Muara Sungai Kuala Terengganu
Gelombang terus melambungkan bot penambang itu beberapa meter dari aras datar air laut. Z.Zikry memegang kemas dinding bot. percikan air laut membasahi mukanya. Pandangannya hambar seketika. Titisan air laut menjadikan matanya berkaca-kaca.
“Zikry aku berdiri dibelakangmu. Memorandum bantahan sudah dihantar. Kau jangan susah hati. Selagi kau yakin dengan aku, nasib kau terbela,” kata Chilugra, Presiden Majlis Perwakilan Pelajar itu.
“Aku tak perlukan pembelaanmu. Tapi disini, keilmuan Islam memerlukan pembelaanku. Aku akan terus berjuang mempertahankannya selagi ada dayaku, sama ada aku menang atau terkorban kerananya.”
“Syabas Zikry. Kau membuatkan aku semakin mengagumimu. Kau benar-benar tabah, dan berani.”
Tiada daya dan upayaku kecuali pertolongan Allah, kata hati Z.Zikry menyerahkan kembali pujian itu kepada yang haq.
Z.Zikry mengetap gigi. Ingin dia menjerit sekuat hatinya, tetapi jeritannya itu pasti mencemaskan penumpang bot yang baru kengerian dilambung gelombang. Z.Zikry kembali kepada dirinya. Dia memandang jauh ke horizon laut. Peristiwa yang sentiasa kejap dalam ingatannya itu berlangsung dua minggu lalu. Z.Zikry masih ingat tatkala satu perbicaraan yang sedang dihadapinya dan jika disabit kesalahan hukuman akan dijatuhkan. Dan sememangnya hukuman itu telah pun dijatuhkan dengan berat sekali.
“Kesalahan pertama, kamu telah dituduh membawa ideologi dan fahaman yang salah sehingga telah mengelirukan ramai penuntut lain. Dan ini telah menyebabkan seorang penganut agama lain memeluk Islam dengan tidak mengikut saluran kolej,” kata Tuan Haji Amat Ramsa.
Ah… nak memeluk agama Islam pun kena melalui proses birokrasi, keluh hati Z.Zikry tetapi tidak diluahkannya.
“Kesalahan kedua, kamu telah didakwa mengadakan satu perjumpaan haram di Bukit Ekspo bersama sekumpulan pelajar pada tiga bulan yang lepas atas tujuan ingin menubuhkan sebuah persatuan haram. Dan ini dilihat sebagai satu kesalahan besar dan melanggar fasa ke-3, kurungan 1, Akta Universiti dan Kolej Universiti yang melarang semua pelajar kolej daripada menjalankan sebarang perhimpunan atau perjumpaan tanpa kebenaran,” kata Tuan Haji Amat Ramsa lagi.
Uh…itu satu fitnah liar, bentak hati Z.Zikry terus.
Uh…itu satu fitnah liar, bentak hati Z.Zikry terus.
“Kesalahan ketiga, kamu telah didakwa mencemar teori pemikiran dengan mempertikaikan penerimaan cendikiawan terhadap taxonomy Bloom, dan Cognitive and Affective Domain serta mempertikaikan keunggulan pemikiran Edward de Bono dan Krathwohl yang mengasaskan kedua-dua kemahiran berfikir tersebut. Kamu dilihat sebagai pelajar yang kurang ajar yang melawan asas pemikiran yang sebenar sehingga mencetuskan perasaan tidak puas hati terhadap bangsa bukan Muslim yang lain!” dakwa Tuan Haji Amat Ramsa lagi.
Ah…perbincangan di dalam kuliah juga dibawa ke sini? Mereka tidak faham sebenarnya, hati kecil Z.Zikry berbisik.
“Dan kesalahan keempat, kamu telah dituduh memesongkan semangat belajar seorang penuntut siswi yang bernama Muhafizah Syafie dengan beban pemikiran kamu yang jumud dan dilihat bersifat fundamentalis itu,” putus Tuan Haji Amat Ramsa.
Benarlah mereka tidak faham. Ya Allah, Kau ampunlah kelemahanku, dan ampunkanlah mereka. Sesungguhnya mereka tidak faham, monolog Z.Zikry menyerahkan segalanya pada Yang Berkuasa.
“Kamu tidak mahu membantah?” soal Tuan Haji Amat Ramsa melihat Z.Zikry diam dan tenang sahaja.
Z.Zikry menggeleng, “Tidak.”
“Jika begitu kamu mengiyakan segala dakwaan yang dibacakan ke atas kamu tadi?”
“Bagaimana saya boleh membantah dan menafikan segala dakwaan ini jika tuan haji telah menetapkan keputusan ini muktamad dan segala rayuan tidak akan dilayan?”
Khali. Mereka pandang memandang. Dan Z.Zikry tak ingin tercegat lebih lama disitu. Bagi dia semakin lama dia di situ, maka semakin sakit hatinya disiat-siat. Selepas mengucapkan terima kasih, dia melangkah pergi.
“Zakuan Zikry.” Panggil Profesor Hamami.
Z.Zikry mematikan langkahnya.
“Betul kamu tidak mahu membuat sebarang rayuan?”
“Tidak!” balas Z.Zikry, tegas. “Tetapi, jika ada kebenaran prof., saya ingin membuat bantahan. Bahawa perbicaraan ini tidak dijalankan dengan seadilnya. Segala dakwaan adalah fitnah liar yang melampau. Penyingkiran saya tidak sedikit pun mencacatkan hasrat saya untuk terus memperjuangkan kehendak agama saya dan agama tuan-tuan semua!” Z.Zikry pun pergi tanpa menanti apa-apa reaksi daripada penghukumnya.
Allah…
Bot yang meredah muara Sungai Kuala Terengganu itu dilambung gelombang yang beralun tidak menentu. Z.Zikry memegang kemas dinding bot. percikan air laut membasahi mukanya. Dan ketika dia menyapu mukanya, terasa terlalu banyak air membanjiri wajahnya.
Adakah dia menangis sejak tadi…?
Ingatannya terimbas lagi pada memori tiga minggu yang lepas ketika bersama seorang teman.
“Lagi satu saya nak tanya awak, awak kata saya ada keistimewaan yang orang lain tak nampak. Jadi awak nampak?”
“Yea.”
“Apa dia?”
Diam.
“Saya masih menunggu….”
“Kita tak akan dapat menjelaskan sesuatu apa pun mengenai orang yang istimewa pada mata kita. Tiada istilah yang selayaknya.”
“Saya tak punya apa-apa keistimewaan. Saya cuma insan biasa. Mungkin awak sudah silap menilai.”
“Saya tak pernah silap dalam menilai awak...”
Hala …
Sekali lagi dia menyapu mukanya. Terasa semakin banyak air yang membanjiri wajahnya.
Betullah dia menangis…
....Bersambung
No comments:
Post a Comment