Tuesday, March 22, 2011

Hanya Kerana DIA (Episode 6 : Published)


Perpustakaan Sultan Abdul Samad, Kolej Islam Ninthi
Z.Zikry membelek-belek helaian buku berjudul The Reconstruction of Religious Thought in Islam karya filsuf Muhamad Iqbal. Buku yang dipenuhi dengan mutiara kata pemikir dunia itu ditatap Z.Zikry sesungguh-sungguhnya.
“Hidup di dunia ini adalah gerak, berjuang; ini adalah hukum tetap dari dunia!” kata Iqbal dalam salah sebuah syairnya.
Dan dalam halaman lain, Iqbal menelanjangi kedudukan dirinya sebagai anggota saf pejuang Islam.
“I confess to be a Pan-Islamist. The mission for which Islam come into this world will ultimately be fulfilled, the world will be purged of infidelity and workships of false gods, and the true soul of Islam will be triumphant.” Iqbal meneruskan pengakuannya lagi, “I convey the same message to the Muslims through my poems. I want to see the same spirit in my co-religionists as once pervaded the early followers of Islam, who in spite their wealth, never hankerd afters this mortal world. This is the religious spirit which was manifest among the Muslims when they are were kings and emperors and believe in the principle that whole earth belongs to God and none else.”
Muhamad Iqbal
Pandangan filsuf Iqbal cukup menarik, akui Z.Zikry. Dia meyakinkan umat manusia tentang kebaikan Islam. Dan kelebihan Iqbal lagi, dia dapat menyelami perbezaan antara roh keilmuan Islam dengan roh keilmuan Yunani kuno. Menurut Iqbal, Socrates membataskan pemusatan pengkajiannya kepada alam manusia sahaja, dengan tidak meliputi alam haiwan, tumbuh-tumbuhan atau cakrawala. Tetapi ajaran Al-Quran mengajak manusia memerhati segala yang wujud di alam maya ini dengan segala aneka fenomenanya.

Friday, March 11, 2011

Memoirs of The 'LELAKI SEJATI' (Muka Depan)

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Naskah Memoirs of The Lelaki Sejati, 2006
Memoirs of The 'LELAKI SEJATI' : karya ini ditulis bermula Mac 2006 - zaman dimana penulis berperang hebat dengan jiwa remaja yang menggila pada waktu itu. Perperangan antara cinta dan cita-cita; perperangan antara kuasa dan glamer. Mujur saja Allah memberi perlindunganNya kepada penulis. Mujur juga Allah menetapkan hidayahNya kepada penulis. Mujur segalanya dari Allah.

Asalnya karya ini hanyalah sebuah manuskrip, kemudian dibukukan. Malang tidak pernah diterbitkan. Barangkali tiada siapa pun bersedia menerbit...barangkali juga tiada siapa pun sudi membaca jika ia diterbit.

Karya ini dimulakan dengan sebuah syair yang dikarang oleh As-Syahid Sayyed al-Qutb;
"Seandainya Kau Tangisi Kematianku,
Dan Kau Siram Pusaraku Dengan Air Matamu,
Maka Di Atas Tulang-Belulangku, Yang Hancur Luluh,
Nyalakanlah Obor Buat Umat Ini,
Dan…
Teruskan Perjalanan ke Mercu Jaya.

Kematianku Adalah Suatu Perjalanan,
Bagi Mendapatkan Kekasih Yang Sedang Merindu,
Taman-Taman Di Syurga Bangga Menerimaku,
Burung-Burungnya Berkicau Riang Menyambutku,
Bahagialah Hidupku Di Alam Abadi.

Durjana Kegelapan Pasti Akan Hancur,
Dan Alam Ini Akan Disinari Fajar Lagi,
Biarlah Rohku Terbang Mendapatkan Rindunya,
Usah Kau Gentar Berkelana Di Alam Abadi,
Nun Di Sana Fajar Sedang Memancar…"

As-Syahid Sayyed al-Qutb
Petikan Syair As-Syahid Sayyed al-Qutb

Wednesday, March 2, 2011

Wasiat Hari Lahir

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang..

Assalamualaikum wbt.

Wasiat ini ditujukan khas buat isteriku tercinta Nur Halawati, Cahaya Kebaikan.

