Muka 2 : Memoirs of the Lelaki Sejati |
Aku dilahirkan pada subuh 6.05 pagi Khamis, tanggal 3 Mac 1983 bersamaan 18 Jamadilawwal 1403 Hijrah di Hospital Besar Kuala Terengganu (Hospital Sultanah Nur Zahirah - nama baru). Dalam kegembiraan mok, pok, abang-abang dan kakak-kakakku menyambut kelahiranku, ada kesedihan yang terselit tika itu. Sebab, tanggal yang sama juga, ditakdirkan datuk aku, Tok ki Cer (Musa) Tanjung dijemput kembali ke RahmatulLah. Mereka ketawa dalam duka.
Aku dilahirkan dalam sebuah keluarga miskin. Pok aku seorang nelayan, kadang-kadang menjadi tukang rumah kampung, dan kadang-kadang menjual belacan. Biasalah, hidup di negeri Pantai Timur, cara mencari rezeki banyak bergantung kepada hujan, ombak dan pantai. Pantai dan kami umpama isi dengan kuku; irama dengan lagu.
Aku diberikan gelaran sebagai 'Yang Terpuji Lelaki Sejati Anak Singa Allah', atau dalam bahasa Arabnya bermaksud Mohd Zakaria Hamzah. Satu nama yang cukup elok, cukup kuat pengaruhnya terhadap kehidupanku. Aku bersyukur kepada Allah, dan berterima kasih kepada abangku kerana menamakan aku dengan nama para Nabi ini. Satu nama yang dibebankan tanggungjawab yang cukup besar, iaitu 'menyampaikan' (bukankah tanggungjawab para Rasul itu adalah menyampaikan).
Aku tidak mahu banyak menulis tentang kisah peribadiku disini, sebab ini bukan sebuah diari, dan bukan pula sebuah epik epilog luahan hati, atau lakaran katarsis peribadi. Aku ingin menjadikan 'Memoirs of The Lelaki Sejati' ini sebagai senaskah manuskrip ilmiah yang ada nilai signifikannya terhadap agamaku, nusa bangsaku dan tanahairku. Aku ingin menulis apa dibisikkan oleh roh (hati), nasma (nafas) dan apa yang berlegar-legar di dalam minda (otak) aku. Kalau tulisan ini benar dan elok, tentu sekali ia datang dari Tuhan yang menciptakanku. Moga ia bermanfaat dan memberi manfaat kepada sesiapa sahaja yang membacanya. Dan semoga ia menjadi bekalan yang akan memberatkan neraca timbangan amalan mahmudahku di akhirat nanti. Dan kalaulah pula tulisan ini salah dan jelik, tentu ia juga datang dari Tuhan yang sama, tapi diatas 'asbab kelemahan, kebodohan dan kejahilan penulis sendiri. Lantaran itu aku memohon ampun dari Allah dan memohon maaf dari saudara dan kalian semua.
Gambar : Malam Gemilang Putra Kolej 13 |
No comments:
Post a Comment