Wednesday, March 2, 2011

Wasiat Hari Lahir

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang..

Assalamualaikum wbt.

Wasiat ini ditujukan khas buat isteriku tercinta Nur Halawati, Cahaya Kebaikan.

Alangkah cepatnya masa berlalu. Dahulu Zikry yang Cahaya kenali sebagai Lelaki ini adalah bayi sebagaimana anak kita sekarang ini. Dahulu Zikry adalah kanak-kanak seperti Hazimin sekarang ini. Dahulu Zikry adalah remaja seperti Emi sekarang ini. Dahulu Zikry adalah orang bujang seperti abang Hafiz sekarang ini. Tapi sekarang Zikry sudah menjadi suami orang. Sekarang Zikry sudah menjadi ayah orang. Nanti akan tiba suatu masa Zikry akan menjadi datuk orang seperti ayah dan pok. Akan tiba suatu masa Zikry akan menjadi orang tua seperti ayah dan pok. Bahkan mungkin sebelum itu Zikry sudah menjadi mayat seperti Allahyarham to'ki, Wan, Pek Tam dan siapa-siapa saja yang telah meninggalkan kita.


Oleh yang demikian Cahaya,
Seandainya Zikry mati, Cahaya jaga dan didiklah anak kita, Zakwan Zikry itu dengan baik. Berikanlah perhatian dan kasih sayang sepenuhnya kepadanya. Sesungguhnya itulah satu-satunya harta yang paling berharga yang kita ada. Kita tiada rumah besar, kita tiada kereta besar, tapi cukuplah kita mempunyai anak yg soleh, yang akan mendoakan kita, saat kita hidup mahupun setelah kita meninggal.

Berikanlah didikan agama yang sempurna kepadanya, mudah-mudahan dia menjadi manusia yg berguna kepada agamanya dan berguna kepada seluruh manusia sekeliannya. Ajarlah dia mengenal Allah. Ajarlah dia mengenal Rasulullah. Ajarlah dia mengenal agamanya (tauhid, feqah, ibadah dan tasawwuf). Ajarlah dia akan hormat kepada oranga tua. Ajarlah dia bercakap benar dan membenarkan yang benar; menyalahkan yang salah. Mudah-mudahan dia akan menjadi hamba Allah yang soleh; sepertimana yang selalu kita doakan selepas solat itu, yang selebihnya berserahlah kepada Allah.

Seandainya Zikry mati, Cahaya sambunglah harapan dan cita-cita kita untuk menjadikan Zakwan seorang tahfiz; seorang ustaz kalau boleh. hantarlah dia ke sekolah-sekolah agama, atau boleh saja dihantar ke sekolah IMTIAZ dimana Pok Su Min dia belajar sekarang ini. Lagukanlah selalu alunan zikir dan bacaan al-quran ditelinganya agar dia terbiasa dengan bunyi bunyian seperti itu. Dodoilah tidurnya dengan zikir-zikir, agar zikir-zikir itu menjadi mimpi tidurnya. Jangan cemarkan telinganya dengan muzik-muzik yang melalaikan. Jangan kotori matanya dengan filem-filem yang memualkan. Jangan sampai mazmumah itu masuk ke dalam hatinya. Kelak hatinya menjadi gelap gulita, jauh dari taufik hidayah Allah. Jangan. Jangan sampai kita diazab kerana kesalahan anak kita sendiri.


Cahayaku, sekiranya Zikry mati, maka Cahaya pakaikanlah jubah putih kegemaran Zikry itu pada jenazah Zikry. Pakaikanlah kopiah Zikry itu pada kepala Zikry. Dan balutlah jasad Zikry dengan kain kafan. Mudah-mudahan Zikry akan bangkit di depan Allah dengan pakian yang menjadi sunnah Junjungan Besar kita itu. Moga-moga pakaian itu menjadi saksi akan apa yang Zikry pakai semasa di dunia.


Cahaya, sekiranya Zikry mati, usahlah Cahaya gantikan Zikry dengan orang lain...hehe..Sebab nanti Cahaya tiada akan bersama dengan Zikry di Jannah. Biarlah Cahaya Kebaikan, Kelebihan menjadi pasangan kepada Lelaki di Syurga nanti. Kerana...tiada orang lain yang dapat menyayangi Cahaya sepertimana Lelaki.
Segala Puji bagi Allah Tuhan sekelian alam. Wassalam.

3 comments:

AURA BUSANA said...

assalamualaikum..buat suamiku tersayang,Mohd Zakaria bin Hamzah..insya ALLAH segala wasiat hari lahir yg zikry amanahkan tu akan hala tunaikan..di kesempatan ni juga hala ingin mohon maaf atas segala2 dosa hala pada zikry..atas segala kekurangan dan ketaksempurnaan hala..ampunkan hala dan redhakan lah hala..zikry,terima kasih atas segalanya..kasih syg,masa,harta,susah,senang,pengorbanan dan lain2 yg zikry dah dan akan berikan utk hala dan anak2 kita..semoga Allah sentiasa memelihara dan melindungi kita sekeluarga..semoga kita kekal bersama di dunia dan di akhirat..ameen..

FaqiruLlah M.Z. Hj. Hamzah alZikr said...

terima kasih..ameen

FaqiruLlah M.Z. Hj. Hamzah alZikr said...
This comment has been removed by the author.