Sunday, December 12, 2010

Hanya Kerana DIA (Episode :4 - Published)


Pantai Batu Buruk, Kuala Terengganu
Allah telah menemukannya dengan orang yang sudi menghargainya di bandar yang sederhana besar ini.
Allah?
“Hana, kita pergi hospital sekejap.”
“kakak sakitkah?”
“Iya,” balas Nur Halawati.
“Eh, kalau sakit kenapa susah-susahkan diri bawa Hana berjalan.”
Nur Halawati tersenyum. “Kita berjalan kaki saja dari Batu Buruk ini. Hospital hanya dibelakang kita ni ha.”
Tidak nampak tanda-tanda Nur Halawati sedang sakit. Tetapi Hana tidak pula membantah untuk ke hospital itu. Barangkali Nur Halawati mengidap penyakit berpanjangan yang memerlukan rawatan berjadual.
Di Hospital Besar Terengganu itu Nur Halawati mengambil wudhuk lalu sembahyang di sebuah surau kecil dibelakang bangunan wad sakit, berhampiran dengan wad kecemasan yang sentiasa sibuk dengan pelawat itu. Hana terpinga-pinga sahaja dibangku.
“Eh, tidak jadi ambil rawatankah?” Tanya Hana sebaik saja Nur Halawati keluar dari surau itu.
“Kakak sudah dirawat.” jawab Nur Halawati sambil mengenakan sarung kaki dan kasutnya.
“Bila? Di mana?”
Nur Halawati senyum. “Hospital hanya merawat sakit fizikal, tetapi surau dan musolah merawat penyakit yang tidak kelihatan.”
“Apa maksud kakak?” Tanya Hana, tidak mengerti.
“Tidak ada gunanya badan yang sihat kalau minda tidak sihat. Kesihatan minda bergantung pada hati yang sihat. Untuk dapatkan hati yang sihat ia perlu dirawat selalu. Cara merawat hati ialah sembahyang. Sembahyang itu pula bukan sekadar merawat penyakit dalaman, ia juga sebagai tanda syukur kepada yang menjadikan diri termasuk hati, minda dan badan. Tanpa redhaNya kesemuanya tidak beerti, sebab kemurkaanNya akan membawa kepada kesusahan di dunia yang berpanjangan hingga ke Akhirat. Hah, nak kemana seterusnya kita?”
Hana tidak menyahut.
“Apa kata kita pergi ke perkampungan nelayan Tanjung? Di sana ramai saudara mara kakak.”


Kolej Kediaman Tun Dr. Ismail, Kolej Islam Ninthi
Muhafizah memeluk dadanya. Langit timur Terengganu itu memutih kerana kabus tidak dihambat pancaran matahari. Tidak mungkin matahari muncul memanahkan cahaya teriknya sedangkan sekarang baru pukul 6.30 pagi. Kalau di rumahnya di Merbau Patah itu tentu sekali suasana sebegini masih dikuasai kokokan ayam jantan peliharaan bapanya yang sebanyak tujuh ekor itu bersahut dengan ayam-ayam jiran disebelah rumahnya. Mujur di sini, diharamkan penghuninya daripada membela binatang peliharaan. Kalau tidak tentu sekali dia akan membawa Galak duduk bersama dengannya, biar ia bertengkar dengan sepilar biru kesayangan Nur Halawati yang penakut itu. Namun, apa pun sekatan dikenakan ke atas penghuninya, ia tetap mencorakkan kehidupan penghuninya dengan tabii dan ragamnya yang tersendiri.
Demikian, satu lagi tanda kekuasaan Allah. Itu kata-kata Z.Zikry, pada malam ketiga Minggu Orientasi, yang juga malam ketiga dia menumpang teduh di Kolej Kediaman Tun Dr. Ismail dan ditempatkan bersama Nur Halawati, gadis lincah tetapi wara’ itu. Kata-kata itu tiba-tiba sahaja muncul dibenaknya.
Oh, Hala. Maafkan aku Hala, kata hati Muhafizah apabila tiba-tiba wajah Nur Halawati mengambil alih. Bukan baru itu wajah yang bersih dan melambangkan kehalusan budi itu muncul. Malah setiap detik yang terluang wajah itu bermain di ruang matanya.
Z.Zikry, Nur Halawati, kedua-duanya saling datang dan bersilih ganti. Muhafizah menekupkan mukanya. Dia bukan tidak tahu mengenang budi tetapi azam untuk membuktikan sesuatu mengatasi segalanya.
Argh …
Kampung Baru, Seberang Takir
Gerimis di luar telah berlarutan hingga ke malam. Tetapi di hati Pok Long Ramli telah lama menjadi ribut. Seluruh tubuhnya telah banjir oleh perasaan yang tidak menentu. Semakin cuba disembunyikan semakin parah rasanya.
Sesekali Mok Long Foziah menjengah ke luar. Gerimis yang tersuluh lampu neon jalan kelihatan tali menali turunnya. Hatinya turut becak dengan kawah-kawah masalah.
“Abang nak ke Kolej Islam Ninthi esok,” kata Pok Long Ramli, memecahkan kesunyian malam itu yang hanya dinaungi oleh gerimis yang mencecah bumbung dan kocakan air sungai yang melanggar tebing.
Mok Long Foziah menoleh memandang suaminya yang hanya berkain pelikat tidak berbaju itu. Semalam dia telah mendengar orang tua itu menyebut Kolej Islam Ninthi sewaktu menerima panggilan telefon daripada orang yang tidak dikenali. Tetapi tidak pula suaminya itu menjelaskan apa-apa.
“Nampaknya abang terpaksa pergi ke Kolej Islam Ninthi.”
“Apa halnya bang?” Tanya Mok Long Foziah, sangsi.
“Awak jangan terperanjat.”
“Apa…?” Mok Long Foziah menatap wajah suaminya dengan tajam. Belum pernah dia bersikap sedemikian sepeninggalan anak kesayangan mereka, Muhafizah ke Kolej Islam Ninthi.
************************************************************************
Apabila batu kecil itu dilepaskannya ke air, pusaran pun terbit, membulat beberapa lapis sebelum menjadi riak-riak kecil. Batu hanyalah pepejal kasar yang tidak berupaya mempertahankan dirinya dari ditenggelami. Air tasik kecil lagi jernih itu hanyalah cairan yang akan menelan apa sahaja.
Semalam, senja di Kolej Islam Ninthi telah menyaksikan batu menjadi mangsa lontaran tangannya. Semalamnya lagi dan semalam, semalamnya lagi telah banyak batu dipungut dan dilontarkan. Hari itu buat sekian kalinya, sekali lagi bumi Kolej Islam Ninthi menyaksikan suatu pernyataan rasa kecewa melalui lontaran demi lontaran.
Tetapi tangan yang melepaskan batu-batu kecil itu pasti tidak bergerak tanpa adanya keizinan Tuhan. Juga batu dan air tidak akan berfungsi demikian jika Tuhan tidak mengizinkan.
Itu aku faham, itu telah lama aku faham, tetapi aku tidak faham mengapa aku tidak diberikan kepintaran dan kemuliaan seperti Nur Halawati, Z.Zikry dan mereka yang lain sedangkan aku juga antara pelajar yang cemerlang di Kolej Islam Ninthi. Kenapa aku tiada keistimewaan seperti mereka sedangkan aku juga perlukan keistimewaan untuk menjalani hidup sebagaimana remaja lain.
Suara hati Muhafizah tidak menyahut.
Muhafizah memeluk tubuhnya setelah dia melontarkan sebiji lagi batu ke tengah Tasik Ekspo, tasik buatan di perkarangan Kolej Islam Ninthi itu. Sambil menikmati riak berbentuk bulatan yang terbit di atas air, dia terus memikirkan perihal dirinya. Apa yang dapat digali hanyalah kekurangan demi kekurangan jika dibandingkan dengan kawan-kawannya.

...bersambung

1 comment:

Unknown said...

cerita yang mencuit hati saya