yang kau patahkan dari pokok jambu tanaman jiran engkau. Ya, aku ingat. Z.Zikry mengukir senyuman yang tidak ditujukan kepada sesiapa.
Ingat, kau anak yang lancar mengaji mukaddam, sehingga kau mampu menggantikan Mok kau mengajar anak-anak yang lain, Kampung Paya Larut seperti berkata lagi. Ingat, kau sering mengikut arwah pokmu hadir kuliah subuh di Masjid Sungai Nipah. Ingat, kau bukan dari keluarga yang pincang. Datukmu orang alim dan dihormati. Moyangmu kiyai agung, waris Tok Ku Pulau Manis dari Kuala Terengganu. Ya, aku ingat. Hati Z.Zikry mengiyakan dan dia terangguk-angguk.

(…bersambung )

Sunday, November 16, 2008

Hanya Kerana DIA (Episode :1 - published)


SAAT INI, AWAL TAHUN HIJRAH, JAM 2.01 PAGI,

KOLEJ SULTAN ALEIDIN SULEIMAN SHAH,UPM

Aku susah tidur. Malam ini terlalu sungkam, tidak seperti malam-malam yang lain. Diatas meja ini masih berselerak buku ‘Land use Planning’, ‘Forest Economic’, dan ‘Dendrology’, yang belum dihabis khatam semuanya. Term paper ‘Herbs Toxicity’, yang diberikan Dr. Halawati siang tadi masih lagi tidak terusik. Projek tahun akhir aku pun belum kusentuh. Detik dan waktu kubiarkan bergerak begitu saja. Aku jadi pinar.



Aku memandang sepilar biru kesayangku di dalam balang kaca diatas meja tulis ini. Merak ekor dan siripnya mengembang bekeng beberapa kali apabila kucucuk jariku ke arah balang itu. Ganas; memikat. Sepasang kura-kura hijau di dalam akuarium kecil bersama sepat biru bersahabat riang; bermain dicelahan akar keladi. Riang menghiasi meja komputerku. Terusik aku dengan telatah mereka itu.



Aku sandarkan belikatku ke kerusi. Lilitan lengan jaket yang kuikat pada bahu kerusi sedikit terurai dek berat sandaran badanku. Pandangan diluar kulihat kelam diselimuti pekat malam. Angin bayu malam menembusi celah bidai buluh, berdengung dipelapisku. Dj radio Ikim Fm bersiar di udara. Lagu-lagu yang berkumandang dari corong radio menjadi ricih dek dibawa angin berlegar disegenap ruang kuboid kamar. Telingaku tertangkap satu rangkap selawat yang telah dialihbahasakan ke bahasa melayu nyanyian sebuah kumpulan nasyid kontemporari tanahair.



“…ada satu bintang,
sinarnya berseri;
cahaya atas cahaya,
empat yang utama.”

Cahaya… fikiranku cuba mengingati sesuatu. Deejavu; ia seperti pernah berlaku. Angin menghembus lagi ; Renda dari skirt day curtain bergayut ; pipiku sejuk. Aku membuka kacamataku. Pandangan aku kabur. Cahaya… sekali lagi perkataan itu terlintas di kotak fikirku. Ya, ia pernah berlaku suatu ketika dahulu. Hatiku berbisik.
Cuaca sejuk diluar telah menukarkan embun kepada rintik hujan. Merintik di daunan, melorot ke batang, sampai ke tanah. Dingin menguasai segenap ceruk.



“…awak suka hujan ?”
“ Suka.”
“Apa yang akan awak buat kalau hujan turun ?”
“Kalau hujan, saya akan berteduh bawah pokok. Dan kalau hujan lebat sangat saya akan redah hujan itu. Seronok juga bermain hujan. Dekat kampung dulu saya selalu bermain hujan.”
“Awak pula, apa yang awak buat kalau hujan turun?”
“Hmm…kalau hujan turun. Hmm.. saya akan duduk bawah pokok. Tunggu awak. Main hujan sama-sama.”
“Awak ni… macam cerita Korea pulak.”
Ketawa.

Dua suara bertelingkah dalam diriku. Perbualan itu seperti pernah berlaku, tapi entahkan bila waktunya – aku lupa. Amnesia. Aku memicit dahiku, berusaha mengingatinya, tetapi gagal. Memoriku kabur, sekabur penglihatanku kala ini.
Diluar, gerimis masih mengundang. Kepalaku yang sarat dengan kekosongan ini ku tundukkan ke bawah. Berat. Mataku tertancap pada sebuah fail yang berjudul ‘peribadi’ yang disusun rapi bersama fail-fail yang lain dibawah laci. Dengan pantas tanganku menyambar dan mengeluarkan fail tersebut. Fail itu kubuka, dan terpampang didepanku sebeban manuskrip lama yang telah lama aku abaikan. Jemariku perlahan membelek manuskrip itu. Mata ; hati ; dan mindaku teruja membacanya satu persatu…


*****************************************************************



PROLOG

24 JANUARI
HARI INI…

Kolej Islam Ninthi
Jam 8.30 pagi

Kolej Islam Ninhti dalam kedewasaannya terus megah, gagah melahirkan, membesarkan seorang manusia yang punyai hati dan cita-cita yang besar…seorang jundullah… seorang du’at Allah, yang seratus peratus hatinya hanyalah untuk Allah. Demikianlah juga jagatraya setiap ketika bertasbih. Malaikat bertasbih dan segala makhluk yang mengenal Penciptanya bertasbih, membenam harapan dan pergantungan kepada yang tiada dua, tiga, atau berbilang-bilang; Cuma satu: Allah! Allah yang kekal. Tiada yang lain makhluk yang baru yang bersamaan denganNya.



Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar!



Bilah-bilah hari menyaksikan riwayat seorang pemuda terhiris hatinya, terkalar luka, bukan buat kali pertama dan bukan jua untuk kali kedua, tapi dia sendiri tidak tahu buat kali yang keberapa. Alangkah kasihannya dia.



“Kamu terpaksa tinggalkan tempat ini. Saya kesal keadaan ini terjadi tatkala saya sudah mula menyukai kamu. Saya fikir walaupun ideologi kamu berbeza, dan cara kamu yang langsung tidak mengikut tradisi itu boleh menjadi sebahagian elemen penting kolej ini…Tetapi saya silap”. Prof. Dr. Shalaby membetulkan duduknya yang sedikit canggung. “Kamu adalah seorang yang angkuh dan tidak berdisiplin. Dan kolej Islam ini tidak memerlukan orang seperti kamu disini. Lantaran itu saya mahu surat perletakan jawatan kamu di meja saya esok pagi.” Z.Zikry menyambut lontaran kata-kata itu dengan senyuman nipis.



“Kenapa kamu tersenyum sinis En. Z.Zikry? Dia meluahkan rasa tidak senangnya dengan reaksi Z.Zikry sebentar tadi.
“Maafkan saya tuan. Sehingga hari ini saya begitu menghormati tuan profesor. Saya ingat tuan seorang yang sangat bijak dan peka, yang tidak ketinggalan apa-apa saja…Tapi saya kecewa.”





Z.Zikry merenung tajam ke dalam bola mata orang yang paling berkuasa di Kolej Islam Ninthi itu.
“Apa yang kamu cuba katakan ini En. Z.Zikry?”
“Ingat tak tuan, pertama kali saya datang ke sini meminta kerja, saya sekadar memperkenalkan diri sebagai Z.Zikry. Tiada nama penuh.” Z.Zikry menelan liur yang berketak di kerongkong. “Sebenarnya, nama penuh saya adalah Mohd. Zakuan Zikry Bin Hj. Hamzah”. Kelihatan Prof. Dr. Shalaby Sidqi sedikit tersadung ke belakang setelah nama itu disebut.
“Ya, saya Mohd. Zakuan Zikry yang sama. Yang telah berani bersahabat dengan anak tuan. Zakuan Zikry yang sama, yang amat dikasihi oleh anak tuan.” Z.Zikry menarik nafasnya dalam-dalam, meraih kekuatan untuk dia meluahkan segala-gala yang terbuku di hatinya saat itu.
“Mohd. Zakuan Zikry yang telah tuan buang dari kolej yang berprestij ini sebab tuan benci kepadanya, tanpa melihat wajahnya atau memberinya peluang untuk berjumpa dengan tuan. Dia yang telah hilang ingatan dan mati dalam kemalangan jalan untuk bertemu dengan anak perempuan tuan. Dia yang terpaksa membawa diri jauh ke Selatan England untuk memyambung pelajarannya kerana namanya telah tercemar dalam senarai institusi pengajian tinggi di sini. Dan 3 bulan yang lalu, hingga ke saat ini pusat pengajian tinggi yang begitu eksklusif ini telah menawarkannya pekerjaan. Wajah Prof. Dr. Shalaby yang tidak berperasaan itu berubah seratus peratus...Berkerut. Dia tidak menyangka sama sekali orang yang paling dibencinya pada sepuluh tahun yang lepas sedang berdiri gagah didepannya. Dia masih ingat Zakuan Zikry, manusia pertama yang berjaya menamatkan pengajian diplomanya dalam masa enam bulan sahaja. Siapa tak kenal Zakuan Zikry, siswa genius yang begitu cemerlang? Zakuan Zikry pengasas Persatuan Siswa Melayu Islam Semenanjung. Dia yang terkenal kerana tesis final yearnya dalam bidang Forest Silviculture and Rehabilitation yang berjudul ‘Bisikan dari Gunung’, sehingga menyingkap lembaran baru dalam bidang perhutanan itu. Dia yang petah berhujah dan dia yang telah menambat hati seorang siswi Fakulti Perubatan yang bernama Nur Halawati Shalaby sehingga menyebabkan dia terbuang dari kolej itu sebelum sempat menamatkan pengajiannya di peringkat ijazah. Dan hari ini, Mohd. Zakuan Zikry yang sama sedang berbicara dengannya. Lebih diluar sangkanya, apabila dia sendiri yang menjemputnya kembali.



“Mengenai perletakan jawatan saya pula…maaf, saya tak boleh lakukannya. Kontrak di tangan saya jelas menyatakan bahawa saya tidak boleh meletak jawatan atau dibuang kerja hingga ke akhir semester.” Kata Z.Zikry sambil mengeluarkan sehelai kertas yang pernah ditandatanganinya bersama orang tua didepannya itu, tiga bulan yang lalu. “…Dan Prof. Dr. Shalaby, bila semester ini berakhir, saya berjanji pada tuan …kolej ini tidak lagi seperti dahulu.”
“Saya hanya mempunyai seorang sahabat karib sepanjang hayat saya. Nyawanya terkorban kerana ingin membuat tuan sedar, dan mengubah suasana tempat ini dengan menyemarakkannya dengan dakwah dan kasih sayang...lantas, sebelum saya tinggalkan tempat ini, saya akan sempurnakan inspirasinya yang tertangguh itu. Ini janji saya.” Kata-kata Z.Zikry itu berhenti setakat itu, bersama helaan nafas puas.





10 TAHUN
SEBELUM HARI INI…

Central Market, Kuala Lumpur

Awan teja telah lama berengsot bersama-sama warna merah kekuningan yang melukis ruang-ruang atmosfera. Lapisan troposfera juga begitu.



