Saturday, December 25, 2010

Bisikan Sir 2 : Cinta Faqir Syukur (Episod 4)

Sukarnya ke Neraka, jalan ke Syurga Luas Terbentang

Dengan sifat ar-Rahman pada makhlukNya, maka Allah bersifat adil, diwujudkan hari pembalasan untuk segala amal perbuatan hamba di dunia ini. Neraka diwujudkan agar hambaNya yang lemah, yang dianiaya, dirampas, dizalimi mendapat pembelaan.

Sifat ar-RahimNya berkehendak agar tiada seorang pun hambaNya menghuni Neraka. Sifat ini dizahirkan pada jiwa para Nabi A.S dan seterusnya Nabi SallaLlahu ' alaihi wassalam.
"Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad SallaLlahu 'alaihi wassalam), yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat tamak (inginkan) kebaikan bagi kamu, (dan) ia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman." (at-Taubah : 128)

Lantaran cinta yang mendalam, maka kerahmatan dan keampunan lebih luas dari kemurkaanNya. Jika dilihat ibadah hambaNya, tiada mampu untuk hambaNya itu ke Syurga, maka didatangkanNya musibah agar mereka sabar dan redha tanpa merungut. Dengan sifat itu membawa mereka ke Syurga.

Ar-Rahman dan ar-RahimNya sentiasa memberi peluang untuk hamba mendapat keampunanNya walaupun ia penuh lautan dosa. Ar-Rahim Allah lebih terserlah di Akhirat dengan menzahirkan ar-Rahim pada jiwa Nabi S.A.W, membantu hambaNya yang kesalahannya melebihi kebaikan dengan syafaat kubra. Sifat ar-RahimNya juga memberi kuasa syafaat kepada golongan para syuhada', auliya', solehien, ayah dan ibu pada keluarganya.

Begitu juga kuasa syafaat suami bagi isteri, isteri bagi suaminya, anak pada ibu bapanya dan guru bagi muridnya. Adapun mereka yang syirik, ia dibawah urusan Allah. Namun yakinlah bahawa sifat ar-RahimNya akan membawa kepada keampunan kecuali mereka terlalu melampuai batas.

Kesalahan dengan manusia adalah halangan yang besar untuk ke Syurga kerana manusia tiada memiliki sifar ar-Rahim yang tinggi, sedangkan sifat ar-Rahim Allah memberi keadilan dengan memberi hak pada mereka untuk memaafkan atau tidak. Namun sifat ar-Rahim pada diri Rasulullah S.A.W akan membawa baginda SallaLlahu 'alaihi wassalam mengadakan rundingan dengan umat yang tiada mahu memaafkan, dengan pelbagai tawaran sehingga berlakunya kemaafan dikalangan mereka.

(Dipetik daripada, Bisikan Sir 2 : FaqirulLah Ibrahim Mohamad)

No comments: