Cinta Ar-Rahman Bagaikan Buta
Ar-Rahman dikurniakan kepada seluruh makhlukNya walaupun yang derhaka, angkuh, sombong, berburuk sangka, mencela dan lainnya.
Cinta ar-Rahman bagaikan buta kerana ia akan memberi dan tetap memberi walau bagaimana sekalipun keadaan hambaNya. Kerana ar-Rahman, seluruh makhlukNya dapat bernafas dengan udaraNya, menikmati makanan, minuman, merasai kepanasan matahari, menikmati deruan ombak di pantai.
Ia mencipta Neraka atas sifat ar-RahmanNya untuk memberi keadilan kepada makhlukNya yang dizalimi, walaupun yang dizalimi itu tidak beriman padaNya atau yang dizalimi itu hanya seekor binatang.
Dia mahu makhluk hidup cinta menyintai dan hormat menghormati sebagaimana sifatNya, namun hukuman untuk pengajaran tetap diberi kepada hamba yang tiada hidup berdasarkan ruh ar-Rahman.
Berlakunya pembunuhan, penipuan, fitnah, merampas hak orang lain dan sebagainya disebabkan terbunuhnya cinta di dalam hati. Dicipta Neraka itu bagi mereka yang tiada cinta dalam hati... Apinya akan membakar sifat tamak, benci, dendam, angkuh, lidah fitnah dan tangan yang membunuh.
Sifat ar-Rahman adalah sifatNya, sesiapa dikalangan hambaNya yang memakai sifatNya, Neraka tiada dapat membakarnya. Cinta dapat menghilangkan kepanasan api sebagaimana keadaan Nabi Allah Ibrahim A.S yang dilontarkan ke dalam api. Cinta Ibrahim A.S pada Tuhannya melenyapkan kepanasannya, hanya wajah api sahaja kelihatan namun sifat api lenyap di dalam ar-Rahman. "Kami berfirman:"Hai api, Jadilah engkau sejuk serta selamat sejahtera kepada Ibrahim!" (Al-Anbiya':69)
(Dipetik daripada, Bisikan Sir 2 : FaqirulLah Ibrahim Mohamad)
No comments:
Post a Comment