Keriuhan suara yang menjadi pembaur suasana menjelang dinihari, sekejap reda sekejap menggila. Kebisingan bunyi kenderaan itu berbaur pula dengan asap berjelaga hitam yang mengandungi gas karbon dioksida, karbon monoksida dan gas-gas adi yang lain. Semuanya dimuntahkan setiap masa. Muncung ekzos kenderaan dan corong asap kilang-kilang terus beroperasi. Sekali-sekala kedengaran bunyi hon kenderaan yang menengking manusia yang tidak selari naluri dengan matlamatnya.

Tingkap yang tercelangak sejak tadi, mengizinkan angin semilir menerjah masuk mendinginkan ruang warung mamak itu. Terasa sekali-sekala kedinginan menggigit susuk tubuh yang separuh rengsa. Kelesuan dan keletihan digagahi. Sekali-sekala keluhan pendek diluahkan. Sisa minuman di cangkir dihirup sekali. Z.Zikry tersedak. Cangkir diletakkan semula di atas ceper. Beberapa ekor semut hitam halus menyusur pada bibir cangkir. Z.Zikry tersenyum sendirian. Dia terasa berkongsi rezeki saat itu.


Z.Zikry berada ditengah-tengah hiruk-pikuk kotaraya Kuala Lumpur yang amat terkenal dengan kesibukannya itu. Buat beberapa ketika Z.Zikry terpatung begitu saja. Di sini segala-galanya begitu mewah, dan meFoziah. Bas-bas Intrakota, Metrobus, PutraLine, PlusLiner, CityLiner, dan bas-bas yang lain dengan tampalan-tampalan iklan di dadanya persis sampah besi bergerak bertali arus menyesakkan jalan raya. Kereta-kereta yang pelbagai dari yang mewah sehingga yang tidak dapat dikenali jenisnya bergerak pantas. Bagunan-bangunan perniagaan kelihatan cukup eksklusif. Nun dikejauhan kelihatan pencakar langit, Menara Petronas yang pernah mencatat sebagai bangunan tertinggi di dunia suatu ketika dahulu, dan sekarang mungkin kedua atau ketiga selepas bangunan Taipei 101 dan Skycity di Jepun. Menara kebanggaan rakyat yang menelan kos perbelanjaan yang tinggi, sehingga memaksa rakyat Malaysia berhutang beratus-ratus atau mungkin mencecah beribu-ribu billion ringgit daripada negara asing itu tampak tidak seiring dengan kutu-kutu yang merempat di kaki-kaki lima Kuala Lumpur.



Sekarang pukul 1.30 petang. Masih terlalu awal kalau dibandingkan dengan jadual perjalanan basnya ke Terengganu yang dijadualkan bergerak pada pukul 10.00 malam nanti. Sekurang-kurangnya dia masih ada masa selama 8 jam sebelum jadual perjalanan.



Kemana kau hendak pergi Zakuan ?, tanya hati Z.Zikry kepada dirinya sendiri. Dia membuka kancing atas baju kemejanya kerana terasa benar panasnya. Lilitan kain dilehernya dilonggarkan.



Ya, kemana aku hendak pergi, balasnya.
Ke Stesen Putra?
Argh, masih terlalu awal untuk pergi ke sana.
Merayau di shopping-shopping kompleks sekitar Jalan Bukit Bintang?
Huh, itu membuang masa namanya.
Habis kemana? Bukankah semua orang yang berkunjung ke Bandar besar ini adalah semata-mata untuk hiburan dan membuang masa seperti itu?
Argh, itu mereka. Jangan samakan dirimu dengan mereka itu.



Z.Zikry tersenyum sendirian. Teringat dia akan serangkap lirik lagu nyanyian M.Nasir yang berbunyi, “…sesat di Kuala Lumpur. Dosa pahala bercampur. Namun kita mesti hidup. Kita terus hidup…”
Hmm, mungkin M.Nasir juga merasakan yang sama ketika mula-mula menginjakkan kaki di kota ini.

Jam 9.30 malam di Stesen Putra penuh sesak dengan orang ramai yang sedang menunggu transit ke Pantai Timur. Bas-bas yang dijadualkan bergerak pada jam 9.00 malam baru sahaja berlepas membawa sebahagian besar penumpang. Pun begitu masih ramai lagi manusia memenuhi kerusi dan berdiri diluar pintu stesen untuk menunggu transit yang dijadualkan seterusnya.



Z.Zikry mengambil tempat jauh daripada orang ramai. Sengaja dia berbuat demikian untuk mengurangkan suasana hingar pada gegendang telinganya. Skrin besar yang menunjukkan jadual perjalanan bas dan syarikat-syarikat bas yang terlibat tidak menarik perhatiannya.


KOLEJ ISLAM NINTHI, KUALA TERENGGANU

Nur Halawati berdiri iq’tidal, kemudian rukuk, kemudian sujud. Dia bangkit duduk antara dua sujud, kemudian sujud kembali. Dalam sujud kali ini dia memanjangkan wiridnya sambil berdoa di dalam hati. Dia merintih di dalam sujudnya itu. Memohon ampun diatas segala dosa yang telah dilakukan. Merayu minta diberi petunjuk dan keredhaan. Kemudian dia bertahiyat akhir. Sesudah memberi salam dia memanjangkan wiridnya lagi dengan beristigfar dan berselawat ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad dan keluarga Baginda serta sahabat-sahabat radialLahuanha. Dia menyambung terus dengan mengalunkan surah Al-Fatihah dan ayatul Qursi. Setelah mengaminkan kedua-dua ayat agung yang dikatakan hati Al-Quran itu, dia terus menyambung dengan zikir Fatimah ;
Subhanallah…Subhanallah…Subhanallah…AlhamduliLlah…AlhamduliLlah…AlhamduliLlah…Allahuakbar…Allahuakbar…Allahuakbar…, tidak jemu diulangnya sehingga mencapai angka 99 kali. Dia menyambung lagi dengan mewiridkan kalimah Thoibah ; La’illaha’ilAllah… La’illaha’ilAllah… La’illaha’ilAllah…, sebanyak 100 kali dan menyudahkannya dengan menyebut nama Allah sebanyak 200 kali. Itulah rutin hariannya selepas menunaikan fardhu wajib. Sementara itu, Muhafizah asyik memerhatikan setiap tindak tanduk teman sebiliknya yang baru dikenal itu. Nur Halawati yang masih berada ditikar sejadah itu terus manadah tangan, berdoa kehadrat Tuhannya. Selesai saja berdoa dia terus menekup tangannya ke muka, ada air jernih yang mengalir di pipinya, namun dibiarkan saja ia mengalir.



“Apa yang engkau minta dalam doa kau itu tadi ? bukan main panjang lagi aku tengok.”
“Aku minta semoga Allah memudahkan perjalanan hidup aku di sini, bahagiakan hati papaku dan sejahterakan roh mamaku.”
“roh mamamu ?...maksudmu…?”
“ya mamaku telah lama meninggal dunia. Sejak aku berusia tiga tahun lagi.”
“oh…maafkan aku”
“its ok”
“Hmm, duduk di sini tak sampai sehari dah rindukan papa kat rumah ke?”
“Sebagai anak aku tak pernah alpa untuk mendoakan kesejahteraan papaku dan arwah mamaku. Kau tu tak pernah berdoa untuk orang tua kau ke? Atau doa kau tu hanya untuk lelaki idaman je.”
“Siapa kata aku tak ingat orang tua? Tahu tak, sampai saja kaki aku kat bumi Kolej Islam Ninthi ini terus kepala aku fikirkan mak ayahku kat Merbau Patah tu tau. Macam mana dengan ayam itik kesayanganku, laut yang membiru, air kali yang sejuk…”
“Cukup! Engkau ni buat aku homesick kau tau tak?”
“Homesick? Kan ke rumah kau tu dekat bandar Kuala Terengganu ni jugak. Bila-bila masa saja kau boleh balik.”
“Err…macam mana kau boleh tahu yang aku pun orang Terengganu?, dan tinggal di sekitar ini jugak?”
“Aku ada periksa senarai nama pelajar yang mendiami kolej kediaman ini kat bawah tu tadi, dan aku pun teringin nak tahu siapakah pelajar bertuah yang akan berlaga buntut dengan aku di dalam bilik ini nanti. Lagi pun daripada loghat kau tu pun aku dah boleh agak yang kita adalah sekapal.” Ketawa mereka berderai dengan telatah lucu Muhafizah itu.
“Ha, tunggu apa lagi? cepatlah salin pakaian kau tu. Kan kita ada majlis suai kenal dengan Pengarah dan Ahli Lembaga Pengarah Kolej malam ni.”
“Lupalah pulak.” Nur Halawati yang masih bertelekung sembahyang terus menyalin pakaiannya. Dia mengenakan baju kurung berwarna biru, warna kegemarannya yang disesuaikan dengan tudung labuh bewarna merah jambu peninggalan arwah emaknya dahulu. Dan matanya yang kuyu itu pula ditutupi dengan cermin mata tanpa bingkai. Ketenangan tergambar diparas bersihnya yang lembut itu.
Selesai bersiap apa yang patut, mereka bersama-sama menuruni anak tangga kediaman siswi menuju ke Dewan Sri Siantan.


************************************************************************

Malam itu semua pelajar Kolej Islam Ninthi dikehendaki berkumpul di foyer kolej kerana ada majlis suai kenal antara pelajar baru dan para fasilitator bertugas yang mengendalikan program oreantasi pada minggu pertama itu. Setiap daripada mereka dipanggil dan mereka dikehendaki tampil ke depan untuk memperkenalkan diri masing-masing. Sampai di suatu ketika nama seorang pelajar disebut dengan berulang-ulang, tapi tiada sahutan. Nama Mohd. Zakuan Zikry Hj. Hamzah diulang sekali lagi tetapi masih tiada orang yang menyahutnya.



Sementara itu di bilik, Z.Zikry terlantar diatas katil. Selesai saja dia menunaikan solat Maghrib tadi, terus dia menghenyakkan badannya ke atas katil itu. Keletihan sehari perjalanannya dari Kuala Lumpur ke sini masih terasa. Dia masih ingat bagaimana semalam tubuhnya dilambung oleh tayar bas yang melalui jalan yang tidak rata, dan bagaimana dia menghabiskan waktunya semalam suntuk di dalam bas dengan mengelamun kerana tidak dapat melelapkan mata walaupun sepicing. Dia juga masih ingat bagaimana dia bersama penumpang-penumpang yang lain terpaksa menunggu bas bantuan selama berjam-jam di persimpangan jalan Gambang kerana bas yang mereka naiki rosak. Perjalanan yang sepatutnya hanya mengambil masa 8 jam, bertukar kepada 17 jam. Dia turun di Stesen Tanjung pada jam 3 petang dalam keadaan letih dan lesu.



Mengikut kata abangnya, dia hanya perlu berjalan kaki beberapa meter dari stesen bas itu untuk sampai ke jeti bot penambang yang akan membawanya ke Seberang Takir. Setelah membayar tambang bot sebanyak RM 0.70, dia terus memasuki perut bot penambang itu. Dan untuk sekian kalinya lagi, tubuhnya dilambung gelombang. Asap hitam berkepul-kepul keluar dari muncung ekzos bot yang ditujahkan ke langit. Bunyi enjin dan ekzos cukup membingitkan telinga.


Apabila sampai di jeti Seberang Takir, dia terus berjalan lesu dengan dua beg galas dibahunya menuju ke jalan utama. Kerana dari situ, menurut kata abangnya lagi dia akan mendapatkan sejenis kenderaan yang dipanggil ‘Prebet Sapu’ oleh penduduk tempatan untuk ke Kolej Islam Ninthi.