Alangkah cepatnya masa berlalu. Dahulu Zikry yang Cahaya kenali sebagai Lelaki ini adalah bayi sebagaimana anak kita sekarang ini. Dahulu Zikry adalah kanak-kanak seperti Hazimin sekarang ini. Dahulu Zikry adalah remaja seperti Emi sekarang ini. Dahulu Zikry adalah orang bujang seperti abang Hafiz sekarang ini. Tapi sekarang Zikry sudah menjadi suami orang. Sekarang Zikry sudah menjadi ayah orang. Nanti akan tiba suatu masa Zikry akan menjadi datuk orang seperti ayah dan pok. Akan tiba suatu masa Zikry akan menjadi orang tua seperti ayah dan pok. Bahkan mungkin sebelum itu Zikry sudah menjadi mayat seperti Allahyarham to'ki, Wan, Pek Tam dan siapa-siapa saja yang telah meninggalkan kita.


Oleh yang demikian Cahaya,
Seandainya Zikry mati, Cahaya jaga dan didiklah anak kita, Zakwan Zikry itu dengan baik. Berikanlah perhatian dan kasih sayang sepenuhnya kepadanya. Sesungguhnya itulah satu-satunya harta yang paling berharga yang kita ada. Kita tiada rumah besar, kita tiada kereta besar, tapi cukuplah kita mempunyai anak yg soleh, yang akan mendoakan kita, saat kita hidup mahupun setelah kita meninggal.

Berikanlah didikan agama yang sempurna kepadanya, mudah-mudahan dia menjadi manusia yg berguna kepada agamanya dan berguna kepada seluruh manusia sekeliannya. Ajarlah dia mengenal Allah. Ajarlah dia mengenal Rasulullah. Ajarlah dia mengenal agamanya (tauhid, feqah, ibadah dan tasawwuf). Ajarlah dia akan hormat kepada oranga tua. Ajarlah dia bercakap benar dan membenarkan yang benar; menyalahkan yang salah. Mudah-mudahan dia akan menjadi hamba Allah yang soleh; sepertimana yang selalu kita doakan selepas solat itu, yang selebihnya berserahlah kepada Allah.

Seandainya Zikry mati, Cahaya sambunglah harapan dan cita-cita kita untuk menjadikan Zakwan seorang tahfiz; seorang ustaz kalau boleh. hantarlah dia ke sekolah-sekolah agama, atau boleh saja dihantar ke sekolah IMTIAZ dimana Pok Su Min dia belajar sekarang ini. Lagukanlah selalu alunan zikir dan bacaan al-quran ditelinganya agar dia terbiasa dengan bunyi bunyian seperti itu. Dodoilah tidurnya dengan zikir-zikir, agar zikir-zikir itu menjadi mimpi tidurnya. Jangan cemarkan telinganya dengan muzik-muzik yang melalaikan. Jangan kotori matanya dengan filem-filem yang memualkan. Jangan sampai mazmumah itu masuk ke dalam hatinya. Kelak hatinya menjadi gelap gulita, jauh dari taufik hidayah Allah. Jangan. Jangan sampai kita diazab kerana kesalahan anak kita sendiri.


Cahayaku, sekiranya Zikry mati, maka Cahaya pakaikanlah jubah putih kegemaran Zikry itu pada jenazah Zikry. Pakaikanlah kopiah Zikry itu pada kepala Zikry. Dan balutlah jasad Zikry dengan kain kafan. Mudah-mudahan Zikry akan bangkit di depan Allah dengan pakian yang menjadi sunnah Junjungan Besar kita itu. Moga-moga pakaian itu menjadi saksi akan apa yang Zikry pakai semasa di dunia.


Cahaya, sekiranya Zikry mati, usahlah Cahaya gantikan Zikry dengan orang lain...hehe..Sebab nanti Cahaya tiada akan bersama dengan Zikry di Jannah. Biarlah Cahaya Kebaikan, Kelebihan menjadi pasangan kepada Lelaki di Syurga nanti. Kerana...tiada orang lain yang dapat menyayangi Cahaya sepertimana Lelaki.
Segala Puji bagi Allah Tuhan sekelian alam. Wassalam.