“Saya hendak ke Kolej Islam Ninthi.”
“Baik adik,” kata pemandu kenderaan yang seumpama teksi tetapi tidak mempunyai sebarang tanda teksi atau cab itu. Daripada gayanya Z.Zikry dapat menduga dia seorang yang cukup mahir dengan jalan-jalan di kawasan itu.


Sepanjang perjalanan dari Hujung Tanjung ke Kolej Islam Ninthi itu Z.Zikry senyap sahaja. Dia lebih terpegun dengan keindahan pantai di Terengganu dan tidak mahu melepaskan peluang menikmatinya. Walaupun keluarganya berasal dari negeri itu, tetapi seingat dia, dia belum pernah sampai ke negeri itu sebelum ini. Menurut kata emak dan abang-abangnya, semasa kecil dia pernah menetap di suatu kampung di negeri ini. Ya, dia masih ingat nama Kampung Tanjung Batu Satu yang sering disebut-sebut itu. Namun setakat yang dia tahu, dari kecil hingga ke hari ini dia dibesarkan di Kuala Selangor. Ah, hidup ini penuh dengan teka-teki. Kalau betul pun dia pernah sampai ke sini dahulu, dia masih teramat kecil dan tidak tahu apa-apa. Namun begitu dia bertekad, kalaulah benar segala penceritaan itu, dia akan berusaha untuk mencari saudara maranya yang masih ada di negeri ini.

Kolej Islam Ninthi dilihatnya sibuk dengan ribuan manusia yang memenuhi kanopi-kanopi meja pendaftaran. Para siswa baru sibuk ke sana ke mari dengan menggelek fail-fail yang tentu sekali mengandungi segala maklumat peribadi yang diperlukan pihak kolej. Mereka bergerak dari meja ke meja, terlalu banyak borang yang perlu diisi. Kakak-kakak dan abang-abang fasilitator pula segak dengan berkemeja, dan bertali leher serta berkurung dan berkebaya. Masing-masing sibuk dengan tugas masing-masing. Yang tiada kerja, mencari kerja. Untung-untung dapat memikat adik-adik junior yang masih setahun jagung itu. Abang-abang senior pula mengangkat dada, menunjuk belang, pinta untuk dihormati dan ditakuti. Untung-untung ada pencuci pakaian baru. Ibu bapa dan sanak saudara pula sibuk mengangkat barang masuk ke dalam bilik. Tidak kurang juga ada yang tak habis-habis memberi nasihat itu dan nasihat ini kepada anak-anak kesayangan mereka.

Z.Zikry hanya keseorangan menghadapi segalanya itu. Tersentuh juga hatinya melihat situasi sebegitu, namun digagahkan juga hatinya untuk menghadapi semuanya dengan seorang diri. Apa gunanya nasihat yang berjela-jela jika tidak mengikutinya. Dan apa gunanya barang-barang yang banyak jika tong sampah juga menjadi tempat yang selayaknya.



Dari Jalan Maklumat, dia akan terus ke Kolej Tun Dr. Ismail, tempat yang bakal menyumbat dirinya dan beberapa ratus lagi pelajar baru yang lain. Dan di kolej yang begitu eksklusif itu, dia akan mencari sebuah lorong dari tempat parkir merentasi Blok Melati dan Blok Melur untuk ke Dewan Sri Siantan. Dia perlu segera mendaftarkan diri di kolej itu kerana meja pendaftaran akan ditutup pada pukul 5.00 petang nanti. Sekarang dah pukul 4.50, dia ada masa hampir 10 minit lagi sebelum sesi pendaftaran ditutup. Z.Zikry mengurut-urut dadanya yang berombak cepat.
Suasana petang itu muram. Kabus tebal menutup pandangan. Arus sejuk, hawa dingin terasa menusuk-nusuk hingga ke tulang. Bukan cuaca yang membuatkan dirinya sedemikian, tetapi hanya perasaan dan mindanya yang mentafsirkan yang sebegitu. Mungkin keghairahan perasaannya membuatkan dia alpa dengan suasana sekitarnya. Sekali-sekala dia terserempak pandang dengan putera-puteri yang satu batch dengannya. Mereka adalah pelajar-pelajar baru yang mendaftarkan diri di Kolej Tun Dr. Ismail sepertinya juga. Kesemua mereka berwajah ceria kegirangan. Senyuman yang terpancar dari raut muka mereka menzahirkan semangat yang berkobar-kobar dalam diri mereka. Maklumlah, sudah bergelar mahasiswa. Sehari sebelum sampai ke sini tentu sekali sanak saudara dan kawan-kawan sekampung tak habis-habis memuji dan mengucapkan tahniah. Belum lagi di kira berapa ekor lembu telah di tumbangkan untuk diadakan kenduri doa selamat.

Di bilik, Z.Zikry hanya bertemankan sebuah tilam dengan cadar yang kusam dan sebiji bantal busuk tidak bersarung yang dipenuhi peta-peta nukilan kreatif orang yang terdahulu mendiami katil itu sebelumnya. Chilugra, teman sebiliknya yang baru saja tadi dikenal telah menghilang selepas dia melelapkan mata Maghrib tadi. Entah kemana perginya teman sebiliknya yang berasal dari Bulgaria itu. Ah, dia teringat sekarang, mengikut jadual Minggu Orientasi yang dilampirkan di dalam fail pendaftarannya, malam ini dia sepatutnya menghadiri Majlis Suai Kenal. Sekarang sudah jam 11.00 malam, mungkin majlis itu sudah habis, kerana mengikut peraturan kolej, sebarang majlis di kolej itu, tidak kira anjuran pentadbir mahupun pelajar tidak boleh melebihi angka 12.00 malam. Entah apa hukuman yang akan dikenakan ke atasnya esok hari kerana kesilapannya tidak menghadiri majlis tersebut.


“Ya Allah, sesungguhnya aku minta petunjuk yang baik dariMu dengan ilmuMu, aku minta kekuatan dariMu dengan kekuatanMu. Aku minta dariMu dari kelebihanMu yang banyak. Maka sesungguhnya Engkau yang Berkuasa, aku tidak berkuasa. Engkau Mengetahui, bahkan Engkau sangat mengetahui bahawa perkara ini baik untukku pada agamaku, pada duniaku dan baik pada kesudahan urusanku, maka tentukanlah untukku dan mudahkanlah berkati aku padanya. Jika Engkau mengetahui bahawa perkara ini tidak baik untukku pada agamaku dan duniaku serta kesudahan urusanku, maka jauhkanlah ia dariku dan jauhkanlah aku darinya. Tentukanlah kebaikan untukku di mana sahaja aku berada kemudian redhakan aku padanya.”



( bersambung…)


Saturday, August 16, 2008

Kontradiksi di Dalam






Aku sering merasa kesal serta bosan,
Menunggu matahari bangkit dari tidur,
Malam terasa panjang dan tak beerti,
Sementara mimpi membawa fikiran makin kusut.

Maka wajar saja bila aku berteriak ditengah malam,
Itu hanya sekadar untuk mengurangi,
beban yang memberat di kedua pundakku.

Aku ingin segera bertemu dengan wajahmu pagi,
Untuk kucanda dan kucumbu,
Di situ ku dapat cintaku.

Aku sering merasa muak serta sedih,
Bila setiap kali harus aku saksikan,
Wjaha-wajah dusta masih tega tertawa,
Sementara korban merintih di kedua kakinya...

Ebiet G. Ade - August 1978

Sang Puteri

MERENTASI banjaran gunung kembara cinta. Seorang suami darah sumpah menitis sudah. Rindu tidak terpadam walau ke mana mukim menjejak. Kini bersulam sepi. Cuma bertemankan seekor kijang ujana, tanduk kanan bersalut perak, tanduk kiri bersalut suasa. Dalam elusan angin pagi mereka menggalas sunyi mendaki puncak Bukit Marak.

“Memang sejak dulu beta tidak mengharapkan gajah menjaga umbut, tidak mengharapkan ayam menjaga kepuk, tidak mengharapkan dedalu menjaga dahan. Sejak dulu suamiku, beta kini hanya bertemankan kijang!” sang puteri bangkit mengepal semangat sang srikandi, kedua belah tangannya diangkat setentang paras horizon. Sinar mata hati sedia mempastikan kalau-kalau ada isyarat datang dari kiri atau kanan, petanda kalau tiba-tiba menerpa dari depan atau belakang. Sekaligus tidak habis-habis diulang. Kalau nak tahu luasnya hutan, tanyalah kijang! Ungkapan merendah diri itu mengiringi setiap letusan kata-katanya.

Sang Puteri duduk semula dan merenung air tasik yang sedang diganggu sehelai dua daun ketapang gugur ke permukaan. Percikan air jernih lagi hening itu terbias ke dagu batu bukit yang terjulur ke perut tasik yang seluas tujuh permukaan kawah yang terbuka. Serangkap pantun pula sempat diluahkan, sepuak angin meluncur menyimbah wajahnya ketika baris demi baris pantun itu diucapkan, daun-daun lembut jatuh seolah-olah tidak sabar menadah madah pantunnya itu.

Ikan berenang di dalam lubuk,

Ikan belida dadanya panjang;

Adat pinang pulang ke tampuk,

Adat sirih pulang ke gagang.

Mata beningnya memerhatikan ikan seluang mengejar beberapa ekor kawannya dicelah lumut yang remba-remba ditolak arus yang mengalir dari puncak bukit. Segala jenis pohonan tumbuh terbiar segar. Tumbuh pada alur sudah diturut. Tumbuh pada jalan sudah dilaksanakan.

Sang Puteri singgah demi perhitungan diri, di Tasik Lelayang Mandi hanya sempat mengunyah zabit tersisa. Dari sana Sang Puteri merenung Cherang Tegayong yang pernah menjadi tempat mengiringi hulubalang menghalau musuh, namun hanya sempat menambat pesan, “Memang pemacak sanggul beta bukan senjata pemisah, ia sekadar pancang sebuah sumpah, lantaran kata dan janji bersilang helah.” Bisikan keramat itu bersimponggang di angin lalu.

Sang suami walau di mana pun tetap bernama Raja Abdullah. Tersembunyi segala rahsia seorang lelaki yang pernah sekamar, meski tidak sempat membenih zuriat. Tetapi sentiasa berteman ke gelanggang permainan di pelosok Tanah Serendah.

Seloka____________________________________________________________

Seketika Sang Puteri di puncak Bukit Panau sempat sekilas pandang ke persekitaran hamparan sawah, dikejauhan ke arah matahari jatuh. Di situ ada sebatang anak sungai agak kecil macam anak ular baru lahir. Sang Puteri rasa terharu, air sungai itu sepekat kopi susu. Kemudian angin meliuk daun-daun ara membentuk satu ingatan yang maha lara. Perasaan hiba cepat melarut dan meresap pada setiap daun dan ranting pohon di perbukitan yang sekian lama ditinggalkan. Daun dan ranting itu adalah sebatang pohonnya sendiri.

Sang Puteri masih ingat madah dan seloka, pantun dan gurindam, nazam dan syair yang sering diaminkan bersama pangasuh dan dayang.

“Bak benih yang baik,

Setiap bibit semuanya tumbuh,

Yang tinggi menjulang ke awan,

Yang rendang menjadi tempat berteduh,

Yang kuat menjadi pendinding.”

“Suamiku, tidak inginkah bermain gasing pangkah, di petang yang begini tenang sebelum tabir malam memisah?” Cuma bayu yang berpuput sayu.

Decitan pipit dan punai sekawan demi sekawan berterbangan. Lantas Sang Puteri berseru dalam sesak kalbu, “Suamiku, masih ingatkah di malam-malam indah kita bertemankan dayang menikmati ceritera makyung dan pakyung yang bijak berkisah dihujung kampung?”

Selepas meninggalkan Bukit Panau, dalam jejak kasih sepetang sang puteri sempat singgah dan bersimpuh seketika di pinggir Tasik Lelayang Mandi bertemankan kijang ujana. Tiba-tiba muncng tok selampit berbaris panjang menyambut ketibaan yang tidak dirancang. Malam nanti tentu mereka berbaris seorang demi seorang, dalam baris ada ramalan nasib b sa di masa depan. Lebih-lebih lagi dalam lindungan malam bulan cerah. Rebab mengiringi minduk bermain bageh. Lantas sang puteri tidak dapat membohongi, di saat itu terasa nafas cinta seorang suami mengusapi di sisi telinga kanan, bergetar kelopak mawar di sisipan telinga itu;

“Masih ingatkah di bangsal wayang kulit Pak Dogol dan Wak Long tidak sempat kembali ke peti dalang, lalu mereka tertidur di atas batang pisang?” sang puteri menyeka setitik air mata. Sebelum ini air mata itu amat sukar melewati kelopak kolam hati. Terlalu menyentuh saraf kalbu barangkali ketika dia menyebut ‘tertidur’ kerana memang dengan tertidurlah membuatkan musuh datang menyerang. Hulubalang tertidur membuat tanah jajahan boleh bertukar tangan berubah pucuk kepimpinan. Dan saat-saat merebahkan tubuh ketika ingin beradu lalu dengan tertidurlah, segala kenangan manis menitis diluar tasik batini.

Serang! Siam cantas sempadan.

Serang! Raja Abdullah bungkam seribu dendam.

Serang! Puteri Saadong membulatkan keputusan.

Gajah Putih itu mengamuk lagi. Menerjah segala ladang dan kampung halaman. Meranap sawah dan gubuk padi meninggalkan jerami dan habuk sekam. Terjahan mata panah menumbangkan tubuh putera puteri tanpa dosa.

Akhirnya sang puteri menjadi mangsa pelarian yang pertama. Rela meremuk kasihnya. Dililit bukit berkayuh ke laut. Merempuh rimba meniti aur. Setiap lembah dilapah senang. Setiap tebing didaki tenang.

Detik duka beta tempuh

Usia tak halang cinta tak galang

Beta kekasih setiap hulubalang

Musuh tak tempah kecuali Siam.

Beta rela berkorban cinta

Demi Tanah Serendah Sekebun Bunga.

Serang? Sang Puteri mencari jejak suami walaupun ke Gunung Ayam.

Perang? Demi cinta yang remuk dalam genggaman. Selepas tubuh jelita mengkecurkan liur Raja Siam. Tetapi hanyir sendiri yang tersihir busuk di hidung Maharaja.

Halang? Hari-hari berlalu dengan wajah sang puteri yang penuh mengharapkan menyelak tabir kabus, mendaki tebing waktu, membibit sebungkah cinta membiru. Menjentik setiap habuk keliru di mata setiap kali menjejaki jejak sang suami.

Sekembali dari cengkaman maha hebat, sang puteri mendapat sesuatu hakikat. Apabila membungkus sama tebal. Tempat kusut diselesaikan. Tempat keruh dijernihkan.

Sejurus mengubat hati yang rawan, demi membangkitkan seberkas semangat srikandinya, diingat-ingat segala rangkap dan pesan sewaktu bersukaria atau saling menguji segala indah kata.

“Tiada lembah yang tidak dapat Tuanku turuni, cekal dan tabah, bak mata air yang mengeluarkan air, bak awan menurunkan hujan!” seru sang puteri memujuk hati suami lalu segera menjawab dalam senyum seorang suami, “Tuanku sekuntum mawar yang mengharum dalam istana dibina bersama, yang tahu adat dengan budaya, yang ada asal usulnya, yang bertempat dan bertepatan, yang tahu akan diri!”

Sebaliknya, manis kata dibibir saja. Susur segala sukar, suami tetap membahagi tangga, bertukar kamar, berjalan di lorong yang lain, cuba membahagi anak, ingin membahagi cucu. Segala isyarat terpancar dalam firasat cinta.

Beta tak kata jika tak kota

Beta tak cinta jika tak sua

Beta tak minta jika tak beri

Beta tak paksa jika tak sudi.

Beta datang meski tak undang

Beta pergi mesti tak halau

Beta tak malu meski tak cemburu

Beta senyum meski tak indah.

Beta rela berkorban nyawa

Semadikan beta tanpa cinta.

Sang Puteri mengelus dan menggosok kepala kijang kesayangan dalam sebak. Kata-kata suaminya masih segar dan tidak pernah luntur walau seulas bicara. Namun, dibalas juga dengan lembut dan bersahaja.

“Beta tahu unjuk dengan beri, yang dijaga dan dipelihara, yang menceriakan kasih kita, tingkat bertingkat bertabur harum melur!”

Lalu membisik ke telinga alam yang luas terbentang. Serunya sesekali merintih sesekali bersenandung.

“Wahai inang dan dayang, lupakah, beta telah menjalinkan tali budaya. Beta pernah samapai, bermalam, bermimpi malah mengigau di Tanah Siam.?” Sang puteri meluahkan perasaan dan mencabut selumbar kecewa di telapak kenangan.

“Di tanah Gajah Putih itu beta tidak akan pijak kalau tanpa jejak. Tidak akan meletakkan cita-cita digerabak nasib semata-mata kalau tanpa doa ikhtiar. Beta telah meletakkan tempat persinggahan itu sebaik-baik guru, beta belajar dari kelemahan, beta bangkit dengan sejuta alasan untuk kembali ke pangkuan. Buat apa beta membiarkan diri beta sesat setelah beta tahu jalan selamat.”suara hati bermonolog tidak henti-henti.

Rakyat___________________________________________________________

“Kenapakah sejarah tidak mengetahui pengorbanan beta? Andainya Saddam Hussein tahu beta berundur demi kebaikan rakyat jelata, tentu rakyak Iraq terselamat dari serangan dan keganasan Amerika!” Sang Puteri menyedari nasib yang berkisar di dunia luar. Menarik nafas perlahan. Terasa sejuk nafas alam meresap ke dalam dada, pada saat sumpah dipapah. Lalu Sang Puteri terus berhujah dan berkisah,

“tali-temalinya tidak akan putus.

Wahai inang, yang turun berketurunan.

Wahai dayang yang bersambung-sambungan, di Tanah Serendah Sekebun Bunga Cherang Tegayong, beta hamparkan tikar budaya seluas pandang, di anjung bersyair, pantun bersambut, nazam bersahut dihujung laman, seloka berdendang riang di petak bendang.”

Percayalah semua ini beta hadapi demi masa depan rakyat jelata. Beta bukan sengaja meninggalkan negeri ini. Berdiam diri bukan beertinya kalah.

Ke Tanah Siam?

Telah beta turun ke padang luas terbuka, menyaksi sendiri para petani di sana.

Di sini beta kembali, yang tertimbus dikais,

Yang terbenam diselam,

Akhirnya yang kusut itu dapat dileraikan,

Yang patah dapat disambungkan,

Yang tercicir dapat dikutip,

Yang lekuk dapat diratakan,

Yang hilang dapat dicari,

Yang kurang dapat dicukupkan.

“Wahai Raja Abdullah, bukankah beta bersumpah, kita sebagai seberkas selilitan dan seikat setalian!”

Gosokan dari lembut tangan Sang Puteri membutakan kijang tertidur amat lena. Gerak-gerak di kulit berwarna perak menandakan kijang memahami perasaan Sang Puteri.

Tiada yang lebih mengharukan lagi, Sang Puteri pernah singgah di suatu tempat yang dinamakan Gelanggang Seni, di pusat bandar yang diberi gelaran pelbagai nama. Kini disebut Kota Budaya, dahulu Kota Comel Sokmo. Sang Puteri mengamati di sana-sini masih ada kakak dan adik-adik bermain congkak sambil mendengar jauh busur wau bulan asyik di gemersik angin senjakala. Sejak itu Sang Puteri selalu memerhati pada suasana petang yang selalu mengundang perasaannya untuk sesekali berjalan-jalan, meski tidak berteman dan tidak disedari sesiapa kecuali Yang Maha Pencipta.

“Beta tahu didik dengan banding,

Beta tahu adab dengan angin

Yang ditajuk disuntingkan.”

Sawah____________________________________________________________

Di persekitaran sawah padi di Bukit Marak, Sang Puteri melihat selepas padi terakhir dituai, decitan pipit dan burung tempua, berubah aneh. Lalu seru Sang Puteri, “Suamiku Raja Abdullah! Sudah hangus tugal-tugalan, seakan mengerti ini musim terakhir buat beta. Sempat beta menyaksi putera puteri bermain salambut dan berdekcak di sisi abang berpencat silat.” Memang segala-galanya masih berterusan sebelum petang memanggil pulang. Mereka sempat mencari sempilai, ada yang sibuk mengangkat jebak, kemudian pulang menarik upih pinang terpilih, selepas mengikat kejap sejambak bunga kasih.

Sang Puteri sayu melihat tanah sawah kini ditumbuhi bangunan. Ada yang bertukar menjadi kilang. “Aduhai suamiku, gelak ketawa putera puteri itu yang sayup mengingatkan beta, kalau kita tunjukkan gasing pangkah, reban ubi, rebana kercing, kalau kita persembahkan dikir laba dan main puteri, tentu mereka tidak sanggup menimbus sesuka hati tanah sawah itu. Bermula dari pucuk pada rasa cinta akan menjadi, duhai Raja Abdullah, cinta beta tetap bersemi!”

Sang Puteri asyik dan tersenyum mendengar gelak ketawa anak-anak desa yang sayup dan berumbai kerana itulah suara putera puteri yang mengerti di Tanah Serendah Sekebun Bunya Cherang Tegayong mewangi aroma semanis madunya, “Raja Abdullah, tapi manis lagi kenangan kita berdua, bukti semarak kasih tetap mekar berseni dan beta tidak dapat berlama-lama di sini, bersua kembali selepas seribu tahun lagi!”

Dengan serangkap pantun, Sang Puteri berpesan di angin lalu, berkali-kali Sang Puteri memohon diri, seolah-olah sengaja melambat-lambatkan gamitan perpisahan. Namun, bibir srikandinya masih bergetar kata-kata, “Tidak semua selalu bertanya, keris telanjang milik siapakah, adakah sekadar sebuah lambang perjuangan?” Kakinya mulai melangkah menuruni curam Bukit Marak, “Tidak semua selalu bertanya, kibaran panji berjalur pernah berbilur kenangan, dan tali setia pengikat diri pernah juga terikat sebuah janji,” Sang Puteri berwajah srikandi menoleh semula ke puncak Bukit Marak, “Tidak semua selalu mengerti, teguh sebuah tugu, mirip wajah siapa?” Sang Puteri rasa terpanggil untuk berpantun semula, lalu dengan sopan dia berdiri di petang yang sepoi mengalun serangkap pantun yang terdetik dari nubarinya,

Orang mengail di hujung tanjung,

Dapat seekor ikan kelah;

Adat sirih pulang ke junjung,

Junjung diajar dari bawah.

Azan Maghrib mengimbau dari kejauhan. Sang Puteri terus melangkah, menghilang dan meninggalkan bau kesturi.

Sekian...